Mulut Li Sin terpaksa menerima 60 jahitan akibat kejadian itu.

SUNGAI BAKAP, PULAU PINANG – Akibat kecuaian pemotong rumput, seorang suri rumah menderita apabila mulutnya terkoyak manakala dua giginya patah dan menerima 60 jahitan, akibat terkena serpihan batu yang melantun secara tiba-tiba ketika mengangkat pakaian di ampaian rumahnya di Taman Bakap Indah, di sini.

Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila kontraktor yang ditugaskan untuk memotong rumput di padang berhampiran rumah mangsa, Oo Li Sin, mengakibatkan serpihan batu sebesar 1.5 sentimeter melantun ke mukanya.

Li Sin berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang kelmarin itu bagaikan mimpi ngeri buat dirinya.

“Saya tidak sangka, hasrat mengangkat pakaian di ampaian pada petang kelmarin akhirnya menjadi mimpi ngeri kerana serpihan batu melantun ke muka.

“Kejadian yang berlaku sekelip mata itu membuatkan saya terpaksa menerima 60 jahitan manakala gigi palsu tertanggal dan dua gigi yang sedia ada patah,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Li Sin turut membuat laporan polis supaya dia boleh membuat tuntutan ganti rugi terhadap pihak kontraktor yang ditugaskan memotong rumput di padang terbabit.

Simpati akan nasib Li Sin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tambun, Law Choo Kiang, mengadakan kunjungan prihatin.

Choo Kiang berkata, pihaknya selalu menerima aduan berhubung masalah batu melantun ketika melakukan kerja mesin rumput.

“Sebelum ini, hanya aduan kerosakan cermin kereta diterima namun tidak sangka, masalah itu turut mencederakan seorang suri rumah.

“Perkara ini perlu dipandang serius dan pihak kontraktor yang dilantik Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk melaksanakan kerja mesin atau memotong rumput itu harus peka terhadap keadaan sekeliling. Mujurlah serpihan batu itu terkena mulut, jika terkena bahagian mata ia lebih bahaya,” katanya.

Menurutnya, pihak MPSP juga perlu buat satu inisiatif bagi membantu menyelesaikan masalah ini.

“Bunyi enjin mesin yang kuat ketika melakukan kerja memotong rumput akan mengurangkan tahap kepekaan seseorang.

“Oleh itu, saya berharap kontraktor yang dilantik perlu memastikan komuniti dan keadaan sekeliling berada dalam situasi selamat sebelum melakukan kerja berkenaan,” katanya.