Friday, March 9, 2012

Sukan berdarah laga lembu



JUAN JOSE PADILLA disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh apabila menjejak kaki ke dalam gelanggang laga lembu di Olivenza, barat daya Sepanyol. Diiringi pancaragam muzik bras yang mengalunkan irama tradisional pasodoble dan dua lagu flamenco, ia sebagai tanda penghormatan kepada seorang matador.

Matador Sepanyol yang kini memakai satu penutup mata berwarna hitam di mata kirinya dan lumpuh sebelah wajah akibat kecederaan lima bulan lalu kembali berdepan lembu jantan seberat 500 kilogram (kg) dengan berbekalkan mantel dan pedang.

Sungguhpun, mempunyai kekurangan penglihatan stereoskopik menggunakan dua deria penglihatan yang membolehkan menilai jarak dan kelajuan dengan tepat, lelaki berusia 38 tahun itu tidak berdepan sebarang masalah dalam membunuh lembu jantan pertamanya.

Ia mendedikasikan lembu kedua kepada ayah tercinta yang menitiskan air mata sambil memeluk erat anak kesayangannya.

Selepas membunuh lembu terakhir hari itu, Padilla yang lengkap berpakaian rasmi matador dikenali sebagai suit of lights berwarna emas dan hijau zaitun telah dijulang rakan seperjuangan. Ia merupakan satu penghormatan yang sukar dilihat dalam sukan laga lembu.

Mimpi jadi nyata

Padilla memberitahu, dia kembali ke gelanggang kerana ingin menang, mengukir kejayaan dan menjadi manusia lebih baik.

"Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan selepas beberapa bulan mengalami kecederaan. Saya sedar bahawa tidak ada orang yang menyangka saya akan kembali ke gelanggang.

"Bagaimanapun, saya bukan wira, hanya seseorang yang diberi peluang untuk hidup dan meneruskan minatnya," ujarnya.

Katanya lagi, dia telah menghabiskan masa antara rawatan di hospital dan melakukan latihan intensif sebelum melangkah semula ke gelanggang laga lembu.

"Perasaan takut sentiasa menyelubungi diri tetapi saya sudah bersedia berdepan lembu jantan semula.

"Saya telah berlatih dengan gigih, tetapi tidak sesekali memandang rendah pihak lawan," katanya.

Matador yang cukup terkenal dengan gelaran the Cyclone of Jerez itu menambah, dia sangat terhutang budi kepada doktor-doktor dan ayahnya dalam memberi dorongan serta keyakinan diri.

Selain daripada itu, dia juga mendapat sokongan daripada isteri dan dua anaknya yang memberi galakan untuk kembali ke gelanggang sukan lembu laga.

"Saya telah memberi anak perempuan saya telinga lembu yang dipotong itu, manakala satu lagi kepada anak lelaki yang tidak dapat hadir ke Olivenza," ujarnya.

Sementara itu, pengurusnya, Diego Robles berkata, dia sentiasa menanti untuk memulakan fasa baharu dalam kehidupannya.

Doktor-doktor yang pernah berusaha menyelamatkan nyawanya turut hadir untuk menyaksikan kemunculan semula Padilla sebagai seorang matador.


GELANGGANG sukan laga lembu menjadi tumpuan untuk melihat kelibat matador menundukkan lembu jantan.


Pada Oktober tahun lalu, Padilla telah melalui mimpi ngeri dalam karier sebagai matador apabila tanduk seekor lembu jantan menusuk bahagian kiri rahangnya sehingga menyebabkan mata kiri terjojol keluar.

Padilla telah mengalami kerosakan mata, tulang, otot dan kulit. Insiden mengerikan yang berlaku di gelanggang bandar timur laut Zaragoza, Sepanyol itu menyebabkan penonton menjerit ketakutan apabila melihat wajah Padilla berlumuran darah.

Dia yang bangun semula selepas ditanduk kelihatan menjerit: "Saya tidak dapat melihat, saya tidak dapat melihat apa-apa."

Sukan berdarah

Selain nasib malang yang menimpa matador bermata satu itu, sukan penuh kontroversi tersebut turut mengakibatkan beberapa matador lain mengalami kecederaan teruk apabila ditanduk lembu jantan semasa bertarung di dalam gelanggang.

Pada tahun 2010, pihak penganjur terpaksa meminta bantuan penonton di sebuah stadium gelanggang lembu Aguascalientes, Mexico, supaya menderma darah jenis A apabila seorang matador, Jose Tomas parah selepas perutnya ditanduk seekor lembu jantan seberat 500 kilogram.

Pengurus matador berkenaan, Salvador Boix memberitahu sebuah stesen radio Sepanyol, Cadena Ser bahawa salur darah dan arteri Tomas, berlubang akibat tertusuk tanduk lembu jantan bernama Navegante.

Matador popular dari Sepanyol itu berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan selepas insiden tersebut sehingga memaksa sepasukan doktor melakukan pembedahan kecemasan tanpa ubat bius di gelanggang sebelum dibawa ke hospital.

Tomas telah menjalani pembedahan selama tiga jam sebelum selamat apabila 17 pain darah dimasukkan ke dalam tubuhnya.

Bagaimanapun, matador kelahiran Madrid itu tidak patah semangat dan telah kembali ke gelanggang Valencia berdepan lembu jantan pada tahun lalu.

Seorang lagi matador terkenal Sepanyol, Julio Aparicio, turut berdepan situasi di ambang maut apabila ditanduk di bahagian tekak pada tahun yang sama.


PADILLA kehilangan mata kiri apabila rahangnya ditanduk lembu jantan tahun lalu.


"Tanduk lembu tersebut telah menembusi bahagian atas mulut sehingga menyebabkan keretakan di rahangnya," kata salah seorang pegawai perubatan di gelanggang Plaza de Toros las Ventas, Madrid.

Selepas melalui dua pembedahan yang dikendalikan pakar bedah Maximo Garcia Pedros, matador tersebut dapat diselamatkan.

Ramai lagi matador yang mengalami nasib yang sama apabila berdepan dengan lembu jantan di dalam gelanggang malah ada menemui ajal di tanduk haiwan berkenaan.

Kontroversi

Sungguhpun, sukan laga lembu sudah bertapak sejak beratus tahun dahulu terutamanya di Sepanyol, kekejaman yang diperlakukan terhadap haiwan berkenaan mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Hal ini kerana, tubuh lembu yang berada di dalam gelanggang ditusuk dengan pedang sehingga ia berjaya dibunuh.

Bahkan, telinga lembu yang telah dibunuh akan dihiris sebagai pengiktirafan kepada kejayaan matador berkenaan.

Sejajar dengan perkembangan dan pemodenan hari ini, Parlimen Catalonia telah mengundi pada Julai 2010 untuk mengharamkan sukan tersebut.

Pengundian itu dibuat selepas beberapa kumpulan hak asasi manusia mendapatkan 180,000 tandatangan bagi meminta sukan tersebut dibincangkan sekali gus mengharamkannya.


SUKAN laga lembu mencetuskan kontroversi apabila ditentang pelbagai pihak akibat kekejaman terhadap haiwan.


Sementara itu, wakil sebuah organisasi hak asasi haiwan, Fundacion Equanimal, Jose Ramon Mallen berkata, ia merupakan hari bersejarah bagi mereka yang bekerja keras dalam memperkenalkan hak asasi haiwan dalam masyarakat moden.

"Ini bukan berkenaan politik ataupun identiti Catalan tetapi mengenai etika dan menunjukkan ia salah apabila berhibur melihat haiwan dibunuh pada tempat awam," katanya.

"Kami telah memenangi peperangan ini tetapi terpaksa melihat enam ekor lembu tumbang pada hari ini," kata salah seorang penunjuk perasaan yang menyaksikan sukan laga lembu buat kali terakhir di Barcelona, Montserrat, 32.

Selain daripada Catalan, beberapa negara seperti Argentina, Kanada, Cuba, Denmark, Jerman, Itali, Belanda, New Zealand dan United Kingdom turut mengharamkan sukan penuh kontroversi itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: