BEKERJA secara berpasukan dan menjalinkan hubungan yang erat antara kakitangan adalah antara resipi kemantapan sesebuah organisasi.
"Keseronokan dalam bekerja dengan menyelami perasaan antara satu sama lain, pastinya bukan sahaja melahirkan organisasi yang unggul, malah dapat menjadi model kepada organisasi lain," kata pensyaraha kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shukri Ahmad pada kursus Sentuhan Jiwa yang dianjurkan oleh Pusat Islam, UUM, di Langkawi, baru-baru ini.
Beliau yang bergandingan dengan Ustaz Mohamad Khadafi Rofie merupakan penceramah pada kursus tersebut.
Gandingan kedua-duannya bersama Pengarah Pusat Islam, UUM, Prof. Madya Dr. Ismail Ishak dapat memandu para peserta menyelami jiwa sesama mereka.
Malahan dapat menyedarkan mereka betapa pentingnya usaha untuk menyelami jiwa, agar sifat kasih antara mereka dapat dijalinkan.
"Kadangkala dengan kesibukan berkerja dalam pejabat menyebabkan kita terlupa atau tidak menyedari akan kepentingan rakan sekerja dalam kehidupan kita," ujar Khadafi pada sesi aktiviti di tepi pantai.
Katanya, program atau aktiviti ceramah sahaja tidak mencukupi dalam kursus-kursus yang diperkenalkan.
Justeru, pendekatan melalui latihan dalam kumpulan dan penganjuran beberapa aktiviti luar lebih memberi manfaat.
"Melalui acara permainan contohnya, kita dapat melihat bagaimana mereka bekerjasama untuk mencapai kejayaan atau kemenangan," jelas Khadafi.
Sementara itu, Dr. Ismail turut melahirkan rasa gembira dengan kehadiran peserta kursus pada hari itu. Ini sudah jelas menunjukkan sikap bertanggungjawab dan saling mengasihani antara satu sama lain.
"Sesungguhnya melalui program sebegini serta menerusi aktiviti-aktiviti seperti, membawa mereka menyusur pantai di waktu malam dan memberi tanggungjawab untuk menjaga ahli pasukan, secara tidak langsung menjadikan peserta lebih menyayangi organisasi mereka nanti," kata Dr. Ismail.
Dalam pada itu Pembantu Hal Ehwal Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Miar Zul Aizuddin Miar Lob yang menyertai kursus itu yakin program seperti tersebut bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat antara kakitangan dalam organisasi malah di luar organisasi.
"Kesedaran pentingnya bekerja dalam pasukan dan keseronokan dalam bekerja memberi kelebihan kepada organisasi," katanya.
Manakala Sobri Awang Hashim, pemandu dari UUM berkata, program seperti itu menyeronokkan kerana semua peserta tanpa mengira umur dapat bekerja dalam satu pasukan.
Kursus Sentuhan Jiwa selama tiga hari itu disertai 50 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: