Sunday, March 11, 2012

Persiapan D' Masiv


DARI kiri: Rian (vokal),Kiki (gitar), Rama (gitar), Ray (bass) dan Wahyu (drum).


ALBUM perdana grup D' Masiv yang berjudul Menuju Nirwana gagal diterima pasaran. Mengambil langkah alternatif, D' Masiv menyertai sebuah pertandingan muzik di Indonesia dan dipilih sebagai juara.

Itulah hikmah yang tersemat di sebalik kesabaran. Kemenangan bergelar juara menyebabkan nama D' Masiv diteliti dan karya mereka kemudian diterima para pendengar. Satu perubahan besar untuk grup yang dianggotai Rian (vokalis), Kiki (gitar), Rama (gitar), Ray (bass) dan Wahyu (dram). Melalui album kedua, mereka dikenali dengan lagu hits mereka, Cinta Ini Membunuhku.

Kini selepas menempuh jerih-perih bergelar anak band, D' Masiv muncul dengan album Persiapan. Sebuah buah tangan ketiga yang mempamerkan kematangan mereka dalam bergelar pemuzik dan anak seni.

Untuk grup yang berasal dari Jakarta itu, album ketiga ini dipenuhi dengan variasi warna muzik dan merupakan sebuah tanda perbezaan berbanding dua album sebelumnya. Malah ujar D' Masiv, mereka mahu melenyapkan mitos badi album ketiga yang selama ini banyak menghantui grup-grup muda.

"Ini merupakan lanjutan daripada dua album sebelumnya. Diberi judul Persiapan, album tersebut menggambarkan sebuah langkah awal yang selalu diperlukan oleh hampir semua aktiviti manusia. Sebuah hajat besar pun dimulai daripada persiapan," ujar Rian selaku vokalis memberi analogi tentang album edaran Universal Music di Malaysia.

Masih memegang erat tema cinta sebagai asas lirik lagu-lagu mereka, namun D' Masiv mencuba mengemaskan tema itu dengan cara berbeza. Menghulurkan variasi dalam tempo, aliran muzik dan format, Rian juga mencuba teknik vokal yang berbeza untuk album Persiapan.

Menurut grup yang terkenal dengan lagu Rindu Setengah Mati ini, album ketiga ini membawa sejumlah perubahan besar dalam setiap anggota grup ini.

Semangat mereka kembali seperti di awal berdirinya D' Masiv. "Kami sekarang berlatih rutin seminggu sekali," ujar Rian. Sebelumnya, mereka hanya berlatih sekali dalam sebulan. Menurut Rian, itu cara mereka untuk membangkitkan kembali tenaga yang pernah ada. Semua itu membuat album dengan judul ringkas Persiapan dapat disimpulkan dalam satu perkataan iaitu matang.

Walaupun kemerosotan penjualan album berlaku di mana-mana, fenomena tersebut tidak mempengaruhi grup itu. Malah buat kelima anak muda ini, album penuh adalah sebuah ijazah buat para pemuzik.

"Album ialah ijazah buat pemuzik. Penghasilan album juga memberi kepuasan yang berbeza daripada single. Malah sebuah album dapat bertahan selama sehingga dua tahun dalam industri. Berbeza dengan usia ketahanan single," kata Ryan.

Dalam rangka lain, sebagai salah satu cara penyatuan dua negara yang serumpun, D' Masiv juga sempat merakamkan sebuah kolaborasi bersama gitaris Malaysia.

Melalui lagu Damai, grup ini dan Man Kidal memberi mesej keamanan buat masyarakat.

"Kami memberikan pesan bahawa walau apapun masalahnya, jangan saling menyakiti," ujar Rian yang akan memberi sokongan kepada Nidji yang membuat persembahan di The Loft, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur malam ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: