
ELEMEN suspens yang ditonjolkan dalam permainan video seringkali mencuri perhatian komuniti pemain di seluruh dunia.
Resident Evil merupakan contoh terbaik permainan genre tersebut yang berjaya mencuri tumpuan mereka.
Bagaimanapun, bagi pemain yang menggemari judul genre survival horror atau lebih khusus stealth survival horror pasti akan tertarik dengan Siren: Blood Curse.
Siren: Blood Curse merupakan siri ketiga dalam francais Siren yang dibikin oleh SCE Japan Studio dan hanya boleh didapati di platform PlayStation 3.
Dengan menggunakan enjin Havok Physics, permainan terbaharu ini pasti akan membuatkan pemain tidak lekang daripada kerusi mereka.
Selain daripada itu, elemen suspen dan seram yang ditekankan dalam permainan ini sudah tentu akan menimbulkan perasaan takut dan berdebar-debar apabila mengharungi permainan video survival horror tersebut.
Plot
Sekumpulan wartawan telah dihantar ke sebuah pulau di Jepun untuk menyiasat dan mendokumentasi legenda Hanuda. Ia merupakan sebuah perkampungan yang telah ghaib. Malah, penduduk Hanuda dikatakan mengamalkan ritual pengorbanan manusia sejak 30 tahun lalu.
Penghuni Hanuda, dipanggil Shibito adalah musuh utama pemain dan mereka akan sentiasa mencari pemain serta berusaha membunuh semua orang asing di perkampungan itu.
Walaupun pemain akan memegang pelbagai watak dalam Siren: Blood Curse, watak utamanya ialah seorang pemuda bernama Howard Wright yang berumur 18 tahun.
Sepanjang permainan, pemain akan ditunjukkan pelbagai babak bagi setiap watak yang dimainkan mereka bagi merungkai rahsia di sebalik perkampungan Hanuda.
Ia sekali gus membuat pemain menyedari bahawa mereka semua tidak akan selamat selagi pengorbanan manusia tidak dilakukan seperti rutin biasa kehidupan penduduk Hanuda itu.
Dengan hanya berbekalkan sebuah lampu suluh dan senjata seperti batang kayu dan botol kaca, pemain harus mencari jalan untuk menyelamatkan diri mereka.

Mekanisme permainan
Siren: Blood Curse mempunyai mekanisme permainan yang sangat unik. Pada peringkat awal, pengawalan watak adalah sedikit menyukarkan tetapi pemain akan dapat membiasakan diri selepas beberapa jam bermain permainan penuh suspens itu.
Apa yang membuat Siren: Blood Curse menarik adalah teknik permainan yang mempunyai kesimpulan. Siren menggunakan teknik episod bagi setiap babak permainan dan ini memberi perasaan kepada pemain bahawa semua yang dilalui adalah satu lagi rancangan yang boleh ditonton di televisyen.
Paling menarik, pada penghujung setiap episod akan terdapat trailer untuk episod akan datang dalam memberikan keseronokan kepada pemain.
Sepanjang permainan dan pada setiap permulaan episod, pemain tidak akan diberi sebarang senjata. Hanya lampu suluh dan kemahiran berlawan sahaja menjadi bekalan mereka. Pemain harus mencari jalan selamat untuk mencapai objektif mereka.
Dalam pada itu, pemain juga harus bijak dalam merangka strategi sekiranya ingin selamat kerana Shibito akan menghalang pintu yang perlu dilalui pemain.
Pemain boleh menarik perhatian Shibito dengan menjerit, sekali gus menyebabkan Shibito berusaha mencari pemain dan memberi peluang kepada pemain untuk melalui pintu tersebut.
Grafik dan audio
Secara umum, Siren: Blood Curse mempunyai grafik yang boleh diterima para pemain. Kebanyakan tempat yang bakal dilalui pemain sangat gelap dan sudah pasti tidak akan dapat mencari jalan tanpa menggunakan lampu suluh.

Walau bagaimanapun, kegelapan tersebut memberi suasana seram dan tegang sekali gus memudahkan pembikin Siren memasukkan elemen kejutan.
Dengan menggabungkan audio seram, pemain dijamin mendapat mimpi ngeri apabila mengharungi permainan ini.
Secara keseluruhan, Siren: Blood Curse adalah sebuah permainan video yang sangat menyeramkan. Pemain memerlukan daya imaginasi dan kebijaksanaan bagi menjamin keselamatan diri.
Perasaan puas pasti akan terpancar pada riak wajah pemain apabila berjaya mencapai sesebuah objektif yang diberikan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: