KAGUM...bangunan lama yang menempatkan gedung cenderamata.
TERUJA rasanya dapat berkunjung ke Shanghai - bandar raya paling pesat membangun yang menjadi lambang kemodenan dan kemewahan bagi rakyat China.
Dengan lebih 20 juta penduduk, status sebagai pusat perdagangan dan kewangan utama meletakkan bandar raya itu sebagai tarikan ekonomi bagi negara berkenaan.
Tidak dapat dipertikaikan lagi, tarikan disandarkan itu sememangnya digambarkan dengan baik menerusi perancangan bandar serta binaan moden yang menghiasi pelosok Shanghai.
Jika kembali ke sejarah lampau, potensi perdagangan di Shanghai bermula sejak awal lagi apabila bandar itu yang asalnya sebuah kampung, berkembang menjadi kawasan perniagaan kecil sebelum secara rasminya diiktiraf sebagai sebuah bandar pada 1927.
Tumpuan ekonomi antarabangsa berkembang di Shanghai sekitar abad ke-19 berikutan potensi perdagangan di Sungai Yangtze.
Biarpun ketibaan penulis ke sana pada hari pertama disambut dengan suasana senja, kami masih berpeluang mengamati keindahan landskap moden pada waktu malam.
Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, penulis bersama lima ahli rombongan dibawa menaiki tren maglev sebelum dibawa ke hotel.
Tren yang mencapai kelajuan paling tinggi 431 km/sejam itu yang pertama dikendalikan secara komersial bagi tren maglev di seluruh dunia.
Kemudahan itu menghubungkan lapangan terbang berkenaan dengan kawasan pinggir kota Pudong.
Perjalanan penulis kira-kira 10 minit menaiki tren laju berkenaan diselubungi perasaan teruja memandangkan itu kali pertama dihantar membuat liputan di Shanghai.
Musim sejuk yang belum berakhir ketika kunjungan kami menyebabkan seluruh tubuh menggigil apabila disambut dengan suhu dingin mencecah 2 darjah Celsius sebaik diturunkan di perhentian Magley Road sebelum meneruskan perjalanan ke hotel penginapan.
Berdasarkan perancangan awal, kami sepatutnya tiba di sana lebih awal untuk diberi peluang menikmati pemandangan di sekitar bandar, namun penerbangan yang ditunda dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membantutkan hasrat itu.
Walaupun tujuan utama lawatan tiga hari dua malam itu untuk membuat tugasan, penulis masih ada waktu senggang untuk dihabiskan bersama ahli rombongan lain.
Tidak dinafikan, badan dan otak penat, namun entah mengapa penulis langsung tidak terlelap ketika dibawa menaiki bas.
Fikiran melayang-layang ketika melalui pusat bandar raya Shanghai dan hampir kebanyakan masa di dalam bas kami perlu mendongak apabila rata-rata bangunan yang dibina adalah berpuluh-puluh tingkat.
Bandar raya metropolitan ini sememangnya terkenal dengan bangunannya, termasuk lebih 50 binaan lama bercirikan seni bina Eropah seperti gaya Gothik, Roman, Barok serta gabungan seni bina China dan Eropah.
Pemandu pelancong yang fasih berbahasa Inggeris kemudian mencadangkan penulis ke Nanjing Road atau ‘jalan perniagaan pertama di China’ yang dikatakan syurga beli-belah kepada pengunjung luar.
Tempat beli-belah utama dan paling sibuk di Shanghai itu agak terancang dan hanya laluan pejalan kaki disediakan bagi membolehkan pengunjung melaluinya dengan selamat.
Terdetik di hati penulis untuk mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia, namun ia terpaksa ditangguhkan apabila melihat kebanyakan kompleks beli-belah di situ adalah kedai pakaian berjenama.
Laluan pejalan kaki sepanjang enam kilometer (km) itu selesa walaupun sekali sekala penulis terpaksa ‘melarikan diri’ daripada penjual jam tangan tiruan.
Difahamkan, Nanjing Road yang dikategorikan sebagai kawasan beli-belah terpanjang di dunia mampu menarik lebih sejuta pengunjung sehari.
Terbahagi kepada dua kawasan iaitu Timur dan Barat, pembangunan di situ turut meliputi kafe dan restoran berkonsepkan Eropah serta beberapa hotel bertaraf lima bintang.
Pada hari terakhir di Shanghai, penulis bernasib baik apabila mempunyai masa dua jam untuk membeli-belah.
Mengambil kira kedudukannya yang dekat dengan hotel penginapan, penulis bersama rakan menaiki teksi ke Shanghai Old Street.
Dengan tambang sekitar 20 yuan (RM10), penulis berpeluang melihat tarikan unik yang ‘menyegarkan’ mata.
Seni bina bersejarah dan bangunan lama menjadi tatapan buat pelancong selain 225 gedung yang menjual pelbagai cenderamata, kraftangan, lukisan, kaligrafi serta barangan permata.
Landskap dan seni bina unik itu sebenarnya bermula daripada Dinasti Ming (1368-1644) sehingga pengaruh Eropah memasuki kawasan terbabit.
Kemasukan Eropah meninggalkan pengaruh Barat yang kini boleh dilihat pada deretan bangunan Shanghai Old Street bermula daripada South Henan Road hingga ke Guanyi Street.
Sebahagian bangunan dilihat juga adalah lambang kepada pemerintahan Dinasti Ming dan Qing satu ketika dulu.
Shanghai adalah bandar raya moden tetapi masih mempunyai pemandangan sosiobudaya yang menarik.
Jika diikutkan, memang penulis tidak puas meninjau ke tempat menarik lain, namun pengalaman diperoleh tetap berharga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: