DARIPADA sekecil-kecil anak sehinggalah peringkat orang dewasa dan ibu bapa, rakyat Malaysia mengenali Port Dickson di Negeri Sembilan sebagai salah satu pusat peranginan dan pantai perkelahan terkemuka negara.
Tidak hairanlah kawasan itu sering kali menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara pada setiap hujung minggu lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah.
Namun, di sebalik keseronokan berkelah di tepi pantai, mungkin ada yang mengharapkan percutian bersama keluarga dalam suasana kampung.
Jika itu yang anda cari, maka Bougainvilla Resort yang terletak di Batu 9 (Kilometer 14.4), Jalan Kemang 12, Teluk Kemang di Port Dickson mampu menawarkan sesuatu.
Terletak kira-kira 100 meter dari tepi jalan utama Port Dickson-Linggi, resort itu menjanjikan ketenangan kepada pengunjung dengan suasana hijau serta keadaan bilik bercirikan kampung.
Tidak sekadar itu, para pengunjung juga berpeluang merasai keenakan makanan tradisi Negeri Sembilan terutama masak lemak cili api hasil air tangan penduduk tempatan.
Menurut Pengarah Urusannya, Raja Airul Shahiran Raja Aman Shah (gambar), konsep itu ditawarkan kepada pengunjung untuk memastikan mereka dapat menikmati kelainan sewaktu berada di pusat peranginan tersebut.
"Hanya kami yang menawarkan resort berkonsepkan begini di Port Dickson. Kami sedaya mungkin menjanjikan yang terbaik apatah lagi Bougainvilla Resort ini diiktiraf bertaraf tiga orkid iaitu tahap tertinggi bagi penilaian resort.
"Disebabkan itu kami tidak berkompromi soal kepuasan pengunjung. Sebagai contoh, kami tidak menggunakan khidmat chef sebaliknya mengambil penduduk tempatan bagi menyediakan hidangan tradisi kerana percaya rahsia keaslian makanan itu ada pada mereka," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Selain sesuai untuk percutian keluarga, Bougainvilla Resort turut menjadi destinasi ideal bagi mana-mana pertubuhan serta agensi untuk mengadakan seminar, hari keluarga atau kursus tertentu.
Ini kerana, ia turut menawarkan pakej dengan harga menarik untuk mana-mana pihak yang bercadang melakukan aktiviti di situ dalam jumlah yang ramai.
"Antara pakej ditawarkan adalah pakej hari keluarga yang mana caj dikenakan hanyalah RM135 untuk dewasa dan RM70 kanak-kanak. Makanan disediakan tiga kali sehari termasuk barbeku di sebelah malam.
"Kami juga menawarkan pakej seminar bermula RM75, RM85 dan RM95. Selain penginapan, hidangan juga akan disediakan sebanyak enam kali sehari," ujarnya.
Mengulas mengenai tahap kebersihan pantai Port Dickson, Raja Airul berkata:
"Ramai individu yang sering melakukan aktiviti menyelam atau skuba memuji kecantikan kawasan pantai di sini. Malah, sekurang-kurangnya sudah tiga penggambaran drama dilakukan di kawasan resort.
"Tidak sekadar itu, buka saja pintu bilik anda terus dapat melihat keindahan pantai. Dari Bougainvilla Resort juga, pengunjung dapat menikmati keindahan matahari terbit dan terbenam," tambahnya.
Aspek keselamatan turut dititik beratkan oleh pihak pengurusan Bougainvilla Resort, Teluk Tuan Sdn. Bhd.
"Kami mempunyai pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam. Selain itu, pihak polis turut melakukan rondaan setiap sejam pada waktu malam," katanya.
Di sebalik semua tawaran itu, harga yang ditawarkan adalah cukup munasabah.
"Kami mempunyai 32 bilik yang mampu menempatkan maksimum dua hingga enam pengunjung dalam satu-satu masa. Harganya bermula dari RM180 hingga RM220.
"Bagaimanapun mereka yang berminat dinasihatkan membuat tempahan awal kerana bilik-bilik ini sentiasa penuh pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Ada yang sudah membuat tempahan setahun awal," katanya.
Selain itu, tapak perkhemahan turut disediakan dengan bayaran sewa RM30 untuk khemah yang dibawa sendiri dan RM60 jika menyewa khemah dari pihak resort.
"Mereka yang menyewa tapak khemah turut boleh menggunakan segala kemudahan di resort termasuk kolam renang" katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: