imigresen
imigresen2

NILAI – Jabatan Imigresen terpaksa bertindak memecah pintu sebuah kelab malam, di sini selepas menyedari terdapat beberapa lelaki bersembunyi dalam premis berkenaan dalam operasi dilakukan, awal pagi semalam.

Penguat kuasa Jabatan Imigresen terpaksa mengetuk pintu premis terbabit yang berkunci dari dalam, namun tidak dibuka sehingga memaksa mereka memecahkannya.

Menurut sumber, seorang lelaki Nigeria berusia 30-an dan beberapa lelaki warga Bangladesh berjaya ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Manakala, dalam serbuan di lokasi berasingan di sebuah apartmen kediaman seorang wanita Filipina berusia 30-an, anggota penguat kuasa terpaksa menunggu lama rakan serumah wanita berkenaan, seorang lelaki warga Nigeria.

Ini kerana, wanita terbabit memberi alasan tidak mempunyai kunci rumah, sedangkan rakannya itu sudah keluar.

Curiga dengan keadaan itu, anggota penguat kuasa meminta wanita terbabit yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah menelefon rakannya itu yang pulang beberapa minit kemudian.

Itu adalah antara peristiwa 35 ditahan termasuk lima wanita warganegara asing dalam operasi Jabatan Imigresen negeri dalam tiga serbuan di dua lokasi berasingan di Mantin dan Nilai, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman berkata, kesemua ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam serbuan itu, kita menangkap 12 orang warga Nigeria, empat Bangladesh, dua Sudan, satu Iran dan satu Filipina,” katanya.

Bagi satu lagi lokasi di Nilai, katanya, seramai tujuh warga Nigeria, empat Bangladesh, satu Indonesia, satu Uganda dan dua warga Myanmar yang memegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubu­han Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi kad pelarian tersebut tidak diiktiraf.

Faizal Fazri berkata, kesemua mereka dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen, Lenggeng untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

Katanya, dalam operasi kali ini, seramai 150 orang warga asing telah diperiksa dokumen perjalanan mereka.

“Jabatan Imigresen turut membawa Pasukan Kawalan Khas Imigresen yang pada masa ini bertindak sebagai pasukan anti rusuhan di Depoh Tahanan Imigresen.

“Ini kerana, sebelum ini, semasa kita menjalankan operasi, pernah pegawai kita dipukul oleh warganegara asing. Jadi kita bawa pasukan ini bagi menggerunkan mereka,” katanya,

Faizal Fazri berkata, operasi yang turut disertai Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Polis Diraja Malaysia bermula pada 10 malam dan berakhir kira-kira enam jam kemudian.