|
SUASANA di sekitar Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada pagi itu tampak sibuk.
Lori-lori kecil yang membawa pelbagai barangan segar seperti ikan dan sayur-sayuran bergilir-gilir memasuki aras bawah kompleks dua tingkat itu.
Di aras atas, keadaan agak riuh-rendah dengan suara peniaga dan pelanggan yang sedang tawar-menawar harga barangan.
Laungan segelintir peniaga yang tidak putus-putus menarik pelanggan juga turut kedengaran di sana sini.
"Haa... meh singgah dulu tengok ikan. Semua segar-segar. Haa... pilih-pilih," jerit seorang peniaga ikan yang berada beberapa meter di hadapannya.
Seorang penjual buah yang berada tidak jauh dari situ juga seakan-akan tidak mahu mengalah, "Haa... rapat.. rapat, limau manis, lelong.. lelong."
Wanita itu hanya tersenyum melihat pelbagai gelagat di depan matanya. Biarpun tidak memahami perkataan yang dituturkan, namun dia yakin setiap peniaga pastinya mempunyai strategi tersendiri melariskan hasil jualan mereka.
Apa yang pasti, sejak tiba di negara ini kira-kira enam bulan lalu, dia cukup teruja setiap kali berkunjung ke kompleks yang terletak di bersebelahan Jalan Wan Kadir itu.
"Sebut apa sahaja, semua boleh didapati di sini. Ia umpama sebuah pasar raya kecil yang lengkap.
"Lagi pun lokasinya amat strategik dan terletak berhampiran rumah saya di Bukit Kiara," kata Alexandra Le Vaillant, 32.
Wanita yang berasal dari Palaiseau, pinggir selatan Paris, Perancis itu berkata, dia lebih menggemari konsep pasar tradisi seperti di Pasar Besar TTDI berbanding berkunjung ke pasar raya besar atau kompleks membeli-belah.
Katanya, selain tidak terlalu sesak, dia juga berpeluang mendapat pelbagai produk basah dan kering yang segar dan berkualiti pada harga jauh lebih rendah.
"Di sini saya berpeluang mendapat ikan, ayam atau daging yang segar. Pastinya ia memberi kepuasan, lebih-lebih lagi mereka yang gemar memasak seperti saya.
"Di samping itu, konsep pasar tradisi membolehkan saya berkenalan dan berinteraksi dengan peniaga dan pelanggan. Secara tidak langsung ia membolehkan saya mengenali sosiobudaya masyarakat di negara ini lebih dekat," ujarnya yang berkunjung ke situ dua hingga tiga kali seminggu.
Sejarah Pasar Besar TTDI
Alexandra memberitahu, dia mengetahui kewujudan pasar itu daripada beberapa rakan senegaranya yang menetap di sekitar kawasan perumahan di situ.
"Lokasi ini menjadi tempat pertemuan kami saban minggu. Sekurang-kurangnya ia dapat menghilangkan kerinduan terhadap keluarga di Perancis," ujarnya.

Terletak di kawasan seluas 1.36 hektar, Pasar Besar TTDI memulakan operasinya pada tahun 1985.
Sejarah pembinaannya bermula, apabila Pasar Besar Kuala Lumpur yang menjadi lokasi pasar basah dan kering kepada penduduk dan pelombong bijih timah di sekitar Kuala Lumpur satu ketika dahulu ditutup.
Bangunan penuh bersejarah itu telah dinaik taraf menjadi Pasar Seni yang menempatkan pusat kesenian dan jualan kraftangan seperti hari ini.
Kesemua peniaga terbabit kemudiannya telah dipindahkan ke tiga buah pasar moden yang baru dibina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) iaitu di Pasar Besar TTDI, Pasar Besar Gombak dan Pasar Besar Cheras.
Selepas 27 tahun beroperasi, sebahagian besar peniaga di Pasar TTDI merupakan generasi kedua dan ketiga peniaga-peniaga di Pasar Besar Kuala Lumpur.
Salah seorang peniaga yang masih terus bertahan ialah Minah Jakan, 85.
Wanita yang berasal dari Bukit Tinggi, Indonesia itu masih meneruskan perniagaan asalnya, menjual sayur dan produk-produk kampung seperti pucuk ubi, pucuk paku, halia, serai, tempoyak dan belacan.
![]() |
| ALEXANDRA memilih membeli-belah di Pasar Besar TTDI dua hingga tiga kali seminggu berbanding di pasar raya besar. |
Katanya, Pasar Besar Kuala Lumpur sememangnya padat dengan aktiviti perniagaan dan sering menjadi tumpuan warga kota.
"Dahulu peniaga kurang selesa kerana ruang perniagaan yang sempit, padat dan tidak mencukupi sehingga menyebabkan ia melimpah sehingga ke luar.
"Di samping itu, kami juga dibebani pelbagai masalah seperti sampah sarap yang berselerakan, longkang tersumbat, keadaan lantai yang licin dan berlopak-lopak serta bau hanyir yang menusuk hidung," ceritanya.
Lebih moden dan sistematik
Bagaimanapun, semuanya berubah sebaik sahaja berpindah ke lokasi baharu.
"Pasar ini lebih moden dan sistematik. Ruang yang lebih luas untuk jualan dan penyimpanan barang, laluan khas untuk mengangkut barang di samping tidak bercampur aduk antara satu sama lain.
"Pada masa yang sama, ia juga lengkap dengan kemudahan parkir, tempat menurunkan barang, lif, eskalator, tandas dan surau," ujarnya.
Jelas Minah, walaupun berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan kurang daripada RM100 sehari dia berjaya membesarkan anak-anaknya di samping menunaikan haji dan umrah beberapa kali sebelum ini.
"Jika diikutkan, anak-anak melarang saya berniaga kerana faktor usia. Namun, saya bosan duduk tanpa berbuat apa-apa di rumah.
"Selagi kesihatan saya mengizinkan, saya akan terus berniaga. Lagi pun seronok dapat bertemu rakan-rakan lama di sini," katanya yang menetap di Kampung Sungai Penchala.
Sementara itu, peniaga rempah, Roseline Ong, 57, berkata, ketika pasar itu mula-mula dibuka, ramai peniaga mengalami kerugian disebabkan ketiadaan pelanggan.
Katanya, kawasan TTDI dan sekitarnya masih belum membangun sepenuhnya berbanding daerah-daerah lain di Kuala Lumpur.
"Hari ini, keadaan jauh berbeza. Banyak kawasan baharu yang dibuka untuk tujuan perniagaan dan perumahan menyebabkan pelanggan juga semakin bertambah.
"Jangan terkejut kerana satu pertiga pelanggan kami di sini merupakan golongan ekspatriat. Mereka menyukai konsep pasar tradisi ini yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri," ujar wanita yang berasal dari Pulau Tikus, Pulau Pinang itu.
Perniagaan rempah dan perencah makanan di bawah nama Lizar Chilli Curry Spices itu mendapat sambutan menggalakkan, khususnya bagi golongan yang bekerja kerana ia mudah disediakan dan tanpa berkrompomi tentang rasanya.

"Setiap hari saya memerlukan lebih 12 guni bahan asas seperti lengkuas, bawang merah, halia dan cili merah untuk menampung keperluan pelanggan termasuk tempahan bagi pengusaha restoran dan pasar raya," katanya.
Ditanya mengenai keistimewaan rempah dan perencah yang dihasilkan, Roseline berkata, ia terletak kepada resipi asli turun-temurun keluarganya yang berasal daripada masyarakat Peranakan.
"Istimewanya masakan masyarakat kami kerana ia menggabungkan elemen rempah-ratus masyarakat Melayu, Cina termasuk India.
"Tidak hairanlah, pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada masyarakat pelbagai kamu di negara ini, malah ekspatriat juga turut menggemarinya," katanya yang mendalami ilmu itu sejak dari kecil.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: