SUATU pemandangan yang amat menyedihkan apabila bangkai-bangkai ikan dolfin ditemui terdampar sepanjang pesisiran pantai berpasir Chiclayo, Peru pada awal bulan lalu.
Bangkai-bangkai tersebut kelihatan di sepanjang hamparan sepanjang 112.7 kilometer. Terdapat banyak bangkai dolfin yang diselaputi pasir pantai.
Selain itu, ikan-ikan bilis yang mati dalam kuantiti besar turut ditemui dalam kawasan sama di Lambayeque yang terletak 804 kilometer dari utara Peru.
Jumlah bangkai dolfin daripada jenis bottlenose yang pada mulanya dikesan oleh penduduk tempatan itu masih sukar untuk dipastikan kerana terdapat pelbagai angka dilaporkan.
Kapsyen gambar agensi berita, Reuters, melaporkan kira-kira 17 ekor dolfin mati manakala sebuah lagi laporan mengeluarkan angka sejumlah 264 ekor. Namun, rata-rata laporan yang disiarkan di Internet adalah sekitar 200 ekor.
Ada juga para penduduk tempatan yang memotong bangkai-bangkai mamalia laut itu untuk dijadikan hidangan.
Teka-teki
Sehingga kini, pihak berkuasa masih berteka-teki mengenai sebab utama dolfin-dolfin itu mati terdampar di pantai.
Sudah pasti setiap faktor yang berkaitan dengan laut dipersalahkan sama ada kegiatan manusia ataupun aktiviti cari gali minyak.
Dalam laporan sebuah laman web www.itn.co.uk, pihak kerajaan tempatan mengeluarkan kenyataan bahawa kegiatan pemburuan oleh penduduk tempatan adalah penyebab utama beratus-ratus ekor dolfin itu menjadi korban.
Pendapat tersebut turut disokong fakta yang menyatakan kawasan Chiclayo bukan tempat biasa untuk dolfin.
Seorang ketua kumpulan nelayan Lambayeque, Jorge Cabrejos melontarkan pendapat, dolfin-dolfin tersebut mati disebabkan makanannya iaitu ikan-ikan kecil yang memakan plakton tercemar.
Sementara itu, Carlos Yaipen dari Organisasi Penyelidikan dan Konservasi Haiwan-haiwan Akuatik (ORCA) berpendapat dolfin-dolfin itu mungkin terbunuh akibat impak kegiatan cari gali dan eksplorasi minyak di kawasan tersebut.
Lima teori
Baru-baru ini, Katie Moore daripada Dana Kebajikan Haiwan Antarabangsa (IFAW) yang bertanggungjawab membuat penyelidikan fenomena tersebut telah mengeluarkan lima teori mengenai sebab berlaku kejadian itu.
Teori pertama adalah keadaan air laut lebih panas pada musim sejuk yang berbeza berbanding sebelum ini. Ia memberi kesan pada kitaran pembaikan dan corak hibernasi seterusnya mempengaruhi ragam serta sifat semula jadi dolfin.
“Bentuk muka bumi Tanjung Cod yang berbentuk seperti cangkuk boleh memerangkap dolfin-dolfin dan menyebabkan haiwan itu keliru,” kata Katie dalam blognya.
Bagaimanapun, timbul pula persoalan mengenai sebab dolfin-dolfin itu mahu masuk ke kawasan Tanjung Cod.
Pergerakan mangsa yang berubah arah laluan turut menjadi alasan perkara tersebut berlaku. Dolfin akan mengikut mangsanya dan teori itu menerangkan sebab dolfin dan ikan-ikan seperti sardin terdampar di Peru.
Selain itu, pendapat tentang dolfin-dolfin berkenaan dijangkiti penyakit juga boleh menjawab persoalan kematian spesies itu dalam angka yang banyak.
Pihak IFAW telah mengambil sampel darah dan membuat penandaan. Para penyelidik turut melakukan bedah siasat (necropsy) terhadap bangkai dolfin tetapi sebab utama kematian masih belum dikenal pasti.
Sebuah seminar kongres telah diadakan pada awal bulan ini bagi menggesa masalah tersebut diselesaikan segera.
Teori terakhir adalah berlaku kesakitan penyahmampatan yang disebabkan oleh buih-buih udara dalam badan dolfin. Hal itu juga masih belum dibuktikan.
Terdapat sebuah kes sebelum ini yang seakan-akan sama. Sekumpulan paus berparuh terdampar berdekatan tempat latihan sonar tentera laut. Darah dan tisu ikan paus itu mempunyai buih.
Perairan Peru dikenal pasti mempunyai lebih 30 spesies paus dan dolfin. Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa Peru mempunyai kepadatan bilangan dolfin bottlenose tertinggi di dunia di kawasan perairannya.
Di pesisiran sepanjang 180 kilometer di antara Lima dan Paracas, sebanyak 1,600 keping foto dirakam dengan kepadatan dolfin melebihi enam ekor bagi setiap kilometer.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: