![]() |
| KREATIF. Salah satu rekaan kasut yang berkonsepkan bekas simpanan alat solek. |
SEBELUM ini kebanyakan generasi muda yang terjun ke dunia fesyen lebih cenderung menjadi pereka busana. Tetapi kini semakin ramai yang dilihat memberanikan diri untuk bergelar pereka aksesori terutamanya sepatu.
Dengan kejayaan beberapa nama tempatan seperti Profesor Datuk Jimmy Choo, tidak hairanlah ramai anak muda terpanggil untuk bergelar pereka kasut dan menjadikan beliau sebagai inspirasi ideal.
Fenomena berkenaan jelas dilihat sepanjang berlangsungnya Pertandingan Rekaan Kasut Malaysia (MFDC) yang bakal mengumumkan para pemenang pada penghujung bulan Mac ini.
Menurut pereka tempatan Bill Keith, pertandingan dianjurkan bersama oleh Persatuan Pembuat Kasut Malaysia, Persatuan Pembuat Kasut Perak, Persatuan Pembuat Kasut Pulau Pinang dan Persatuan Pembuat Kasut Selangor, pertandingan yang dianjurkan buat kali kelima itu telah disertai oleh sembilan institusi pengajian tinggi fesyen menerusi 233 peserta.
Ia terdiri daripada UCSI, Equator Academy of Art, Politeknik Johor Bahru, Raffles Higher Education, SML Fashion Academy, Universiti Lim Kok Wing, Malaysia Institute of Arts, TAR College dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar Perak.
Para peserta berusaha mempamerkan kreativiti rekaan kasut kerana pemenang bukan sekadar pulang dengan pelbagai hadiah menarik seperti wang tunai, trofi, iPad 2 dan sijil, malah akan terbang keGuangzhou, China.
Di Guangzhou, pemenang akan mewakili Malaysia untuk Pertandingan Rekaan Kasut Antarabangsa pada bulan April depan.
"Menariknya, pada tahun ini terdapat satu lagi kejutan apabila semua penyertaan akan dimuatnaik dalam Facebook dan pembaca boleh mengundi rekaan peserta kegemaran dengan menekan butang Like.
"Penyertaan yang menerima undian Like paling banyak akan menerima anugerah penghargaan Most Liked Award dan berpeluang memenangi wang tunai RM1,000," jelas Bill.
Menurut Presiden Persatuan Pembuat Kasut Malaysia, Tony Ting, sejak dianjurkan pada tahun 2008, penyertaan menyaksikan perkembangan yang positif apabila jumlah penyertaan meningkat sehingga dua kali ganda tahun ini.
"Pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pereka muda tempatan.
"Ia juga merupakan platform terbaik bagi masyarakat fesyen khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam jurusan rekaan kasut dalam menyahut gelombang kompetitif rekaan kasut di peringkat dunia," kata Tony.
Rata-rata peserta pertandingan berpendapat, mereka tidak mampu untuk menangkis aliran terkini yang menjurus kepada rekaan-rekaan yang lebih konstruktif dan moden.
Dengan cita rasa pengguna yang semakin canggih dan inovatif, permintaan rekaan yang berani dengan penggunaan bahan yang lebih canggih, segar dan nampak luar biasa menjadi keutamaan.
Kategori pertandingan kasut
Sementara itu, Jimmy Choo yang juga penyokong setia pertandingan itu sejak tahun pertama diadakan melahirkan rasa kekaguman terhadap beberapa hasil kreativiti peserta.
"Usah sia-siakan peluang yang ada dan timba pengalaman sebanyak mungkin memandangkan pada zaman saya mula berjinak-jinak dengan dunia rekaan kasut, tidak ada dorongan atau galakan seumpama ini," ujarnya.
Pada pertandingan tahun ini, ia terbahagi pada dua kategori iaitu rekaan kasut lelaki dan rekaan kasut wanita. Ia diadili barisan pereka fesyen seperti Khoon Hui, Editor Fesyen Kee Hua Chee dan Pengarah Kreatif Nose, Sue Koh.
Tidak ketinggalan Presiden Persatuan Pereka Bumiputra (BDA), Mahani Awang dan Presiden Malaysian Official Designer Association (MODA), Gillian Hung.
Pembuatan kasut Malaysia
![]() |
| PERTANDINGAN MFDC membuka peluang kepada bakat baharu menonjolkan bakat membuat sepatu. |
Menyorot sejarah industri kasut di negara ini, ia sudah bermula sejak 100 tahun lalu. Bertitik tolak daripada sebuah industri perdagangan kecil-kecilan tradisional, ia berkembang sehingga meletakkan Malaysia antara negara pengeluar utama kasut fesyen mewah dalam kalangan negara Asia Tenggara (ASEAN).
Lebih menakjubkan industri pembuatan dan pengeluaran kasut mampu menjana pendapatan ekonomi negara sehingga RM600 juta setahun melalui eksport ke negara Eropah, Jepun, Asia Barat dan negara ASEAN yang lain. Pada masa yang sama, ia turut menjana pendapatan sebanyak RM500 juta dalam pasaran tempatan.
Menurut Pengerusi Pelancongan Malaysia, Datuk Dr. Victor Wee, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, hari ini terdapat lebih kurang 1,000 kilang pengeluar kasut di seluruh negara yang memberi pekerjaan kepada 30,000 orang pekerja di Perak, Selangor dan Johor.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: