Sunday, March 25, 2012

Ketengah bakat baru

SELINGAN...persembahan tarian oleh krew Eyoi.
SELINGAN...persembahan tarian oleh krew Eyoi.

SANTUN menyusun langkah sambil kasut ‘stiletto’ (tumit tinggi tajam) kemas tersarung di kaki membantu menyerlahkan lagi perawakan tubuh si dara yang tinggi lampai.

Bijak mengenakan solekan bersesuaian dengan warna baju, penampilan sekumpulan gadis ketika menyertai satu pertandingan pencarian peragawati tampak anggun dalam persalinan gaun malam.

  • Foto

    ISTIMEWA...’pose’ Idayu ketika dalam sesi pakaian kasual.

  • Foto

    ‘RUNWAY’...peserta lelaki bergaya di pentas.

  • Foto

    SANTAI...Azizul memperagakan persalinan warna perak.

  • Foto

    KELEBIHAN...model perlu tahu kelebihan diri supaya gaya sesuai dengan penampilan.

  • Foto

Sesekali terdengar sorakan nakal hadirin pada majlis ‘Glam Beauty Nite 2012’ di Hotel De Palma, Ampang baru-baru ini, tidak sedikit pun membuatkan enam gadis yang terpilih ke peringkat akhir canggung untuk mengorak langkah ‘catwalk’.

Enggan mengalah, peserta lelaki yang turut bertanding dalam misi Pencarian Model Komersial Eyoi Artistic 2012 itu tampil dengan pakej segak bergaya meskipun hanya mengenakan pakaian kasual.


Aksi mereka jelas mencuri tumpuan tetamu, apatah lagi sebahagian besar mereka pelajar perempuan yang mengikuti program kecantikan di Kolej Geomatika, Kuala Lumpur.


Menurut Pengasas Eyoi Artistic, Shahrul Nizam Abdullah, pertandingan itu bukan saja bertujuan mencari muka baru mewakili produksi kreatifnya, tetapi juga sebagai batu loncatan bagi mereka yang mahu menceburi bidang peragaan.

“Saya menganjurkan pertandingan itu untuk mengetengahkan muka baru dalam bidang peragaan kerana saya melihat mereka masih muda dan mencari-cari peluang bergelar model terkenal.

“Mereka bermula dengan produksi saya dan siapa tahu mereka boleh berkembang lebih jauh kerana ruang diberikan menerusi pembabitan dalam pertandingan sebegini,” katanya yang juga pensyarah diploma kecantikan Kolej Antarabangsa Geometika.

Shahrul yang juga dikenali sebagai Eyoi berkata, dia menerima ratusan penyertaan dan gambar peserta akan diundi menerusi status ‘like’ dalam laman sosial Facebook (FB) pertandingan itu.

“Peserta diundi oleh mereka yang mengunjungi laman FB pertandingan menerusi pilihan status ‘like’ pada gambar dimuat turun. Mereka yang beroleh undian paling tinggi layak ke peringkat akhir.

“Ketika di final, mereka perlu melalui ujian seperti penggayaan pakaian tradisional, kasual dan akhir sekali, gaun malam. Peserta turut diuji dengan ketajaman akal serta kepetahan berbicara dalam sesi terakhir, di mana mereka akan diajukan soalan membabitkan pengetahuan am,” katanya yang turut memaklumkan, peserta perlu membuat persembahan bagi slot ‘talent time’.

Bagi juara kategori peragawati, Mas Idayu Md Saad, 22, dia tidak menyangka menang kerana saingan pada malam itu memang sengit.

“Kemenangan memang di luar jangkaan kerana semua yang menyertai pertandingan mempunyai peluang sama dan kecantikan tersendiri.

“Ketika nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya tergamam seketika kerana masih tidak mempercayai saya menjuarai pertandingan.

“Alhamdulillah, ini yang dikatakan rezeki dan sekurang-kurangnya dengan menyertai pertandingan ini, ia membuka peluang untuk bergerak lebih jauh dalam bidang kecantikan selain menceburi bidang perniagaan,” katanya yang juga penuntut bidang kecantikan di Kolej Geometika.

Naib juara, Shafiqah Janudin, 22, pula berkata, penyertaan selaku model bertudung mungkin mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Namun sebaik terpilih hingga ke peringkat akhir, ia sedikit sebanyak menunjukkan respons positif model berhijab sepertinya tidak diketepikan daripada arena penuh glamor itu.

“Saya cintakan bidang peragaan kerana mahu sentiasa kelihatan bergaya dan cantik. Ia sebati dengan personaliti saya yang gemar berdandan sambil berfesyen.

“Terpilih sehingga ke peringkat akhir malam ini sekurang-kurangnya membuktikan wanita bertudung serta menutup aurat masih boleh menggayakan pakaian pelbagai fesyen mengikut ‘trend’ masa kini,” katanya yang mengagumi model ternama negara, Amber Chia.

Pemenang kategori peragawan, Azizul Arif Ahmad pula berkata, dia pada mulanya keberatan menyertai pertandingan kerana tidak yakin dengan potensi dirinya.

“Mujur Eyoi meyakinkan yang saya mempunyai kriteria seorang model, lalu saya akur dan mencuba nasib dalam pertandingan ini.

“Alhamdulillah, penyertaan saya bukan sekadar memenangi pertandingan, malah bakat saya dalam bidang ini turut dijengah agensi model luar,” katanya.

Naib juara, Mohd Asri Isa, 27, berkata dia gembira mara ke peringkat akhir dan melalui pertandingan itu dia mengutip pengalaman berharga kerana pertama kali beraksi sebagai ‘runway model’.

“Sebelum ini saya hanya menghiasi majalah dan tidak pernah tampil memperagakan pakaian secara langsung di depan ramai orang.

“Namun dalam pertandingan pencarian model anjuran Eyoi Artistic, saya perlu lebih versatil disebabkan penilaian meliputi cara berjalan, keyakinan diri, kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata.

“Ia memberi pengalaman baru kepada diri sambil berpeluang mengenal rakan seangkatan dalam persaingan hebat menerusi pertandingan ini,” kata bekas penuntut jurusan seni bina, Kolej Antarabangsa Twintech itu.

Sementara itu, Rektor Kolej Antarabangsa Geomatika, Mohaizi Mohamad berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada pembabitan pelajar dalam bidang peragaan kerana nilai komersial dan peningkatan pasaran tempatan menawarkan pendapatan lumayan kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang itu.


PROFIL

NAMA: Mas Idayu Md Saad
UMUR: 22 tahun
ASAL: Alor Setar, Kedah
PENDIDIKAN: Diploma Kecantikan dan Kesihatan Kolej Antarabangsa Geomatika
CITA-CITA: Usahawan kecantikan


PROFIL

NAMA: Azizul Arif Ahmad
UMUR: 27 tahun
ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu
PENDIDIKAN: Ijazah Rekaan Grafik, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU)
CITA-CITA: Pereka grafik


PROFIL

NAMA: Mohd Asri Isa
UMUR: 27 tahun
ASAL: Kota Kinabalu, Sabah
PENDIDIKAN: Ijazah Seni Bina, Kolej Antarabangsa Twintech
CITA-CITA: Arkitek

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: