PELBAGAI cenderamata yang diperbuat daripada kain Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan pelancong luar dan tempatan yang berkunjung ke galeri Perniagaan Sutera Pulau Keladi. |
SAAT menjejakkan kaki di bengkel Perniagaan Sutera Pulau Keladi, Pekan, Pahang, kedengaran bunyi ketukan mesin kek (mesin tenun tradisional) yang menjadi ‘irama’ peneman.
Suasana itu memberikan mood kepada penenun untuk lebih tekun dan fokus menghasilkan tempahan kain Tenun Pahang Diraja.
Begitulah rutin harian di bengkel milik Azman Zakaria, 41, yang terlibat dalam pelaksanaan projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Kraftangan Malaysia.
Kelihatan ada penenun yang sedang melakukan proses mengubung (mengikat sehelai demi sehelai benang), meneguh dan menenun.
“Di bengkel ini sahaja kami mempunyai tujuh orang penenun, namun terdapat beberapa lagi penenun di sekitar Pulau Keladi, Kampung Temai, Kampung Pulau Rumput dan Felda Chini Timur.
“Dengan bantuan alat menenun dan bantuan kewangan daripada Kraftangan Malaysia, kini saya dapat membesarkan bengkel tenunan ini,” katanya yang memulakan perusahaan tenun pada tahun 2003 di bangunan muzium di Kampung Budaya Pulau Keladi.
Menjadi salah seorang pemain dalam industri kain Tenun Pahang Diraja, Azman masih mengekalkan ciri tradisional dalam penghasilan kain tenunnya selain pada masa yang sama menyuntik elemen kontemporari selari dengan permintaan semasa.
Menurutnya, pelancong asing lebih menggemari kain tenun yang mempunyai reka corak tradisional berbanding kontemporari.
Dia yang mula menenun pada tahun 1999 mengikut jejak arwah ibunya mengambil masa setahun untuk memahirkan diri.
Kerja rumit
Azman memberitahu, dalam menghasilkan kain Tenun Pahang Diraja, seseorang penenun itu perlu mempunyai minat, ketekunan, kesabaran yang tinggi dan ketelitian sebagai kriteria utama.
“Penghasilan kain tenun melibatkan tujuh proses sebelum memulakan tenunan iaitu proses mewarna, menerau, menganing (mengatur corak), menyusuk, menggulung, mengubung dan meneguh.
“Penenun yang baik perlu menguasai kesemua proses tersebut dan seseorang itu mengambil masa setahun untuk memahirkan diri dalam bidang ini,” ujarnya sambil memberitahu proses menyambung benang merupakan proses yang paling rumit.
Katanya, kain tenun dengan motif tradisional lebih mahal kerana ia memerlukan lebih banyak corak. Oleh kerana itu, kebiasaannya kain tenun tradisional hanya dihasilkan oleh kakaknya iaitu Norakama, 43.
Bekalan bahan mentah pula diambil dari Terengganu dan Kelantan, manakala bekalan benang sutera pula dari China.
“Setiap penenun diberikan elaun sebanyak RM100 sebulan dan pemberian gaji dikira berdasarkan pengeluaran iaitu dalam lingkungan RM600 hingga RM2,000 atas komitmen yang diberikan,” katanya memberitahu penenun wanita lebih tekun dan cekap.
Penenun yang cekap mampu menghasilkan sepasang kain tenunan berukuran dua suku meter dalam masa satu setengah hari.
Dalam pada itu, Norakama memberitahu, cepat atau lambat penghasilan kain tenun bergantung kepada panjang kain dan reka coraknya.
“Selain menjual samping dan kain pasang kain Tenun Pahang Diraja, di sini turut menjual pelbagai produk cenderamata daripada kain tenun seperti kotak pensil, kerongsang, sarung kotak tisu dan beg kecil yang dijual antara harga RM10 hingga RM3,000.
“Kain tenun ini ada cara penjagaannya iaitu perlu dibasuh dengan menggunakan kaedah cucian kering, basuh dengan menggunakan pelembut pakaian, tidak boleh diperah kuat dan tidak boleh dijemur di tengah panas,” katanya yang mula menenun pada usia 18 tahun.
Dalam pada itu, Norlianawati Ayob, 22, yang sudah tiga tahun menjadi penenun di Perniagaan Sutera Pulau Keladi memilih untuk berkecimpung dalam bidang tenunan kerana minatnya yang mendalam terhadap seni kraf tersebut.
“Jika bukan orang muda yang menjadi pelapisnya, siapa lagi yang mahu meneruskan warisan ini?” katanya yang mampu menenun sehelai selendang dalam satu hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: