|
KEHARUMAN aroma kopi menusuk hidung sebaik sahaja melangkah masuk ke DiB Coffees of Hawaii yang terletak di bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.
Dengan dinding dihiasi lukisan mural penari aloha dan pemain ukulele bertali empat yang cukup popular di Hawaii, Amerika Syarikat (AS), ia menyerlahkan lagi perspektif dalaman kafe berkenaan.
Dilengkapi dekorasi berwarna jingga, pencahayaan baik dan susun atur perabot yang cukup kemas menjadikan kafe yang menawarkan pelbagai aneka kopi serta teh herba itu tidak ubah seperti kebanyakan rangkaian kopi terkenal dunia.
Bagaimanapun, apabila melihat menu yang mempunyai paparan gambarajah bahasa isyarat sambil disambut pekerja orang kelainan upaya (OKU) pendengaran memperlihatkan keunikan dan keistimewaan kafe yang membuka pintunya pada awal tahun ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DiB Coffees of Hawaii, Dr. Allen Teh memberitahu, hampir 95 peratus atau lebih tepat tujuh orang pekerja yang diambil bekerja di situ merupakan golongan OKU pendengaran menjadikan kafe tersebut berbeza daripada kafe biasa.
“DiB yang terdapat pada pangkal nama kafe ini membawa maksud Pekak Dalam Perniagaan (Deaf in Business). Saya ingin memberi platform kepada golongan istimewa ini merasai pengalaman bekerja sekali gus menjadikan mereka lebih berdikari.
“Selain daripada itu, golongan OKU pendengaran ini akan diberi pendedahan mengenai pengendalian dan selok-belok sesebuah perniagaan. Sumbangan kecil ini diharap dapat meningkatkan lagi keyakinan diri mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Pembabitan lelaki cukup peramah itu dalam berdepan golongan OKU pendengaran dalam industri makanan dan minuman (F&B) bukan baharu apabila pernah mengendalikan projek DEAF Kentucky Fried Chicken (KFC) Imbi, Kuala Lumpur pada tahun 1985.
Bak kisah cinta
Ringkas jawapan daripada mulut Dr. Allen apabila diajukan soalan mengenai cetusan idea dalam pembukaan DiB Coffees of Hawaii iaitu ia bagaikan sebuah kisah cinta.
“Selepas 27 tahun berlalu mengendalikan projek DEAF KFC Imbi, cinta saya dalam membantu golongan OKU pendengaran semakin menebal dalam diri.
“Ketika mengendalikan projek berkenaan, saya sanggup mempelajari bahasa isyarat melalui buku-buku dan Internet sekali gus memberi perspektif serta pemahaman lebih mendalam terhadap golongan OKU pendengaran ini,” ujarnya lagi.
Dr. Allen memberitahu, beliau mendapati tidak banyak peluang pekerjaan disediakan kepada golongan OKU pendengaran terutamanya dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Justeru itu, beliau yang turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Customer Care (CCC) Malaysia, menjadikan kafe berkenaan sebagai platform dalam membantu dan meningkatkan keyakinan diri golongan OKU pendengaran.
Ragam
Bagaimanapun, beliau perlu melakukan tapisan terlebih dahulu semasa sesi temu duga kerana mengakui berdepan pelbagai ragam daripada golongan OKU pendengaran itu.
“Daripada 100 orang yang datang untuk ditemu duga kami hanya memilih tujuh orang. Pelbagai ragam yang terpaksa dihadapi semasa sesi temu duga dilakukan. Antaranya termasuk ada yang menetapkan hari bercuti dan masa bekerja malah, menunjukkan sikap acuh tidak acuh,” katanya lagi.
Dr. Allen memberitahu, beliau menjalankan perniagaan dan perlu memilih orang yang komited dalam melaksanakan tugas mereka.
Katanya lagi, bagaimana ingin membantu orang yang tidak ingin dibantu?
“Walaupun ada antara pekerja ini tidak mempunyai latar belakang pengalaman bekerja, tetapi saya mendapati mereka sangat rajin dan ingin mempelajari sesuatu baharu.
“Saya telah melakukan latihan intensif selama satu bulan bagi menyesuaikan pekerja-pekerja dengan suasana baharu dan mengetahui teknik membancuh kopi serta sebagainya sebelum kafe ini membuka pintu kepada orang ramai,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, melatih pekerja-pekerja golongan OKU pendengaran memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mereka mudah terguris hati.
Katanya, mereka juga mudah terleka apabila melakukan tugasan diberikan dan memerlukan bimbingan daripada jurulatih yang terdapat di kafe itu.
Dihargai
Apa yang dituturkan Dr. Allen, turut diakui sendiri salah seorang pekerja OKU DiB Coffees of Hawaii, Apple Yap Jet Ying, 27, yang bertanggungjawab dalam mengendalikan pastri, membikin kopi dan beberapa lagi hidangan di kafe berkenaan.
Pada peringkat awal dia mengakui agak sukar sebenarnya untuk bekerja di sebuah kafe, tetapi semuanya semakin lancar apabila dia sudah boleh menyesuaikan diri.
Dengan bantuan perunding CCC, Shasha Yusof sebagai penterjemah bahasa isyarat, Apple Yap memberitahu, dia perlu bangun seawal pukul 7 pagi untuk memastikan kelancaran kafe berkenaan.
“Saya akan menyediakan bahan-bahan pastri dan memasak untuk memastikan keenakan serta kesegaran makanan yang bakal dihidang kepada pelanggan.
“Pada mulanya, agak sukar juga melakukan tugasan tersebut tetapi lama-kelamaan ia semakin menyeronokkan,” ujarnya yang mempunyai pengalaman selama hampir tujuh tahun dalam bidang pastri.
Apple menambah, dia berasa gembira dan dihargai apabila mendapati makanan yang dihidangkan kepada pelanggan disukai mereka.
Seorang lagi pekerja OKU pendengaran yang tidak mempunyai pengalaman bekerja sebelum ini, Syamilah Razali, 23, berkata, dia berbangga kerana dapat berdikari dan mencari sumber rezeki hasil titik peluh sendiri.
“Ini merupakan pekerjaan pertama saya dan perlu belajar sedikit demi sedikit untuk memahirkan diri dalam melaksanakan tugasan.
“Selain daripada mengambil pesanan pelanggan, saya akan mengajar bahasa isyarat sekiranya mereka ingin mempelajarinya,” kata anak kedua dari lima beradik itu.
Syamilah memberitahu, dia rasa terharu apabila ada pelanggan yang ingin meluangkan masa untuk mempelajari bahasa isyarat.
Katanya, ia sedikit sebanyak memberi sinar harapan bahawa masih ada yang prihatin terhadap golongan OKU pendengaran.
Dalam pada itu, graduan seni reka grafik kolej Saito, Rachel Lam Choi Yean, 28, berkata, dia berasa agak kekok tatkala melaksanakan tugas di kafe berkenaan kerana tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.
“Setiap kali saya membuat aiskrim ataupun minuman, saya akan bertanya kepada pelanggan sama ada ia sedap atau tidak.
“Saya akan berasa amat gembira apabila mendapati mereka menyukainya,” ujar wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu.
Perancangan
Dr. Allen menjelaskan penubuhan DiB Coffees of Hawaii bukan sahaja untuk memberi platform kepada golongan OKU pendengaran, tetapi melatih mereka menjadi usahawan pada suatu hari nanti.
“Buat masa ini saya sedang merangka untuk membuka kios-kios DiB Coffees of Hawaii dan berharap mereka dapat mengendalikannya kelak.
“Saya juga berharap ada syarikat swasta yang akan tampil memberi ruang membuka kios berkenaan kepada kami sebagai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: