Sunday, March 25, 2012

Jualan jumbo Norelan


NORELAN juga membuka kedai mini di rumahnya di Kajang, Selangor khusus untuk menjual barangan terpakai.


KESUNGGUHAN bekas jururawat berusia 54 tahun ini memang luar biasa khususnya apabila melibatkan aktiviti jualan jumbo barangan terpakai yang bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada mangsa kebuluran di Somalia.

“Sebenarnya, idea jualan amal ini tercetus semasa saya mengikut suami yang bertugas di kedutaan Malaysia di Pakistan, Kemboja, Sudan, Belanda dan Thailand.

“Saya juga pernah mengikut suami melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Amerika Syarikat (AS).

“Tetapi saya lebih tertarik dengan konsep jualan barangan terpakai di Belanda dan AS,” ujar Ketua Bahagian Tengah, Islamic Relief Malaysia (IRM), Datin Norelan Ismail.

IRM giat mengadakan jualan amal atau jualan jumbo barangan terpakai seperti buku, majalah, baju, tudung dan aksesori perhiasan diri sejak lebih tiga tahun lalu.

Ceritanya lagi, barangan terpakai yang dijual di Belanda dan AS bukan sahaja berkualiti tinggi malah harganya berpatutan.

Norelan kemudian mengadaptasikan konsep tersebut di Malaysia dengan membuka gerai dalam pelbagai karnival dan ekspo yang diadakan di Lembah Klang.

Modal

“Pembeli bukan sahaja memperoleh barangan yang diingini pada harga yang murah malah setiap wang dilaburkan akan disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Ironi, barang dapat, pahala pun dapat,” katanya.

Norelan menjelaskan, konsep jualan barangan terpakai yang dipraktikkan beliau hanya memerlukan modal yang minimum.

Barangan itu sebahagian besarnya diterima hasil sumbangan orang ramai dan rakan-rakan.

“Sebaik sahaja diterima, barangan terpakai yang agak kotor akan dicuci sebelum dijual.

“Ada juga barangan yang diterima keadaannya seperti tidak pernah digunakan. Contohnya, baju wanita yang masih mempunyai tanda harga, pakaian bayi dan dompet wanita,” ujarnya.

Penggemar makanan capati ini turut menggalakkan anak-anak saudaranya mendermakan buku mereka untuk dijual.

“Sekiranya buku-buku itu sekadar dihantar ke pusat kitar semula, ia akan diproses semula dan tiada nilai ilmiahnya. Tetapi jika dibeli dan dibaca oleh seseorang, ilmu pengetahuan akan terus berkembang,” katanya berfalsafah.

Menurut Norelan, beliau menggunakan Proton Juara sebagai kenderaan untuk mengangkut barangan terpakai tersebut.

“Dahulu saya pakai Honda Stream saya tetapi badan kereta itu habis tercalar disebabkan barang-barang yang dibawa.

“Kakak saya yang kasihan dengan keadaan kereta itu kemudian menghadiahkan Proton Juara berkenaan bagi mengangkut barangan terpakai tersebut.

“Sebenarnya saya tidak kisah Honda Stream saya calar kerana ia akan menjadi saksi amal kebajikan yang saya lakukan pada hari akhirat kelak,” ujarnya.

Norelan turut membuka sebuah kedai mini barangan terpakai di kediamannya di Desa Pinggiran Saujana, Kajang, Selangor.

Bersyukur

“Ramai rakan yang datang dan membeli barangan tersebut. Walaupun baru diperkenalkan sebulan lalu, sambutan yang diterima cukup menggalakkan dengan kutipan jualan mencecah RM700.

“Kadang-kadang rakan-rakan datang ke rumah bukan ingin berbual sangat dengan saya tetapi untuk membeli barangan tersebut,” katanya berseloroh.

Beliau berterima kasih kepada suaminya kerana banyak memberi dorongan untuk terus istiqamah melakukan amal kebajikan.

“Dahulu hampir keseluruhan rumah saya dipenuhi barangan terpakai sehingga bilik air dan bilik solat menjadi mangsa.

“Suami saya kemudian membina sebuah stor ringkas di luar rumah untuk memudahkan penyimpanan barangan itu,” katanya.

Setiap barangan terpakai yang dijual Norelan berharga antara RM5 hingga RM15.

Menurut Norelan, pengalaman mengikut suami bekerja di Pakistan dan Kemboja banyak menginsafkan dirinya.

“Saya banyak membantu dari sudut psikologi anak-anak yatim di kem pelarian Afghanistan di Pakistan. Mereka kehilangan ibu bapa akibat peperangan,” ceritanya.

Beliau kemudian mengikut suaminya yang ditugaskan ke Kemboja.

“Kanak-kanak berusia enam tahun sudah menjadi pelacur di sana. Mereka dijual oleh keluarga sendiri kerana kesempitan hidup.

“Ada juga kanak-kanak yang terpaksa mencari barangan seperti botol dan kertas di tempat longgokan sampah untuk dijual,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: