Monday, March 5, 2012

Instrumen budaya

  • Foto

  • Foto

    AKSI penari cilik menambah tarikan dalam persembahan capoeira Brazil di Royal Belum World Drums Festival 2012, Perak, baru-baru ini.

  • Foto

    KL Drumline Corps mewakili Malaysia.

  • Foto

    Malwa Sabhyacharak Club, dari India.

Dari bunyi asal tulang kaki kering, evolusi alat muzik tradisional rentas sempadan, semai perpaduan

MUZIK diibarat jambatan seni yang menyatukan rumpun bangsa. Dari timur ke barat, alunan melodi yang terhasil dari alat muzik merentasi akar budaya lantas membentuk penyatuan jiwa.
Selain menjadi bukti tamadun bangsa, seni muzik yang dicipta menjadi simbol kemegahan dan identiti bangsa. Tidak hairanlah, kekuatan dan kegemilangan bangsa membawa bersama elemen muzik yang menyubur budaya.
Meneliti sejarah, muzik dikatakan hadir seawal kejadian manusia moden homo-sapien pada 180,000 hingga 100,000 tahun dulu. Tiada siapa tahu dengan jelas bila manusia mula mengenal seni dan muzik. Namun, dari penemuan arkeologi di lokasi seperti benua Afrika sekitar 180,000 hingga 100,000 tahun dulu, jelas menunjukkan perubahan evolusi pemikiran manusia.

Mengikut evolusinya, muzik pada asasnya bermula dari bunyian terhasil dari tulang kaki kering dan kayu keras yang mengeluarkan melodi. Atas kepintaran akal manusia, kulit binatang yang diletak dalam rongga kayu besar ditarik lalu dikembangkan menjadi gendang.

Dari alatan muzik asas, irama terus berevolusi dari era pertengahan, renaissance, baroque, classical hingga pasca moden. Apa yang menarik, reka bentuk dan fungsi alat muzik juga boleh dikatakan sama mengikut lokasi dan budaya kaum. Di rantau Asia contohnya, pengaruh alat muzik tertumpu kepada instrumen tradisional yang terpelihara hingga hari ini.

Antara instrumen muzik tradisional yang banyak persamaan dalam susur budaya masyarakat Asia ialah gendang, seruling dan rebana yang menjadi sebahagian daripada identiti muzik di Malaysia, Indonesia, China, Vietnam, Filipina, Thailand dan beberapa negara lain di rantau ini.
Keadaan sama dilihat di Eropah yang memiliki persamaan dari segi reka bentuk dan fungsi alat muzik. Lihat saja seni pembuatan bagpipe yang dikaitkan dengan Scotland tetapi alat muzik itu turut popular di Perancis, Belgium, Belanda, Jerman, Switzerland, Austria, Ireland dan United Kingdom (UK).

Sering kali alat muzik juga dikaitkan dengan misteri yang mewakili ‘semangat’ dalam sesebuah rumpun bangsa. Alat muzik yang sering dimainkan pada majlis keramaian dan persembahan diraja banyak dikaitkan dengan elemen mistik sehingga memberi persepsi berbeza mengikut kepercayaan sesetengah masyarakat.

Sama ada di Eropah, Asia Barat hinggalah ke rumpun Asia Tenggara, kepercayaan bahawa alat muzik memiliki semangat dan pantang larang tertentu hidup subur berdasarkan adat resam yang diwarisi turun-temurun.

Misalnya, gamelan yang menjadi antara elemen penting dalam persembahan muzik tradisional masyarakat Melayu di Malaysia dan Indonesia dikatakan memiliki misteri yang sukar diterjemah alam nyata.

Instrumen gamelan yang merangkumi metalofon, gambang, gendang dan gong masing-masing memiliki identiti tersendiri di sebalik alunan melodi bersifat spiritual. Pengaruh Jawa yang kuat dan subur melalui alunan melodi gamelan dapat disaksikan pada mana-mana persembahan kebudayaan, tarian hinggalah pada acara berkait rapat dengan persembahan diraja.

Di kalangan masyarakat Jawa khususnya di rumpun Pulau Jawa serta Keraton di Yogyakarta dan Solo, pengaruh kesenian gamelan sukar dipisahkan dari kehidupan masyarakat. Firasat hidup masyarakat Jawa sendiri cukup subur dalam memartabat seni budaya di mana gamelan menjadi perantara antara budaya dan gaya hidup.

Begitulah obsesi manusia terhadap muzik dan instrumen yang dicipta sejak berzaman dulu. Meraikan evolusi dan kegemilangan muzik, Royal Belum World Drums Festival 2012 yang berlangsung di Perak baru-baru ini menarik minat pemuzik tempatan dan antarabangsa dalam menyanjung seni irama dan lagu.

Sisipan Rona yang berpeluang menyertai festival enam hari itu menyaksikan sendiri bagaimana acara itu menjadi pentas eksperimentasi seni muzik gendang dan genderang dari seluruh dunia selain menilai sendiri apa yang dikatakan obsesi manusia terhadap keindahan irama muzik.

Selain pemuzik tempatan, festival yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Perak 2012 itu disertai delegasi kumpulan gendang dan genderang dari Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, India, Japan, Korea, Brazil dan Republic of Azerbaijan.

Meraikan evolusi muzik, sisipan Rona mendekati keunikan seni muzik lapan negara yang menyertai festival itu:

Indonesia

KAYA dengan budaya dan taburan pelbagai etnik, Indonesia mempunyai kepelbagaian alat muzik yang biasanya dimainkan dalam rentak tradisional tempatan.

Antara alat muzik tradisional negara itu ialah rebana; gong; calung; karinding; gendrum; kecapi; rebab dan saluang. Turut tersenarai saron; kendang; tambo; tifa; triton; dan angklung. Malah, sesetengah alat muzik tradisi Indonesia turut popular dan dimainkan di Malaysia seperti rebana, rebab, gong dan angklung.

Unsur spiritual dalam muzik tradisi di Indonesia dikatakan paling banyak dilihat pada persembahan gamelan masyarakat Jawa yang dianggap mistikal.

Vietnam

XAM adalah sejenis alat muzik rakyat yang popular dimainkan di wilayah utara Vietnam. Seolah-olah biola, alat muzik yang diperbuat daripada kayu ini mempunyai tali halus dan perlu digesel untuk mengalunkan muzik mengasyikkan.

Ketika era pemerintahan dinasti, alat muzik Xam sering dimainkan penghibur buta yang mengembara dari bandar ke bandar. Hari ini, alat muzik ini semakin terancam dan kurang dimainkan.

India

PEPA adalah salah satu instrumen muzik yang menjadi identiti tradisional India. Kerap dimainkan di daerah Assam, instrumen muzik itu biasanya diperbuat daripada batang pendek seperti buluh dan rotan kecil.

Untuk menambah alunan bunyi asyik dalam instrumen tiupan ini, ia menggunakan bahagian tanduk kerbau. Seperti alat muzik lain, instrumen ini juga semakin terhakis dek arus pembangunan dan kurangnya pemeliharaan. Difahamkan setiap Pepa dijual pada harga Rs2,500 (RM157) sekarang.

Korea

JANGGU atau dieja sebagai changgo adalah sejenis gendang yang digunakan secara meluas dalam muzik tradisional Korea. Reka bentuk yang melengkung dan bertali di bahagian tepi, alat muzik gendang ini boleh didapati dalam kebanyakan jenis - merangkumi badan hourglass berbentuk dengan dua kepala yang diperbuat daripada kulit binatang.

Dua bahagian kepala menghasilkan bunyi yang berbeza dan apabila dimainkan bersama dipercayai mewakili keharmonian lelaki dan wanita.

Jepun

RYUTEKI adalah seruling dan dikenali sebagai ‘naga seruling’ di kalangan masyarakat Jepun. Diperbuat daripada buluh, instrumen muzik ini sering digunakan dalam muzik klasik Shinto.

Bunyi yang dihasilkan dalam Ryuteki dikatakan mewakili naga yang mendaki langit (diwakili oleh Sho). Manakala manusia di bumi (diwakili oleh hichiriki). Ryuteki adalah salah satu daripada tiga seruling dalam rumpun instrumen muzik berkenaan.

Takeshi Sasamoto adalah antara pemain seruling terkemuka yang berjaya mempopularkan alat muzik Ryuteki mengikut aliran muzik terkini.

Brazil

BERIMBAU adalah antara instrumen muzik utama dalam persembahan seni capoeira Brazil. Reka bentuknya seolah-olah sebatang busur panah, alat muzik tradisional ini bagaimanapun tidak diketahui status asal usul sama ada dari Afrika, Orang Asli Brazil mahupun Eropah.

Busur muzik yang mengalunkan irama asyik ini menjadi pelengkap dalam rutin persembahan seni mempertahankan diri capoeira Brazil. Berimbau diperbuat daripada pita kayu sepanjang kira-kira empat kaki. Kayu yang digunakan adalah dari jenis verga yang didapati banyak tumbuh di Brazil dengan tali ditarik ketat serta bahagian hujungnya memuatkan buah labu kering.

Thailand

KHONG Wong Lek adalah alat muzik tradisional Thailand yang diperbuat daripada gong bersaiz kecil yang membentuk deretan melengkung. Memuatkan keseluruhan 18 gong, semua bunyian itu mempunyai identiti tersendiri lalu menjadikan alunan Khong Wong Lek bertambah asyik.

Selain Khong Wong Lek, satu lagi instrumen Khong Wong Lai mempunyai identiti tersendiri. Selalunya dua alat muzik ini dimainkan serentak untuk pelbagai persembahan seni muzik tradisional.

Azerbaijan

GARMON adalah alat muzik akordian yang popular dimainkan di Azerbaijan. Negara Arab yang bersempadan dengan Russia di bahagian utara dan Iran di sebelah selatan ini memainkan Garmon dalam persembahan tarian yang menampakkan ciri hiburan unggul masyarakat Arab.

Garmon mempunyai dua garis butang di sebelah kanan yang memainkan nota skala diatonik dan sekurang-kurangnya dua baris butang di sebelah kiri yang memainkan chords. Selain Azerbaijan, Garmon juga menjadi antara alat muzik utama di Georgia dan Chechen.


Jambatan budaya

WAKIL kumpulan Saratuspersen dari Indonesia, Muklis Sierra berkata, Royal Belum World Drums Festival 2012 dianggap jambatan budaya yang menyatukan identiti alat muzik sesebuah negara untuk dihayati secara bersama.

Mukhlis berkata, kumpulan pemuzik itu mengetengahkan elemen alat muzik dari Bali dan Sunda untuk dipelbagaikan serta disesuaikan mengikut aliran rentak muzik moden kontemporari.

“Jika kita lihat, ada banyak persamaan dari segi instrumen muzik terutama di dalam rumpun Melayu.

“Melalui festival ini, kita mampu menghayati keindahan instrumen muzik tradisi seperti yang kami cuba perkenalkan iaitu gamelan Bali, trompet Sunda dan gendang Sunda,” katanya yang tampil bersama 15 anggota pemuzik sepenuh masa dari Bandung pada festival itu.

Ditanya sejauh mana muzik mampu menyatukan bangsa dan budaya, Muklis berkata, pertunjukan seni muzik seperti yang mengisi festival gendang secara tidak langsung mendekatkan masyarakat dengan budaya.

Beliau berkata, kumpulannya menjelajah banyak negara termasuk Jepun, Australia, Belgium dan Singapura bagi memperkenalkan muzik Indonesia.

Bagi Sylvia Park Se Hyun yang mewakili kumpulan pemuzik U Ri So Ri, mereka bangga diberi peluang mengetengahkan muzik Korea di festival berkenaan.

Sylvia yang sudah lebih 15 tahun menetap di Malaysia, membentuk kumpulan muzik tradisi Korea sejak lima tahun lalu bersama dengan 10 rakan senegara.

Mengetengahkan tarian sambil mengalunkan alat muzik Janggu, Jing dan Kweng Gwari, kumpulan muzik ini berjaya mengalirkan rentak muzik baru untuk dihayati.

“Setiap kali ada acara berkaitan persembahan tradisional, kami sering diundang untuk mengadakan pertunjukan seni. Kami pernah dijemput mengadakan persembahan di hadapan anggota Kabinet di Putrajaya dan saat itu cukup menyeronokkan,” katanya.

Kumpulan muzik Absolute Thai yang diwakili Universiti Rajabhat Nakhonpathom turut gembira kerana berpeluang mempamer budaya Thai dalam festival berkenaan. Tampil bersama 20 anggota, kumpulan Absolute Thai diketuai Pairat Damrongkittarworn.

“Apa yang istimewa apabila menghadiri festival muzik ini, kita bukan hanya dapat memperkenalkan seni muzik dari negara sendiri, malah secara tidak langsung mempelajari budaya dan seni muzik negara orang,” kata Pairat.

Info

  • Royal Belum World Drums Festival 2012 dianjurkan kerajaan Perak, Tourism Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events Sdn Bhd.

  • Malaysia diwakili empat kumpulan muzik iaitu White Percussion Unit, Dhol Federation, Pekusigatra dan Kuala Lumpur Drumline Crops yang tampil dengan persembahan menghiburkan disulami elemen tradisional.


Peserta Royal Belum World Drums Festival 2012:

  • Kuala Lumpur Drumline Corps (Malaysia)
  • Dhol Federation (Malaysia)
  • White Percussion Unit (Malaysia)
  • Pekusigatra (Malaysia)
  • Wadaiko Syo (Jepun)
  • Capoeira Camara (Brazil)
  • Saratuspersen (Indonesia)
  • Absolute Thai (Thailand)
  • Rhythm Masala (Singapura)
  • Natiq Rhythm Group (Republic of Azerbaijan)
  • Malwa Sabhyacharak Club (India)
  • U Ri So Ri (Korea)
  • Bonita (Vietnam)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: