Friday, March 16, 2012

Haram cukur kening


TIDAK mensyukuri kejadian seperti perbuatan mencukur kening tanpa sebab ibarat mengubah ciptaan Allah dan atas sebab itu hukumnya haram.


SAYA pernah mendengar seorang ustaz memberitahu mencukur kening itu adalah haram. Namun begitu, ramai yang mencukur kening dengan alasan untuk mengemaskan kening supaya kelihatan cantik. Apakah hukum Islam terhadap mereka yang mencukur kening ini?

JAWAPAN:

Hukum mencukur kening adalah haram kerana ia dikira mengubah ciptaan Allah. Namun jika kening tumbuh dengan lebat lebih daripada kebiasaan hingga menimbulkan ketidakselesaan pada diri dan orang lain, maka hukumnya harus untuk mengemaskan kening sahaja dan bukan mencukur kesemuanya.

Jika dicukur kesemuanya kemudian dilukis pula kening maka perbuatan itu salah dan berdosa kerana seolah-olah ciptaan Allah itu tidak sempurna sehingga kita merasakan ciptaan kita lebih sempurna daripada ciptaan-Nya.

Moga kita dipelihara daripada hal yang sedemikian. Firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 14 yang bermaksud: 'Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui? Sedang ia amat halus urusan tadbir-Nya, lagi amat mendalam pengetahuan-Nya! Maha Mengetahui dengan segala ciptaan.'

Tidak salah tonton wayang

APAKAH hukum dalam Islam apabila seseorang itu menonton wayang di panggung wayang?

JAWAPAN:

Menonton wayang di panggung itu asalnya tiada kesalahan tetapi ia tertakluk kepada si penonton dan cerita yang ditonton.

Jika si penonton datang dengan seseorang yang bukan mahramnya dan duduk berdekatan dan mencetuskan mukadimah bagi suatu maksiat, maka ia menjadi haram.

Jika filem yang ditonton itu pula adalah suatu filem yang membangkitkan nafsu penonton atau para pelakonnya tidak menutup aurat atau filem tahyul yang boleh mengakibatkan syirik dan khurafat maka hukumnya juga haram.

Filem-filem yang banyak diterbitkan di negara kita kini boleh dikatakan kebanyakannya adalah filem-filem hantu.

Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengingatkan diri saya, para pembaca dan para penerbit filem agar jangan terlalu ghairah untuk melariskan penjualan filem semata-mata. Marilah kita sama-sama menerapkan nilai-nilai positif, keagamaan, akhlak serta pengajaran bagi penonton.

Insya-Allah dengan usaha menerbitkan filem-filem yang sedemikian, kita mampu mengubah segala keburukan kepada kebaikan dan dosa kepada pahala.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang melihat kemungkaran di depannya maka ubahlah dengan kuasa. Jika tiada kemampuan maka ubah dengan lidah dan jika tiada kemampuan maka ubahlah dengan hati, dan inilah selemah-lemah iman." Mudah-mudahan kita mampu mengubahnya dengan bantuan Allah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: