DR IAN MILSOM...ubat baru mengandungi hormon sama seperti hormon semula jadi wanita.
“CUTI wajib tiap bulan,” kata teman sepejabat dengan wajah muram selepas dua hari memerap di rumah kerana haid. Masalah ini dialami sejak umurnya belasan tahun lagi yang membuatkan dia kerap tidak hadir ke sekolah atau terpaksa mengambil cuti setiap kali datang haid kerana dia bukan saja berasa tidak selesa malah cepat berasa penat.
Semuanya berpunca daripada aliran haid yang terlalu banyak sehingga dia terpaksa menukar tuala wanita setiap jam. Bahkan kadangkala dia memakai dua lapis tuala wanita untuk mengelakkan kebocoran. Dia bernasib baik kerana ketua di pejabat memahami keadaannya tetapi seorang rakan lagi di organisasi lain yang mengalami masalah sama sering disindir kerana dianggap sengaja mencari alasan untuk ponteng kerja.
Perunding Ginekologi dan Obstetrik, Dr Suresh Kumarasamy, berkata haid adalah perubahan fisiologi bulanan yang semula jadi bagi wanita. Setiap bulan badan wanita bersedia untuk hamil tetapi jika kehamilan tidak berlaku, lapisan dinding dalam rahim akan runtuh dan dikeluarkan sebagai darah haid.
Darah haid sebenarnya terdiri daripada darah dan sebahagian tisu dari dalam rahim atau uterus. Haid bermula apabila remaja perempuan memasuki umur baligh iaitu pada umur lapan hingga 16 tahun dan ia berterusan sehinggalah seseorang itu menopaus (putus haid - biasanya lewat 40-an ke awal 50-an). Secara umumnya tempoh haid wanita tidak lama, sekitar tiga hingga lima hari saja. Ada juga yang antara lima hingga tujuh hari.
Ramai wanita berasakan darah haid mereka banyak tetapi hakikatnya jumlah yang normal ialah lebih kurang 40 hingga 60 mililiter saja. Untuk memudahkan perbandingan, jumlah darah haid ini lebih sedikit daripada satu perempat air kotak 250 mililiter.
Namun ada juga sesetengah wanita mengalami pendarahan haid yang banyak sehingga melebihi 80 mililiter sehingga memaksa mereka menukar tuala wanita setiap jam. Ada juga wanita yang terpaksa memakai lampin dewasa apabila dua lapis tuala wanita masih tidak mampu menampung darah haid mereka.
Inilah yang dialami Anita, 40, (bukan nama sebenar), pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi. Dia mengalami masalah pendarahan haid yang banyak selepas melahirkan anak keduanya. Dalam tempoh 10 tahun masalahnya bertambah teruk sehingga terpaksa berjumpa doktor.
Namun apa yang diberikan doktor hanyalah pil zat besi. Bagaimanapun ia bukan penyelesaian kerana Anita alah pada pil berkenaan. Setiap bulan dia terpaksa bertukar jenama pil sehinggalah akhirnya berjaya menemui pil zat besi yang serasi dengannya dan tidak menyebabkan ruam.
Haidnya pula lama, sehingga sembilan hari tetapi keadaan paling ‘tenat’ berlaku pada tiga hari pertama di mana darah haidnya dirasakan mencurah seperti keluar dari paip. Inilah yang menyebabkan Anita terpaksa memakai lampin dewasa, itu pun perlu kerap ditukar bagi mengelakkan kebocoran.
Biasanya apabila haid, dia akan membawa satu persalinan pakaian kerana bimbang darah haid terkena pada baju yang dipakainya. Malah dia juga akan meletakkan akhbar di atas kerusi atau bangku kereta. Memang sepanjang tempoh haid, dia sentiasa dilanda kebimbangan. Bahkan kerap dia bangun pada tengah malam untuk menukar tuala wanita.
Kawan-kawannya berkata dia nampak pucat dan tidak bermaya setiap kali haid.
Walaupun suaminya kerap menasihatkan supaya mengambil cuti, tetapi dia tidak sanggup menyusahkan pelajarnya untuk menggantikan kelas. Selain kelas, aktiviti lain akan dibatalkan dan selalunya ketika inilah dia lebih suka mengurungkan diri di rumah kerana tidak mahu peristiwa memalukan seperti kebocoran sehingga darah haid terkena pada baju kurungnya pada satu majlis perkahwinan berulang.
Menurut doktor yang ditemuinya, masalahnya boleh selesai jika menjalani pembedahan histerektomi iaitu pembuangan rahim tetapi dia enggan kerana umurnya masih muda. Sebenarnya hampir 75 peratus pembedahan pembuangan rahim di dunia dilakukan bagi mengatasi masalah ini.
Masalah yang dihadapi Anita sebenarnya turut dialami oleh ramai wanita di seluruh dunia. Kajian pola pendarahan dan kawalan kitaran haid pada 2009 mendapati satu daripada tiga wanita di seluruh dunia mengalami masalah pendarahan haid terlalu banyak. Walaupun lebih 80 peratus mengakui keadaan itu memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup mereka, tetapi kira-kira 35 peratus tidak mendapatkan bantuan perubatan.
Kajian itu juga mendapati 76 peratus wanita mengalami masalah pendarahan haid yang teruk dan daripada jumlah itu, 82 peratus berkata ia menjejaskan hubungan mereka dengan suami dan peluang untuk terbabit dalam aktiviti sosial (83 peratus).
“Ini menandakan pendarahan haid yang banyak iaitu melebihi 80 mililiter bagi setiap kitaran adalah perkara tidak normal. Malangnya ramai tidak menyedari keadaan ini, yang dianggap biasa kerana sudah mengalaminya sejak sekian lama,” katanya.
Pendarahan tidak normal
Menurut Dr Suresh, haid yang normal mempunyai ciri berikut:
Seseorang wanita dikatakan mengalami masalah pendarahan haid yang banyak atau tidak normal jika:
“Masalah pendarahan haid yang banyak dikelaskan apabila berlaku pendarahan berlebihan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan sama ada daripada segi fizikal, emosi, sosial dan material. Ia boleh menjejaskan salah satu atau gabungan beberapa gejala seperti senggugut dan keletihan yang melampau,” katanya lagi.
Namun untuk lebih mudah menguji sama ada haid anda terlalu banyak atau normal ialah melihat pada kesan pada tuala wanita. Lihat jika tuala wanita anda sentiasa penuh sepanjang tempoh haid.
Tanda dan gejala pendarahan haid yang banyak:
“Kajian ke atas 500 wanita Malaysia berusia antara 18 hingga 49 tahun di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur/Petaling Jaya mendapati ramai yang menggunakan dua lapis tuala wanita atau tuala wanita dan tampon pada satu masa, mengalami pendarahan yang banyak selepas tampon dikeluarkan, bangun di tengah malam untuk menukar tuala wanita dan menukar tuala wanita atau tampon bagi setiap dua jam.
“Satu daripada lima wanita (22 peratus) mengalami masalah pendarahan haid yang banyak dalam tempoh 12 bulan sebelum kajian. Kira-kira 34 peratus berkata masalah itu mengganggu hidup mereka, 22 peratus menganggap ia sebagai gangguan yang masih boleh diterima (boleh meneruskan aktiviti harian) dan empat peratus mengakui sangat mengganggu sehingga banyak aktiviti perlu dihentikan.
“Antara gejala yang dialami mereka termasuk letih, lesu, tidak bertenaga, kelihatan pucat, sakit pada pinggul dan anemia. Aktiviti yang terjejas akibat masalah ini adalah prestasi kerja (43 peratus), kehidupan keluarga (33 peratus), hubungan dengan pasangan (27 peratus), kerja rumah (26 peratus), aktiviti santai seperti bersukan dan menonton wayang (23 peratus), kehidupan sosial (21 peratus) dan hubungan seks (11 peratus) dan persekolahan (tujuh peratus).
“Kebanyakan wanita berkata mereka mula mengalami masalah ini ketika berumur 20-an tetapi hanya dua daripada lima orang yang mendapatkan bantuan perubatan.
Ini kerana ramai yang tidak menyedari ia adalah satu perkara tidak normal.
Malah kebanyakannya mendapatkan maklumat mengenai masalah pendarahan haid yang banyak ini daripada kawan-kawan, ahli keluarga, pasangan dan media. Sangat kurang yang mengadu masalah mereka kepada doktor,” katanya pada pelancaran Qlaira, ubat makan mengandungi astradiol valerate dan dienogest untuk mengatasi pendarahan haid berlebihan anjuran Bayer HealthCare.
Punca pendarahan yang tidak normal
Lima punca utama pendarahan tidak normal ini ialah:
Bagaimana masalah dikesan?
Ia dikesan melalui:
Selain itu ada beberapa ujian yang boleh digunakan untuk mengenal pasti masalah ini seperti imbasan ultra bunyi, ujian darah, ujian lumuran pap dan biopsi endometrium (lapisan pada dinding rahim).
Apa yang wanita mahu?
Menurut Dr Suresh lagi, 35 peratus wanita mahukan haid yang lebih ‘ringan’ dan pendek kerana ini akan:
Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Premitha Damodaran, berkata hasrat di atas boleh dicapai melalui beberapa kaedah rawatan seperti:
Kaedah pembedahan hanya akan dicadangkan jika ubat tidak berkesan. Antaranya dilation & curettage (D&C), histeroskopi operatif, ablasi endometrium, reseksi endometrium dan histerektomi. Pesakit perlu mendapatkan penjelasan terperinci sebelum bersetuju menjalani kaedah pembedahan kerana setiap satu ada risiko tersendiri.
Pun begitu dengan kelahiran ubat baru yang mempunyai gabungan unik estradiol iaitu estrogen yang sama dengan hormon dihasilkan tubuh dan dienogest hormon progestin dengan tumpuan kesan pada lapisan endometrium dalam rahim, masalah pendarahan haid berlebihan dapat diatasi dengan baik.
“Ubat ini akan meniru kitaran hormon wanita semula jadi yang secara tidak langsung akan memberikan kawalan ke atas pendarahan haid yang optimum. Ujian klinikal menunjukkan ubat ini mampu mengurangkan pendarahan secara ketara dan berkesan iaitu sehingga 88 peratus selepas enam bulan pengambilan tanpa mendatangkan kesan sampingan,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Sweden, Dr Ian Milsom.
Justeru, bagi anda yang ada masalah pendarahan haid berlebihan atau terlalu banyak, jangan lagi mengasingkan diri atau terus menderita dalam diam kerana perkara yang dianggap sangat peribadi dan memalukan ini boleh diatasi. Malah usah biarkan haid terus menjejaskan kualiti hidup anda kerana haid adalah antara kelebihan yang diberikan Tuhan khusus untuk wanita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: