Sunday, March 18, 2012

Dino 'kejar' Sitty selama 10 tahun


MESRA... Mahyuddin Sidik menerima belaian daripada isterinya, Sitty Chadijah.


UMPAMA seperti dalam filem Ali Setan, begitulah percintaan yang diibaratkan oleh Mahyuddin Sidik, 36, terhadap Sitty Chadijah Syarifuddin, 36. Tahap awal menyaksikan bagaimana dia cuba mencuri hati isterinya itu, biarpun cabaran demi cabaran terpaksa dilalui.

Penampilan dan personaliti Sitty Chadijah bagi Mahyuddin atau senang dengan panggilan Dino amat memikat perhatiannya. Justeru, dia mencuba pelbagai cara untuk memikat hati gadis idamannya itu. Namun begitu, seringkali dia tidak mendapat respons daripada Sitty Chadijah atau mesra dipanggil Sitty sahaja.

''Pada masa itu, kami baru masuk semester pertama pada tahun 1994. Kami belajar di fakulti yang sama iaitu Seni Lukis dan Seni Reka di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) di Shah Alam, Selangor.

''Pada mulanya, saya ingin mengambil jurusan seni halus iaitu bidang yang amat dekat dengan hati saya, namun apabila saya dapat tahu Sitty memasuki jurusan seni fesyen, terus saya bertukar jurusan yang sama untuk mendekatinya," kata Dino tersenyum memandang isterinya.

Apabila telah belajar dalam jurusan yang sama, Dino, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik tidak pernah berhenti mencuba untuk menakluk hati Sitty dengan pelbagai cara termasuk meminta bantuan daripada rakan-rakan Sitty.

Namun dia tetap tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada Sitty, sehinggalah memasuki semester keempat atau semester akhir, barulah Sitty mahu berkawan dengan Dino.

''Tidak tahulah kenapa saya tidak respons dengan dia pada awalnya. Saya rasa dia ini 'loyar buruk', macam suka main-main. Tapi lama-kelamaan saya boleh terima dia.

''Mungkin sebab kesungguhan yang ditunjukkan Dino menyebabkan saya rasa terharu dan mula membuka hati saya kepadanya," kata Sitty anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu apabila ditanya bagaimana akhirnya hatinya terbuka untuk menerima cinta Dino yang berasal dari Bagan Serai, Perak itu.

Hubungan mereka semakin serius setelah menamatkan pengajian dengan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam pengajian masing-masing pada 1998. Namun hubungan mereka masih tidak sampai ke alam rumah tangga.

Mereka perlu menimba pengalaman di pelbagai tempat termasuk pihak produksi dan agensi dalam bidang rekaan fesyen.

Sambil itu, Dino mula menghimpun duit kahwin. Rezeki untuk Dino akhirnya terbuka luas, apabila dia yang terkenal dengan kreativiti hasil rekaannya muncul juara dalam Pertandingan Jarum Berlian Rias (sebuah majalah terbitan Kumpulan Utusan) pada 1999. Dino juga pernah menerima anugerah Kostum Terbaik bagi Filem Puteri Gunung Ledang pada 2005.

Perjuangan mereka dalam dunia fesyen diteruskan dengan menyertai pelbagai pertunjukan fesyen di seluruh negara sebelum akhirnya menubuhkan Butik Molec yang berpangkalan di Ampang, Selangor, pada ketika itu.

''Dalam bidang rekaan, Dino memang seorang yang kreatif. Hasil ciptaannya amat mengagumkan dan saya banyak membantu menjadi orang di sebalik tabir.

''Idea menubuhkan Butik Molec dilontarkan saya kerana berpendapat sudah sampai masanya kami mempunyai sebuah tempat khusus untuk menghasilkan rekaan," kata Sitty yang pernah memenangi Anugerah Most Promising Young Designer oleh Datuk Bernard Chandran pada tahun 2000 dalam Pertandingan Jarum Berlian Rias.

Jikalau sudah jodoh memang tidak ke mana, pasangan ini akhirnya diijabkabulkan pada 10 Disember 2004 di Ampang Jaya, Selangor, dalam suasana penuh meriah ibarat reunion kepada rakan-rakan dan pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka ketika itu selepas enam tahun menamatkan pengajian.

Melayari bahtera kehidupan rumah tangga selepas 10 tahun cuba memikat dan mengenali hati budi Sitty, Dino yang aktif dalam Persatuan Pereka Fesyen Rasmi Malaysia (MODA) memberitahu, kehidupannya sekarang bahagia dikurniakan dua cahaya mata comel, Dhiya Camalia, 5 1/2 tahun dan Durra Kaiyisa, 3 1/2 tahun dan Sitty sekarang sedang berbadan dua mengandungkan anak yang ketiga.

Adatlah dalam dunia rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Keadaan itu turut dialami oleh pasangan ini, namun mereka sepakat berkata, setiap kali berlaku perselisihan faham, salah seorang daripada mereka perlu mengalah.

''Memang kena banyak sabar dalam dunia rumah tangga, tapi Dino memang seorang yang penyabar," kata Sitty.

Dalam bidang rekaan, Sitty lebih gemar dengan rekaan fesyen yang elegan, sebaliknya Dino lebih kepada rekaan berbentuk couture dan Islamik.

''Sekarang ini, kami lebih kepada menghasilkan busana daripada pelanggan tetap yang memang telah mengenali Butik Molec.

''Perancangan tidak lama lagi, kami berhasrat untuk memakai jenama Molec dalam setiap rekaan ready-to-ware yang akan kami letakkan sama ada di butik, mahupun di kompleks beli-belah mengikut peredaran masa dan fesyen," kata Sitty yang turut aktif bergiat dalam Persatuan Usahawan dan Produk Busana Muslim Malaysia.

Menambah lanjut, Dino memberitahu dirinya sekarang banyak melakukan projek penataan dan kostum untuk teater, iklan televisyen, drama dan yang terbaru adalah Projek Pop yang disiarkan di 8TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: