Wednesday, March 14, 2012

Destinasi wajib pencari pokok hiasan



PINTU masuk ke Lot 43, sebuah nurseri yang menjual pokok-pokok herba dan bunga di laluan Jalan Sungai Buloh - Shah Alam, Selangor kelihatan seperti taman rekaan yang indah biarpun hanya berkeluasan seperti sebuah rumah teres sahaja.

Tidak ramai pelanggan kelihatan pada waktu tengah hari itu ketika salah seorang penjaganya, Sri Hayati Miharso, 40, sedang sibuk menyiram tanaman herba yang terletak di bahagian Herbal Garden dekat sudut kanan lot berkenaan.

Menurut Hayati, lot milik Sun Beauty Home & Landscaping Trading Sdn. Bhd. itu menyediakan pelbagai spesies pokok herba sama ada untuk tujuan masakan atau dijadikan ubat, malah pada masa yang sama turut menjual pelbagai keperluan hiasan landskap seperti bunga, pasu, tanah, biji benih dan baja.

"Kebanyakan pelanggan yang datang ke sini adalah untuk membeli pokok-pokok herba untuk dijadikan ubat dan dicampur ke dalam masakan. Tambahan pula, pilihan herba di sini dijual pada harga murah iaitu RM5 hingga RM25 sahaja atau bergantung kepada saiz.

"Pilihan herba pula berjumlah kira-kira 30 jenis seperti ganda rusa, ketulang, sambung nyawa, gelas pecah, mahkota dewa, misai kucing, belalai gajah, sirih, kaduk, pegaga, inai dan jubila," katanya yang sudah lapan tahun berkhidmat di situ.

Populariti herba

Hayati memberitahu, setiap herba yang terdapat di lot itu mempunyai pelbagai kebaikan tersendiri dan mempunyai pelanggannya yang tertentu. Contohnya, mereka yang sukakan masakan Itali atau Barat suka membeli herba masakan seperti oregano dan rosemary.


LOT 43 amat popular dalam kalangan pengunjung yang mencari pokok-pokok herba sama ada untuk tujuan hiasan mahupun dijadikan bahan makanan.


"Kebanyakan pelancong dalam kalangan orang Inggeris yang datang suka membeli herba-herba yang dicampurkan ke dalam makanan termasuk daun pudina dan beberapa herba lain yang dicampurkan ke dalam masakan daging.

"Kebanyakan pelanggan pula suka membeli herba-herba tempatan untuk tujuan kesihatan dan perubatan terutamanya herba belalai gajah yang begitu laris dalam kalangan orang Melayu," katanya.

Jelas Hayati, belalai gajah dibeli sama ada untuk dijadikan ulam atau dikisar untuk dijadikan minuman kerana ia mempunyai kebaikan tinggi sebagai pencegah dan pemulih penyakit kanser.

"Orang Melayu juga suka membeli daun bangun-bangun. Daun herba ini mempunyai kebaikan untuk merawat bisul, luka, bisa, penyakit asma, batuk dan kahak, manakala orang Cina suka membeli herba telinga harimau.

"Selalunya untuk merawat bisul, daun bangun-bangun ditumbuk halus dan dilumurkan ke tempat bisul," katanya yang mempunyai pengetahuan luas mengenai herba-herba di taman berkenaan.


POKOK kaktus yang berwarna-warni menjamu mata pengunjung yang datang ke Lot 61. Ia turut membekalkan kira-kira 2,000 pilihan bunga tempatan dan import.


Tambah Hayati, pokok herba mudah dipelihara kerana memerlukan penjagaan yang minimum, malah terdapat juga pokok herba yang tidak boleh dibelek terlalu kerap kerana akan menyebabkannya mati.

"Kebanyakan herba memerlukan kawasan terbuka untuk tumbuh subur serta tidak sesuai untuk diletakkan di dalam rumah tanpa pancaran cahaya matahari.

"Biarkan ia hidup secara semula jadi di tanah yang terbuka dan siram sekiranya cuaca tidak hujan," katanya.

Selain herba, pilihan pokok bunga yang pelbagai turut ditawarkan di Lot 43 itu. Harga yang ditawarkan pula bergantung kepada jenis bunga dan kuantiti yang ingin dibeli iaitu sekitar RM5 hingga RM40.

"Kebanyakan pelanggan membeli bunga-bunga di sini untuk dijadikan pokok hiasan di dalam dan di luar rumah seperti bunga kesidang, kenanga dan cempaka. Pokok-pokok bunga lain pula antaranya ialah gardenia, melur, white titi, cempaka telur, cempaka pasang, muraya dan bunga raya.

"Bunga yang paling mahal adalah desmania dari Belanda kerana agak sukar mendapatkan dan menjaganya," katanya.

Tambah Hayati, populariti bunga agak menurun kebelakangan ini kerana ramai pelanggan kini lebih suka membeli tanaman herba untuk dijadikan pokok hiasan selain dimakan berbanding pokok bunga.

"Dahulu memang ramai pelanggan datang beli bunga. Kini sudah makin berkurangan kerana ramai pelanggan yang datang ke sini membeli pokok herba," katanya yang biasa menerima ramai pelanggan selepas waktu bekerja.

Melewati lot bersebelahan iaitu Lot 44 pula, kelihatan pelbagai spesies bunga tempatan dan luar dipamerkan di hadapan dan ruang dalaman bahagian hadapan lot berkenaan, manakala bahagian belakang menempatkan bengkel membuat perabut untuk hiasan landskap.


POKOK periuk kera yang sesuai dijadikan sebagai pokok hiasan tergantung.


Salah seorang penjaganya yang hanya ingin dikenali sebagai Sriatun, 41, memberitahu, lot berkenaan banyak menyediakan anak-anak pokok pelbagai spesies bunga seperti bunga daisy, bunga tahi ayam, tulip, melur dan cempaka.

"Pokok-pokok bunga kecil sama ada di dalam plastik atau pasu bunga kecil di sini dijual dengan harga murah dan sukar dicari di tempat lain itu hanya RM10 untuk tiga pokok bunga.

"Peralatan kemudahan berkebun, tanah, pasu dan baja yang bersesuaian juga dijual bagi memudahkan penjagaan pokok bunga masing-masing," katanya.

Lot-lot lain seperti Lot 44 yang banyak menjual anak pokok bunga dapat dilihat di Lot 55 milik Everflora Nursery & Landscape, Lot 55 milik Evershine Garden dan Lot 67 dan 68 milik Asia Nursery.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: