Nyah

KUALA TERENGGANU – Tidak serik untuk beroperasi walaupun sudah tiga kali diserbu sepanjang Mac sahaja, sebuah pusat hiburan di Plaza Perdana di bandar raya ini diserbu sekali lagi, awal pagi semalam.

Serbuan tersebut disertai 42 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan penguat kuasa syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, seramai 110 orang ditahan dalam operasi khas itu, termasuk 10 mak nyah, dengan dua daripadanya merupakan pelajar institut pengajian tinggi.

Turut ditahan, kira-kira 10 perempuan, termasuk seorang pelajar berusia 16 tahun.

“Setelah pemeriksaan keseluruhan dibuat, kita menahan kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 42 tahun dan dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan lanjut dan saringan ujian air kencing.

“Apa yang kita kesalkan ialah pusat hiburan ini seolah-olah tidak serik walaupun sudah berkali-kali diserbu, dan apa yang kita bimbangi, ia turut menjadi tumpuan remaja bawah umur dan penagih dadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, pusat hiburan itu turut mempunyai dua bilik karaoke yang menjadi tumpuan kepada mereka yang suka berhibur.

Kesemua mak nyah yang ditahan juga difahamkan akan didakwa di bawah Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, iaitu atas kesalahan lelaki yang berpakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di tempat awam.

“Pihak polis bertindak atas rungutan peniaga dan orang ramai yang bimbang dengan kewujudan pusat hiburan itu dan kita juga memohon agar pihak berkuasa tempatan (PBT) menimbangkan untuk menutup pusat hiburan berkenaan.

“Pusat hiburan itu beroperasi hingga awal pagi dan ia nyata mendatangkan rasa kurang senang kepada masyarakat sekeliling. Kita harapkan tindakan tegas diambil oleh PBT,” katanya.