Thursday, January 12, 2012

Volvo sasar 1,400 unit

BERKUASA...Akhtar (kiri) dan Peter menunjukkan model terbaru Volvo V60.
BERKUASA...Akhtar (kiri) dan Peter menunjukkan model terbaru Volvo V60.

VOLVO Car Malaysia Sdn Bhd (VCM), pengedar kenderaan Volvo di negara ini menyasarkan jualan antara 1,300 hingga 1,400 unit bagi keseluruhan rangkaian model Volvo tahun ini berbanding sebanyak 800 unit yang dicatatkan tahun lalu.

Pengurus Serantau dan Produk Volvo, Akhtar Sulaiman berkata, pihaknya optimis mencatat jualan lebih 1,000 unit tahun ini meskipun keadaan ekonomi semasa tidak menentu dijangka memberi kesan kepada industri automotif tempatan.


“Jenama Volvo sudah sinonim dengan ciri keselamatan dan kami yakin pembeli masa kini mahukan sebuah kereta yang bukan saja praktikal serta dilengkapi ciri keselamatan terkini tetapi menawarkan harga yang berdaya saing,” katanya pada majlis pelancaran model sportswagon Volvo V60 baru oleh Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Volvo Cars bagi rantau Asia, Peter Johnson di Glenmarie, Shah Alam, semalam.

Mengenai model Volvo V60 yang dipasang sepenuhnya di negara ini (CKD), beliau berkata, reka bentuk model itu bercirikan ‘coupe’ berasaskan model sedan S60 sebelum ini dan menawarkan ciri praktikal, enjin berkuasa serta pemanduan sporty sekali gus disifatkan model Volvo paling dinamik dihasilkan.


Beliau berkata, pihaknya menjangkakan model V60 itu mampu menyumbang 10 peratus kepada unjuran jualan tahun ini dengan jualan antara 10 hingga 20 unit sebulan.


Sementara itu, Peter berkata, Volvo dianggap perintis model sportswagon di peringkat global dan yakin model berkenaan mampu mendapat sambutan kerana tidak banyak syarikat automotif yang berminat untuk memasarkan model berkenaan.Beliau berkata, kilang Volvo di Shah Alam ketika ini mempunyai kapasiti besar untuk memasang kenderaan Volvo dan turut memasang model kereta untuk pasaran Indonesia sebanyak 100 unit dan Thailand sebanyak 2,000 unit setahun.

Sebanyak dua varian V60 diperkenalkan iaitu T4 yang menggunakan enjin berkuasa 1.6 liter dan T5 dipadankan dengan enjin 2.0 liter masing-masing pada harga tanpa insurans RM230,000 dan RM269,000 seunit. Sebanyak lima pilihan warna turut ditawarkan iaitu Electric Silver, Amber Black, Ice White, Seashell dan Flamenco Red.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: