TAHAN...anggota sindiket yang diberkas dalam serbuan, semalam.
PETALING JAYA: Operasi di sebalik vila mewah tidak menjamin keselamatan sebuah sindiket pertaruhan loteri haram yang mengaut keuntungan lebih RM1 juta sebulan apabila kegiatan mereka dibongkar, semalam.
Hasil intipan dan risikan yang dijalankan Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya lebih sebulan, pusat pertaruhan yang beroperasi di tingkat dua sebuah vila mewah di Jalan Dahlia, di sini, diserbu pada jam 7 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pusat pertaruhan haram itu beroperasi lebih enam bulan lalu dan sindiket itu menyewa unit rumah ‘townhouse’ untuk menjalankan operasi mereka.
Menurutnya, vila mewah itu dijadikan tempat pengumpulan nombor pertaruhan sebelum dihantar ke pusat pertaruhan lebih besar selepas tamat masa pertaruhan.
“Ejen nombor ekor haram akan menghantar nombor pertaruhan yang dibeli pelanggan melalui faksimili ke pusat ini sebelum pekerja yang diupah sindiket memasukkan nombor pertaruhan dalam sistem perjudian untuk dihantar ke pusat judi yang lebih besar.
“Dalam operasi ini, kami menahan seorang lelaki dan empat wanita iaitu pekerja pusat pertaruhan ini yang berusia 32 hingga 45 tahun,” katanya.Beliau berkata, turut dirampas peralatan komputer yang digunakan sindiket dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: