Friday, January 13, 2012

Tiada rasa cemburu

ERAT...pemilik butik Busana Jalanan dari kiri, Suriyati, Jida, Fadilah, Farah Adeeba, Nurul Azwin dan Nina.
ERAT...pemilik butik Busana Jalanan dari kiri, Suriyati, Jida, Fadilah, Farah Adeeba, Nurul Azwin dan Nina.

WALAUPUN sudah mempunyai nama sebagai jenama pakaian Muslimah, butik Najjah, Serikapas, Saraya Zahret dan NainiKifli mahu mewujudkan kawasan membeli-belah dengan jolokan Busana Jalanan di The Strand Kota Damansara bagi memberi peluang kepada wanita memilih kepelbagaian pakaian dengan fesyen terkini pada harga berpatutan.

Keempat-empat pemilik butik ini yakin perniagaan berlandaskan Islam dengan persaingan sihat mampu mengembangkan ekonomi selain perasaan ingin membantu sesama sendiri tanpa rasa iri hati sebaliknya, saling memberi sokongan supaya dapat mewujudkan suasana persekitaran membeli-belah yang diinginkan.

  • Foto

    SARAYA ZAHRET...rekaan sederhana pada padanan blaus polos disuai padan dengan selendang bercorak.

  • Foto

    PEJABAT...blaus dipadankan skirt sesuai digayakan ke pejabat.

  • Foto

    TERANG BERGAYA...himpunan eksklusif daripada Naini Kifli.

  • Foto

    HITAM MENAWAN...tarikan jubah Najjah benar-benar mempesona.

  • Foto

    ANTARA PILIHAN...jubah berpotongan moden sesuai untuk gaya wanita muda.

Bagi pemilik Najjah, Farah Adeeba Mohamed Ashraf dan Nurul Azwin Musa, ketika membuka butik pada Ogos 2010, tidak banyak butik Muslimah beroperasi.

“Namun selepas pembabitan dalam Persatuan Usahawan dan Pereka Busana Muslim Malaysia (Amaed) serta bertemu dengan ramai pemilik butik, akhirnya keempat-empat kami berpendapat untuk berniaga di kawasan yang sama sebagai tarikan destinasi membeli-belah bukan saja kepada wanita Malaysia tetapi pelancong asing,” kata Farah yang menyediakan pakaian kasual dan pejabat dengan sentuhan berbeza.Serikapas yang menghimpunkan rekaan tradisional, eksklusif serta kasual tertarik untuk bersama rakan yang lain apabila melihat lokasi strategik serta menjadi tumpuan orang ramai.


Mula beroperasi pada Jun 2010, setiap pakaian mempunyai keistimewaan tersendiri daripada segi potongan serta jahitan yang mampu menyerlahkan penampilan si pemakai. Selain pakaian, turut disediakan tudung sedia dipakai bersengkuap daripada fabrik renda serta kelengkapan haji dan umrah.

Pemilik Serikapas, Fadilah Abdul Hamid mengakui tidak wujud rasa tidak puas hati atau cemburu dengan kelebihan masing-masing.

“Sebaliknya kami saling memberikan pendapat dan berkongsi masalah bagi meningkatkan kualiti pakaian serta layanan kepada pelanggan. Malah kami akan mengesyorkan pakaian yang ada di butik lain sekiranya pakaian yang ada di sini kurang sesuai,” katanya.

Wanita yang ingin mendapatkan pakaian ke pejabat dan kasual boleh mengunjungi butik Saraya Zahret yang terletak bersebelahan dengan butik yang lain.

Pemiliknya, Suriyati Daman, memberitahu pengalamannya yang sukar mencari pakaian sesuai ke pejabat menyebabkan dia membuka butik bagi memenuhi keperluan wanita berkerjaya. Keistimewaan adalah pada teknik suai padan pada setiap helaian yang membolehkan wanita menukar gaya pada setiap hari.

“Setiap rekaan tampil berbeza sama ada daripada segi potongan serta fabrik digunakan. Antaranya skirt, seluar, gaun labuh dan blaus yang bukan saja sesuai digayakan ke pejabat tetapi juga untuk majlis kasual,” katanya.

Suriyati gemar menggunakan fabrik bercorak pada pakaian yang mudah disuai padan dengan seluar atau skirt.

Selain pakaian, pemilihan tudung sedondon mampu memberikan gaya berbeza kepada wanita.

Pasangan dua beradik yang hanya mahu dikenali sebagai Nina Zulkifli dan Jida Zulkifli mengakui, kali pertama melihat lokasi untuk menempatkan butik Naini Kifli mereka terus terpikat memandangkan kawasannya strategik, tidak sesak serta mempunyai banyak pilihan untuk membeli-belah.

Mula dibuka pada Jun 2011, Naini Kifli menyediakan himpunan eksklusif untuk
gaya ke majlis kasual atau rasmi. Antara padanan disediakan termasuk gaun labuh, kaftan, jubah, perhiasan, selendang serta tudung sedia dipakai dengan rekaan bermanik. Menggunakan fabrik bermutu seperti lycra, renda dan sifon, pemakaiannya terletak cantik pada tubuh si pemakai.

“Setiap rekaan kami tampilkan berbeza namun masih memenuhi ciri wanita Muslimah. Menerusi potongan yang unik serta perincian manik menjadikan setiap helaian mempunyai keistimewaan tersendiri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: