LANCAR...Jeff (dua dari kiri) pada majlis pelancaran bateri boleh cas semula Evolta, semalam.
PANASONIC Malaysia Sdn Bhd berazam untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negara ini menerusi pelbagai cabang pengeluaran produk syarikat induknya yang berpangkalan di Jepun.
Pengarah Urusannya, Jeff Lee berkata, pihaknya akan berusaha melobi dan meyakinkan syarikat induknya itu untuk membuka lebih banyak kilang pengeluaran di negara ini berdasarkan pelbagai faktor galakan oleh kerajaan dan dilihat jauh dari unsur kemusnahan akibat bencana alam.
“Kami cuba membawa lebih banyak pelaburan Panasonic ke negara ini terutama bagi pengeluaran produk untuk penggunaan terkini dan berkeupayaan tinggi,” katanya kepada Bisnes Metro selepas pelancaran bateri boleh cas semula Evolta di Kuala Lumpur, semalam.
Panasonic melalui syarikat terbarunya, Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd akan membuka kilang pengeluaran panel solar bersepadu merangkumi wafer, sel dan modul di tanah seluas 70,000 meter persegi di Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah.
Dengan nilai pelaburan sebanyak 45 bilion yen (RM1.8 bilion), kemudahan pengeluaran itu dijadualkan mula beroperasi pada Disember 2012 dengan jumlah kakitangan seramai 1,500 orang dan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 300 Megawatt.
Panasonic yang mula melabur di Malaysia sejak Mac 1976 menerusi Matsushita Sales & Service Sdn Bhd (Masco) dengan pejabat pertamanya di Wisma Mirama, Kuala Lumpur. Kini, Panasonic memiliki kira-kira 14 kilang pengeluaran, tiga pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta lima pejabat korporat di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.Dalam ucapan pelancarannya Jeff berkata, Panasonic berhasrat untuk menguasai 15 peratus pasaran bateri boleh cas semula atau setengah juta biji bateri menjelang akhir tahun ini berbanding lima peratus sekarang. “Walaupun jualan bateri hanya menyumbang antara lima hingga enam peratus kepada keseluruhan jualan syarikat, kami yakin ia dapat menyumbang secara siginifikan pada masa depan berdasarkan pelbagai produk masa kini yang dahagakan kuasa bateri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: