Teruja jayakan filem Pecah

Biarpun dihimpit dengan kehadiran bakat-bakat baru, tiga figura ini, Tony Eusoff, Izreen Azminda dan Sofi Jikan, percaya masih ada tempat anak seni mencari rezeki.

Keyakinan mereka itu terbukti apabila mereka digandingkan menerusi naskhah Pecah, arahan Asrull Hisyam Ahmad atau Black, terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Mengakui teruja menjayakan filem yang diadaptasi dari novel berjudul sama karya Nizam Bakeri terbitan Buku Fixi, Tony berkata, amat mudah mendapatkan keserasian di antara mereka, memandangkan masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan.

"Bila ditawarkan membintangi filem ini, saya rasa amat teruja apatah lagi filem terakhir saya adalah Sepi yang ditayangkan empat tahun lalu. Lebih membuatkan saya teruja apabila saya dapat kembali bekerjasama dengan Sofi.

"Saya suka cara Sofi bekerja kerana dia sangat fokus dan benar-benar menjiwai watak yang diberikan kepadanya. Izreen juga pelakon berbakat besar dan senang saya mendapatkan keserasian dengannya.

"Pendek kata kami bertiga memang teruja menjayakan filem ini," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem Pecah di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Menyentuh wataknya dalam filem ini, Tony berkata, dia memegang watak Herman, seorang perompak yang merompak untuk membalas dendam. Namun di sebalik kejahatan dilakukan, masih terselit jiwa yang baik dalam dirinya.

Di sebalik membalas dendam, Herman terpaksa melalui beberapa perkara yang dianggap misteri dan perlu diselesaikan.

"Bagi saya, watak Herman memang mencabar kerana dia bukan hero tipikal yang biasa kita lihat. Herman melakukan kejahatan, tapi masih terselit jiwa seorang manusia dalam dirinya. Banyak perkara yang terjadi dalam hidupnya yang menimbulkan misteri dan perlu di rungkainya," katanya.


Ditipu!

Sementara itu, mengulas mengenai pembayaran yang masih belum diterimanya dalam satu pementasan tahun lalu, Tony terkilan kerana masih belum menerima apa-apa bayaran sehingga kini.

Biarpun rasa tertipu, Tony tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan kepada pengurusnya untuk mendapatkan separuh lagi bayaran masih belum diterimanya itu.

"Walaupun saya belum dapat bayaran pementasan itu, Tuhan turunkan rezeki lain buat saya. Jadi saya tidaklah rasa terlalu marah, cuma terkilan kerana mereka tidak menepati janji. Apa-apa pun, saya serahkan kepada pengurus saya untuk mendapatkan baki bayaran itu," katanya.

Berkongsi perkembangan karier seninya, Tony berkata, dia baru sahaja selesai menjalankan tugasnya sebagai penyampai jemputan di stesen radio Capital FM sepanjang Disember lalu.

Menurut Tony, dia bertuah dan tidak mahu mensia-siakan peluang untuk menceburi perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

“Memandangkan ini pertama kali saya bergelar penyampai radio, mula-mula memang gementar. Saya bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi untuk segmen Talk of the Town," katanya.

Bagaimanapun, Tony mengakui belum bersedia bergelar penyampai sepenuh masa kerana mahu menjadi pelakon dan bimbang tidak dapat memberi komitmen sepenuh masa terhadap bidang seni kelak sekiranya bergelar penyampai.


Belum bersedia kahwin

Tidak berselindung mengenai percintaannya dengan gadis bernama Dawn Marie Jeremiah, 29, sejak empat tahun lalu, Tony mengakui belum terdesak melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

Ujar Tony, walaupun umurnya sudah mencecah 33 tahun, namun perkara itu langsung tidak merunsingkannya kerana memahami kesibukan kerja masing-masing.

Bercerita perhubungannya dengan Dawn yang kini berkhidmat sebagai eksekutif pemasaran saluran LiTV Asia, Tony berkata, merekaselesa menjalani hubungan ringkas dan terbuka itu.

“Terus-terang saya pun tidak pasti bila hendak berkahwin. Kami tidak pernah berbincang perkara itu kerana sibuk dengan kerja. Malah keluarga juga tidak mendesak kami segera berkahwin," katanya yang tidak meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang.


Izreen rasa terkilan

Berbeza pula dengan gadis berusia 27 tahun ini yang sedang melalui fasa pertunangan sejak 1 Januari lalui, mengakui hidupnya lebih lengkap dengan kehadiran tunang tersayang, Mohammad Riza Baharuddin.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan menyandang status baru, Izreen mengakui terkilan kontroversi yang menghimpit dirinya, terutama melibatkan fitnah yang membabitkan dirinya dan Riza.

Tidak cukup dituduh sebagai perampas tunang orang, ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memburuk-burukkan Riza dengan mengatakan lelaki itu bermasalah termasuk pernah berkahwin dengan bekas isteri kepada pelakon Badrul Muhayat.

Malah Riza juga dikatakan meninggalkan Julia ketika dia sedang sarat mengandung kerana ingin menjalinkan hubungan dengan seorang pengurus produksi bernama Rafeda. Hasil hubungan sulit itu, Rafeda dikatakan mengandung anak luar nikah dan Riza memaksa wanita itu untuk menggugurkan kandungannya.

Mengetahui dan dapat mengagak siapa menyebarkan fitnah tersebut, Izreen memberitahu beliau enggan mendedahkan nama individu terbabit kerana tidak mahu memperbesarkan lagi hal ini.

“Saya nak mulakan hidup baru, jadi kalau boleh tak nak diperbesarkan lagi hal ini. Saya tak sangka sampai tahap macam itu sekali dia nak aibkan diri sendiri. Bagaimanapun, saya masih menunggu jika benda itu betul, sebab nak tengok bukti.

“Tidak dinafikan, sebagai perempuan, bila dengar cerita macam itu apatah lagi sebelum nak bertunang, saya semestinya sedih. Saya menangis, namun keluarga dan kawan-kawan banyak bagi sokongan," katanya yang akan mengambil tindakan undang-undang jika perkara ini keterlaluan.

Malah Izreen juga menegaskan keputusannya bertunang dengan Riza dalam masa singkat selepas tempoh perkenalan mereka, bukan disebabkan kecewa dengan percintaan yang tidak kesampaian di antara dirinya dan Johan, tetapi kerana telah bertemu lelaki yang benar-benar mencintainya.

"Kalau boleh, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan Johan, cukup-cukuplah. Saya bahagia dan ada kehidupan sendiri," katanya.


Rezeki murah

Tidak mahu terus membuai perasaan dengan cerita negatif mengenai dirinya, Izreen mengakui 2011 tahun paling manis dalam karier seninya apabila namanya mula mendapat perhatian.

Malah Izreen menganggap kesabarannya selama lima tahun untuk mendapat kepercayaan pengarah, penerbit dan peminat sendiri berbaloi.

"Saya mula berlakon pada 2006, selepas memenangi tempat ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 anjuran majalah Remaja. Namun hanya selepas berlakon dalam drama Juvana orang baru melihat siapa Izreen Azminda.

"Walaupun lambat naik, saya tidak kecewa kerana dalam tempoh lima tahun itu, banyak ilmu lakonansaya pelajari. Jadi bila orang mula mengenali saya, tidaklah merekalihat saya kekok berlakon," katanya.

Menyentuh tentang lakonannya dalam filem Pecah, Izreen berkata dia membawa watak sebagai Lydia, generasi baru yang menuntut bela dan berdendam dengan ayahnya. Lydia adalah anak luar nikah yang lahir setelah ibunya, dirogol oleh ayah kandungnya sendiri.

"Karakter Lydia tidak terlalu berat buat saya dan Alhamdulillah buat masa ini tidak ada masalah untuk saya membawakan watak tersebut," katanya yang berharap agar tahun 2012 menjadi tahun yang cukup bermakna dan lebih baik buatnya.


Impian Sofi

Nama Sofi Jikan terletak dalam kelasnya yang tersendiri. Berilah apa sahaja watak, semuanya dapat dilakukan dengan baik. Biarpun pernah membintangi beberapa filem sebelum ini, namun filem KL Gangster dilihat menaikkan nama Sofi dalam arena seni.

Mengakui bidang lakonan sebagai sumber pendapatan dan batu loncatan untuk dia mendapatkan ilmu sebelum bergelar pengarah, Sofi berkata, impiannya itu akan termakbul sedikit masa lagi, setelah masuk ke set penggambaran filem pertama arahannya pertengahan tahun ini.

"Saya tidak sangka, penyertaan saya dalam bidang lakonan memberi rezeki baik buat saya, namun saya tetap meneruskan impian saya untuk bergelar pengarah. Mungkin sedikit masa lagi, baru saya akan dedahkan filem apa yang akan saya arahkan selepas semuanya benar-benar pasti," katanya.

Biarpun akan mengarah filem, Sofi berkata, dia tetap akan meneruskan karier lakonannya memandangkan tawaran yang datang kepadanya sangat menarik.

"Saya akan cuba membahagikan masa sebaik mungkin antara dua kerjaya saya kerana saya ambil masa yang lama untuk sampai ke tahap ini dan saya pasti, jika kita benar-benar tekun dan sabar, kejayaan akan datang kepada kita," katanya.


Antagonis yang baik

Menyentuh tentang karier seninya, Sofi berkata dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Pecah yang akan berakhir sehari, dua lagi, di samping penggambaran KL Gangster 2 yang masih berjalan.

Biarpun kedua-dua filem itu menyaksikan Sofi membawa watak antagonis, namun bagi Sofi kedua-dua filem itu memperlihatkan karakter antagonis yang berbeza.

"Bagi saya, walaupun penonton melihat watak saya sebagai penjenayah, jahat, namun saya cuba selitkan, di sebalik kejahatan saya, masih terselit sisi-sisi jiwa saya yang mahu membantu rakan.

"Walaupun antagonis, saya tidak bawakan saya saja dan setiap filem mesti ada kelainannya. Saya juga rasa orang lebih gemar melihat saya menjayakan watak jahat kerana sebelum ini saya ada juga bawa watak lelaki lurus bendul dan saya sudah beri variasi dalam lakonan saya," katanya.

Menerusi Pecah, Sofi membawakan watak Allen, penjenayah yang membantu rakannya merompak, namun dalam masa yang sama mahu membantu rakannya, Herman.

Biarpun sudah biasa membawa watak jahat, Sofi masih terasa cabarannya, memandangkan filem ini diadaptasi dan Sofi mahu melakukan sebaik mungkin supaya peminat tidak merasai perbezaan di antara novel dan filem.