Saturday, January 7, 2012

Tempah maut daki Everest


DUA pendaki, M. Magendran (depan) dan N. Mohanadas berehat seketika sambil menyaksikan keindahan dari puncak Everest. Di belakang ialah tiga sherpa yang merakamkan gambar kenangan untuk ekspedisi negara.


KATA orang, mendaki Gunung Everest seolah-olah mahu menghantar nyawa ke situ. Begitu ngerinya membayangkan risiko yang perlu dihadapi oleh setiap pendaki dalam usaha mereka menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia itu.

Menerima gelaran ‘bumbung dunia’, dengan ketinggian 8,848 meter (29,029 kaki) dari paras laut, puncak Gunung Everest kini berjaya dijejaki oleh 3,142 pendaki dari 20 buah negara. Dalam pada itu, ia juga telah meragut 226 nyawa dari 5 Jun 1921 sehingga 21 Mei 2011. Itu jumlah yang dicatatkan oleh Wikipedia.

Gunung yang boleh didaki dari Nepal (arah selatan) atau Tibet (arah utara) itu mula dijejaki manusia pada 29 Mei 1953. Selepas kejayaan bersejarah Sir Edmund Percival Hillary dari New Zealand dan sherpa Tenzing Norgay dari Nepal yang muncul sebagai manusia pertama menjejaki puncak Everest, saban tahun ada sahaja pendaki dari seluruh dunia mahu melakukan perkara yang sama.

Setiap pendaki mempunyai alasan tersendiri mahu menakluk puncak dunia itu, namun tidak kurang juga yang menggalas harapan negara demi meletakkan nama rakyat negara dalam senarai pendaki Everest dunia.

Tidak mahu ketinggalan melakar sejarah dalam misi mustahil itu, persiapan mula diatur sejak tahun 1986 untuk menghantar rakyat negara ke puncak dunia. Hasilnya, M. Magendran dan N. Mohanadas muncul rakyat Malaysia pertama tiba di puncak Everest pada pukul 11.55 pagi waktu Nepal (2.10 petang waktu Malaysia), 23 Mei 1997.

Tujuh tahun kemudian, dua anak Melayu yang ketika itu merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Reduan Rozali dan Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin sekali lagi membuktikan rakyat Malaysia boleh melakukan apa sahaja, asalkan ada usaha dan kemahuan, selain iringan doa. Selain mereka, menyusul T.Ravichandran yang menggapai impian Everest pada 2006. Manakala Idris Said, Marina Ahmad, Muhamad Rafi Kori, Muhamad Fauzan Hassan, Ahmad Fakhri Abu Samah dan Ahmad Reduan Rozali (kali kedua) mencipta sejarah pada tahun 2007.

Wartawan ROHANA MAN bersama jurugambar SAFRIZAL AZMI dan HAFIZH KHOSMAT menjejaki semula beberapa pendaki Everest untuk berkongsi kisah suka dan duka mereka sepanjang menjayakan ekspedisi berbahaya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: