EKSPEDISI itu diketuai oleh Afif Che Embi, 35, (Apip) selaku ketua ekspedisi merangkap pengerusi kelab serta timbalan naib pengerusi kelab, Mohd Adzmin Shafeezan Mohd Amin, 35. Seramai lapan ahli terlibat dalam program pertama Kelab OGKL di bumi Taiwan ini.
Berikut catatan pengembaraan kami. Sebaik mendaftar keluar dari Lapangan Terbang Taoyuan, kami menaiki teksi memasuki perut kota metropolitan Taipei. Kami mendaftar masuk di Happy Family Hostel.
Langkah hari ini menyaksikan kami tiba di Taman Nasional Shei Pa berkeluasan 76,850 hektar dan memerlukan empat hingga enam jam perjalanan ke selatan Taipei. Di sini, terdapat 51 puncak melebihi ketinggian 3,000 meter. Ia merupakan kawasan yang kaya dengan hidupan liar yang jarang ditemui dan endemik. Di sinilah terletaknya Gunung Sheishan iaitu gunung kedua tertinggi di Taiwan dengan perbezaan enam meter dari gunung tertinggi di negara itu, Gunung Yushan yang terletak di Taman Nasional Yushan. Gunung Sheishan memiliki nama-nama lain seperti Syue, Hsuehshan atau yang paling terkenal dipanggil Snow Mountain.
Dalam persekitaran waktu yang sudah cerah seawal pukul 5 pagi, kami bangun, mengemas dan bersiap. Mana yang tidak perlu ditinggalkan di hostel. Kami menaiki van yang dipandu oleh Abula. Dalam perjalanan ini, kami singgah makan, membeli beras serta beberapa makanan lain. Perjalanan ini jauh dan kami berhenti lagi untuk makan tengah hari di Wuling Farm yang memiliki landskap seperti Cameron Highlands di Pahang.
Memandangkan restoran makanan halal tiada, maka kami memesan makanan berasaskan sayuran dari ladang. Selesai makan, kami menaiki semula van dan singgah di balai polis untuk urusan permit. Kami kemudiannya menuju ke Stesen Renjer Shei-Pa, namun tiada sesiapa di sana. Kami meninggalkan dokumen yang diperlukan di kotak yang disediakan. Suhu bertambah sejuk dan setelah bersiap serta tanpa pemandu arah, kami mula mendaki.
Pendakian dalam kumpulan kecil lebih mudah kerana pergerakan kami terkawal. Walaupun ada jalan pintas, namun kami tidak mengikut jalan itu. Di jarak setiap 100 meter, ada batu tanda yang memaparkan sejauh mana perjalanan trek ini bakal ditempuh. Perjalanan selama sejam 10 minit begitu cepat berlalu dan kami sampai di Kilometer 2 di Kabin Cika untuk bermalam.
Kabin ini luas dan mampu memuatkan lebih daripada 100 orang. Tetapi awas, terdapat binatang buas seperti beruang yang berkeliaran dan semasa kami tidur, kami diganggu oleh tikus-tikus hutan. Bersama kami terdapat kumpulan pendaki lain dari negara Republik Chech.
Pada pukul 5.30 pagi, kami bangun, berkemas dan bersiap untuk meneruskan pendakian ke puncak. Suhu sejuk menyeliputi persekitaran sepanjang perjalanan. Dalam pada itu, hujan turun sedikit demi sedikit. Laluan yang pada awalnya masih zig zag berakhir apabila kami mula mendaki secara perlahan-lahan. Beberapa kali kami berhenti rehat dan salah satunya di Kilometer 4. Di kedudukan ini, ketinggian sudah mencecah 3,000 meter.
Kami meneruskan perjalanan sambil menikmati pemandangan gunung-ganang di sebelah kanan. Panorama yang cantik membuatkan jari jemari kami tidak berhenti merakamkan gambar. Kami tiba di puncak timur Gunung Sheishan di Kilometer 5 pada ketinggian 3,201 meter tepat pukul 10.50 pagi. Kami bergambar di puncak pertama ini sebelum meneruskan pendakian.
Kira-kira 300 meter dari sini, terdapat kawasan helikopter mendarat dan laluan dari arah lain ke puncak timur Sheishan. Perjalanan seterusnya menurun dan menaik semula. Kami melalui satu kawasan yang dipanggil crying slope dengan pemandangan ke bawah yang jauh dan sangat cantik. Tidak jauh dari sini, sudah kelihatan Kabin 369 yang mula dilitupi kabus. Kami tiba di Kilometer 7.1 di Kabin 369 dan oleh kerana kabus tebal, Apip memutuskan kami hanya akan mendaki ke puncak keesokan hari. Suhu menurun ke paras lapan darjah celcius menjelang malam.
Seawal pukul 3 pagi, kami bangun. Untuk bersiap dalam cuaca yang sejuk memerlukan semangat yang lebih tinggi daripada biasa. Sejam kemudian, kami mula mendaki ke puncak dengan hanya membawa beg kecil. Kami melalui satu kawasan yang dipanggil Black Forrest di mana terdapat barisan pokok yang seperti disusun satu persatu di sebelah kanan. Di Kilometer 9, hari mulai cerah, namun tahap sejuk semakin tinggi.
Pemandangan kala ini menyajikan batu-batu besar. Laluan memusing ke kanan, namun puncak Sheishan tidak kelihatan kerana kabus sangat tebal. Dengan perjalanan yang agak perlahan, kami sampai di puncak Gunung Sheishan pada ketinggian 3,886 meter tepat pukul 7.30 pagi. Suhu menurun lagi iaitu sekitar satu hingga empat darjah celcius. Persekitaran sangat sejuk dan berkabus. Terasa seperti duduk di dalam peti ais pula. Justeru, kami hanya mampu bertahan selama 30 minit, sebelum bergerak turun.
Saya bersama Appaduria a/l Kuppusamy, 65, dan Tan Boon Lee, 54, turun dahulu dari puncak untuk mengurangkan tekanan kesejukan melampau. Kami terus turun dari puncak ke Kabin 369. Pada pukul 3 petang, kami tiba di Kabin Cika untuk makan tengah hari. Dua jam kemudian, kami sampai di stesen renjer. Pemandu van kami, Abula sudah tiba awal dan kami berkemas untuk pulang ke Taipei.
Seperti biasa, kami bangun seawal pukul 5.30 pagi. Setelah berbincang, kami merancang pergi ke Taman Nasional Yangmingshan yang masih terletak di dalam bandar Taipei. Di taman nasional ini, terdapat satu gunung tertinggi dan di situlah haluan kami untuk hari ini.
Taman Nasional Yangmingshan merupakan taman negara ketiga yang dibuka pada 1985. Ia juga merupakan taman negara yang paling popular di Taiwan. Ia mempunyai pembentukan gunung berapi dan bunga-bungaan empat musim.
Pada pukul 7.30 pagi, kami bergerak ke sana. Kami membaca peta dan merancang menaiki tren MRT. Terdapat beberapa hentian sebelum menaiki bas. Semasa di dalam tren, kami ternampak seorang lelaki berpakaian treking. Salah seorang daripada kami, Nor Thahar Wan Mohd Nawi, 40, yang boleh berbahasa Mandarin menjadi jurubahasa kami. Lelaki yang memperkenalkan dirinya dengan nama Chiang itu juga mahu ke sana. Kami turun di hentian Syilin dan seterusnya menaiki bas.
Kami sampai di pintu masuk Taman Nasional Yangmingshan pada pukul 8.30 pagi. Ada banyak pintu masuk dan kami melalui pintu Jimbao Trail. Perjalanan kami disertai ramai pendaki veteran. Antaranya suami isteri berumur 75 dan 89 tahun yang berpakaian seperti baru pulang dari sawah.
Kami dibawa oleh Chiang dan rakan-rakan pendakinya ke tempat pemandangan gunung-ganang dengan menempuh laluan yang sangat panjang dan menarik. Kami dapat melihat berbagai-bagai pemandangan unik dan salah satunya adalah Gunung Cising.
Setelah melalui satu jambatan, kami tiba di Pusat Lawatan Leng Shui Keng yang merupakan satu lagi pintu masuk ke sini. Kami berehat 15 minit untuk bersedia menempuh laluan ke Gunung Cising. Di sini, terdapat perkhidmatan bas yang tiba setiap 15 minit. Pada awalnya kelihatan ramai orang turun dari gunung, namun kami memilih laluan alternatif dan yang lebih rendah sebelum mula mendaki di Kilometer 1.5. Di sini terdapat laluan bertangga sebelum kami perlu mendaki lagi 200 meter untuk sampai ke puncak. Perjalanan cuma sejam lebih sebelum kami tiba di puncak Gunung Cising pada ketinggian 1,120 meter.
Cuaca terang berubah menjadi sejuk. Kami sempat bergambar sebelum kabus melanda. Tidak jauh dari situ kelihatan puncak timur yang merupakan laluan turun dengan perjalanan masa cuma 15 minit. Cising atau dalam bahasa Mandarin disebut Qixing atau Chi 'Sing bermaksud tujuh bintang iaitu tujuh puncak utama.
Dalam suhu sejuk, kami turun perlahan-lahan mengikut laluan bertangga. Terdapat kawasan yang menempatkan pemancar dan pusat radio kebangsaan di laluan ini. Setibanya di bawah, kami menemui sebuah kolam air panas dan kolam sulfur yang masih aktif. Kami menaiki bas yang berhenti di stesen MRT terdekat. Kami sempat singgah di pasar malam terbesar di Taipei dan makan di tempat yang sama sebelum balik ke hostel.
Metro Taipei, lebih dikenali sebagai MRT atau Sistem Transit Rapid Taipei. Terdapat 89 stesen dan Metro Taipei adalah sistem metro pertama di Taiwan. Sejak ia mula beroperasi pada 1996, MRT telah berjaya mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Taipei.
Kami bangun pagi dan bersiar-siar di bangunan stesen keretapi terbesar itu dan makan tengah hari di sebuah restoran halal di Jalan Yanping. Kemudian kami singgah di kawasan deretan kedai peralatan aktiviti luar. Selesai di sini, kami bergerak ke bangunan 101 Taipei untuk bergambar. 101 Taipei juga dikenal sebagai Taipei Financial Center.
Kenangan mendaki gunung-gunung di Taiwan memberi harapan untuk kami mendaki gunung tertinggi di sini satu hari nanti. Apa pun pengalaman mencari makanan halal dan pemandangan indah tidak akan kami lupakan dan tidak akan menghalang kami daripada singgah sekali lagi di bandar metropolitan Taipei yang serba canggih ini. Untuk maklumat aktiviti, layari www.ogkl.com.my atau e-mel crew@ogkl.com.my atau laman sosial ogkl http://groups.to/ogkl/.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: