SESUATU yang membanggakan apabila banyak organisasi hari ini semakin berpandangan jauh dengan menggunakan teknologi hijau dalam operasi syarikat mereka.
Mungkin atas kesedaran melihat dunia yang kian ‘uzur’, maka pelbagai inisiatif ke arah itu mula diambil dengan matlamat mengembalikan kehijauan dan kelestarian alam.
Sikap optimis tersebut merupakan perkembangan yang sangat positif walaupun hakikatnya masih terdapat segelintir masyarakat bersikap acuh tidak acuh dengan ‘penyakit’ yang dihadapi bumi.
Justeru, sebenarnya masih belum terlambat untuk menggerakkan usaha proaktif menggunakan teknologi hijau dalam seluruh komponen kehidupan.
Di Malaysia, antara bidang utama yang banyak menggunakan teknologi berkenaan adalah seperti pentadbiran kerajaan, pengendalian kenderaan, pengurusan kuasa, telekomunikasi, pendidikan serta industri berkaitan aktiviti harian manusia.
Tidak mahu ketinggalan dalam menyemarakkan usaha murni itu, sebuah syarikat kejuruteraan tempatan, Taiace Engineering Sdn. Bhd. telah mencipta teknologi penyelesaian penjimatan tenaga elektrik.
Ia yang dibangunkan di bawah penjenamaan GreenTe Solutions menyasarkan penjimatan tenaga maksimum pada bangunan pejabat dan industri.
Menurut Pengerusi Eksekutif Taiace Engineering Sdn. Bhd., Isa Ismail, GreenTe Solutions secara asasnya menawarkan tiga bidang perkhidmatan utama.
‘‘Ia merangkumi khidmat penambahbaikan tenaga, peningkatan kualiti kuasa dan kawalan kuasa secara jarak jauh.
‘‘Penyelesaian menyeluruh ini bakal memberi penjimatan terhadap kos elektrik sekurang-kurangnya pada kadar 15 peratus setahun.
‘‘Teknologi ini turut mempunyai keunikan boleh direka bentuk mengikut permintaan dan kehendak pengguna,’’ katanya ketika di temui di kilangnya di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Kilang yang berkeluasan dua ekar itu disokong oleh lebih 80 orang tenaga kerja.
Bercerita mengenai sejarah Taiace, Isa memberitahu, ia telah beroperasi sejak tahun 1996 menerusi perniagaan pembuatan material besi dan komponen automotif.
Hanya bermula pada 2004, bidang perniagaan syarikat itu lebih terarah kepada industri kuasa dan peralatan tenaga sebelum tumpuan penuh diberikan kepada komponen teknologi hijau pada 2008.
Untuk sepanjang tempoh itu, Taiace banyak bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi terkenal negara seperti TM, Maxis, YES dan Celcom bagi membantu menguruskan sistem penyejukan pencawang dan pengurangan penggunaan elektrik.
Antara pencapaian cemerlang yang berjaya dicatatkan Taiace di beberapa lokasi operasi adalah seperti pengurangan penggunaan kuasa sehingga 57 peratus di stesen TM Tanjung Karang dengan penjimatan kos sebanyak RM20 juta setahun.
Selain itu, produk teknologinya turut dieksport ke 11 buah negara termasuk Korea Selatan, Thailand, Filipina, Australia, Indonesia, India, Pakistan, Amerika Syarikat dan Sweden.
Malah, Taiace juga telah bertapak kukuh di Indonesia sejak tahun 2007 menerusi penubuhan kilang teknologi pembuatan di kawasan industri daerah Cikarang, Jakarta.
‘‘Di Indonesia, Taiace bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi PT Telkom yang mempunyai seramai 130 juta pengguna talian, 30,000 stesen operasi serta disokong oleh 10 buah syarikat subsidiari di sekitar Jakarta dan Bandung,’’ jelasnya.
Untuk industri telekomunikasi, Taiace memberi tumpuan kepada aplikasi produk penyaman udara secara perkongsian beban dan kawalan tenaga pintar Free Cooling Box (FCB) untuk tujuan pengawalan suhu.
FCB akan menggunakan udara sejuk dari luar kabin untuk tujuan menyejuk bahagian dalam sementara jika udara luar bersuhu panas, sistem akan menghidupkan penyaman udara secara automatik.
Kelebihan itu bukan sahaja memberi penjimatan, malah turut mampu mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida sebanyak 0.6 kilogram untuk setiap pengurangan satu kilowatt sejam (kw/h) tenaga.
Pada masa hadapan, Taiace bercadang untuk memperluaskan aktiviti kajian dalam bidang teknologi hijau secara komersial menerusi anak syarikat penyelidikannya, Hypercube Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: