|
|
SEMASA di sekolah menengah, kawan-kawan memanggilnya Sam, watak Imuda sebagai seorang pereka fesyen dalam rancangan televisyen 2+1.
Namun jangan salah sangka, bukan kerana dia lembut sebagaimana watak tersebut tetapi kerana minatnya dalam rekaan fesyen.
Minat tersebut telah dipupuk sejak di sekolah rendah dan terus terbawa-bawa sehingga dia berada di sekolah menengah.
Malah ketika gurunya bertanya apakah cita-citanya, dia tanpa malu terus berkata ingin menjadi pereka fesyen.
''Memang dari kecil saya suka melukis gambar baju perempuan dan baju emak. Kalau emak hendak pergi kerja pun dia akan menyuruh saya memilihkan baju untuknya.
''Baju yang mula-mula saya lukis ialah baju kawan-kawan emak, iaitu baju kurung dan dres untuk pergi majlis. Masa itu saya baru dalam darjah enam,'' demikian kata pereka muda, Syomir Izwa Sen Gupta.
Tambahnya, jika menonton televisyen, apa yang diperhatikan ialah baju yang dipakai oleh wanita dalam rancangan atau filem tersebut terutamanya filem-filem Hollywood.
Minatnya dalam fesyen terus digilap sebaik tamat sekolah menengah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang rekaan fesyen di Raffles Institute of High Education dan berjaya memperoleh Diploma Rekaan Fesyen pada tahun 1997.
Semasa di kolej dia sering diminta oleh rakan-rakan untuk membuat baju untuk mereka.
Kini setelah memiliki butik sendiri, Syomir lebih mudah merealisasikan ilhamnya membuat rekaan baju untuk pelanggan-pelanggannya.
''Identiti rekaan saya adalah elegan dan tidak keterlaluan atau berlebih-lebihan dengan perhiasan.
''Saya ingin mendidik orang Melayu bahawa tidak perlu berlebih-lebihan meletakkan hiasan pada baju seperti manik, batu, labuci dan sebagainya. Baju akan tetap nampak cantik dan elegan, dengan kata lain, less is more.
''Tidak seperti pereka fesyen lain yang suka dengan sulaman dan perincian manik, rekaan saya berbeza kerana mesti mempunyai drapes dan pleats. Ini adalah kelainan saya. Oleh itu rekaan saya banyak menggunakan kain iaitu kira-kira lapan meter bagi satu baju.
''Drapes dan pleats bukan sahaja untuk baju ke majlis malah untuk baju kahwin juga.
''Selain itu, saya amat cerewet mengenai potongan baju kerana ia harus cantik dan selesa pada pelanggan,'' katanya ketika ditemui di butiknya, Syomir Izwa di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, ada yang menganggap drapes dan pleats membuatkan seseorang itu nampak gemuk, tetapi bagi Syomir ia sebenarnya menonjolkan kelangsingan seseorang.
Katanya, fabrik yang cantik tidak memerlukan rekaan yang berlebihan kerana rekaan yang ringkas sudah dapat menonjolkan keindahan sesuatu rekaan.
Justeru itu, sutera dan sutera syifon merupakan fabrik kesukaan Syomir kerana kelembutannya dan cantik apabila dipakai.
Warna-warna koleksi pakaian yang dihasilkan oleh Syomir terdiri daripada warna-warna kesukaan wanita seperti hijau lemon neon, merah, kelabu, hitam dan merah jambu.
Bagi mendapatkan rekaan yang eksklusif, Syomir menjadikan buku, ruang hiasan dalaman, tempat yang baru dibuka, senibina, sejarah dan personaliti yang mengelilinginya sebagai rujukan.
Pada masa akan datang, kata Syomir, dia bercadang untuk membuat baju wanita yang sedia untuk dipakai dan baju lelaki yang sesuai untuk kasual dan majlis rasmi.
Jelasnya, bukan semua orang yang suka menempah baju kerana bimbang tidak selesa. Biasanya mereka lebih suka membeli baju yang sudah siap kerana boleh dicuba dan dibeli jika sesuai.
Mengenai aliran fesyen tahun ini, Syomir berkata, pengaruh fesyen awal 90-an akan kembali semula di mana fesyen seluar berpotongan longgar akan kembali diminati dan fesyen seluar lurus ketat akan luput.
''Rekaan potongan baju nampak lebih kemas dan tidak berlebihan, tidak sarat dengan perhiasan yang lebih minimum,'' kata anak kedua daripada tiga beradik yang kesemuanya lelaki itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: