Thursday, January 26, 2012

Kesusahan keluarga kekuatan Zoher


Zoher Mat melihat bekas-bekas suntikan ketika rawatan dialisis pada tangan bapanya sambil diperhatikan ibunya, Rokiah Ahmad di Kampung Bemban, Jitra, baru-baru ini.


BAGI anak muda ini kesusahan bukanlah sesuatu yang harus diwarisi. Biarpun lahir dalam sebuah keluarga yang tidak dilimpahi kemewahan, tekad dan azam untuk mengubah nasib keluarga di samping melihat kedua ibu bapanya gembira dan hidup senang tidak pernah padam.

Kesusahan menjadi pendorong kepada anak bongsu daripada enam beradik ini untuk berusaha menjejakkan kaki ke menara gading.

Bukan sahaja bercita-cita untuk menjawat jawatan tinggi, malah kegigihannya meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda adalah untuk membalas budi dan jasa kedua orang tuanya yang selama ini terpaksa berkorban demi melihat dirinya berjaya.

Bagi Mohamad Zoher Mat, 22, pengorbanan ayahnya, Mat Din, yang sanggup berpanas dan berhujan mengerjakan sawah saban hari tanpa mengenal penat dan lelah akan diingati sampai bila-bila.

Beliau sedar, usaha gigih ayahnya itu tidak lain tidak bukan hanya untuk melihat dirinya berjaya.

Tekad dan keazaman itu semakin membara, apabila ayahnya disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak tahun 2002.

Dia tahun meskipun terpaksa menahan kesakitan dan berulang menjalani rawatan, ayahnya tetap meneruskan kerja sebagai pesawah dan kadangkala turut mengambil upah menoreh getah.

Kadangkala ibunya, Rokiah Ahmad, yang menghidap penyakit darah tinggi juga terpaksa mengambil upah menoreh getah untuk meringankan bebanan kewangan.

"Semua ini semakin menyemarakkan semangat saya untuk menggenggam segulung ijazah. Saya percaya, hanya dengan ilmu dan pendidikan kita dapat mengubah nasib diri dan keluarga.

"Adik-beradik yang lain semuanya telah berkeluarga. Saya tidak mahu menyusahkan mereka tetapi ada kalanya kakak dan abang ada membantu," katanya ketika ditemui di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.

Pada awalnya, Mohamad Zoher atau lebih senang disapa Zoher agak keberatan untuk ditemui menceritakan kisah hidupnya.

Tetapi atas dasar ingin berkongsi dan memberitahu bahawa tiada yang mustahil untuk mencapai kejayaan, anak kelahiran Jitra, Kedah itu akhirnya setuju.

Begitupun, menurut Zoher, apa yang dikongsi bukanlah bertujuan menagih simpati jauh sekali mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak.

Malah dia amat berharap agar ceritanya dapat dijadikan teladan bagi para pelajar yang menghadapi situasi sama sepertinya.

Bercerita lanjut mengenai penyakit ayahnya, jelas Zoher, dalam seminggu ayahnya akan membuat rawatan dialisis sebanyak tiga kali.

Untuk sekali rawatan, ayahnya terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM200.

Bagaimanapun, sekarang ini ayahnya mendapatkan rawatan tersebut di hospital kerajaan dan ia diberikan secara percuma.

Katanya lagi, istilah berputus asa tiada dalam kamus hidupnya malah dia semakin bersemangat untuk mengejar cita-citanya.

Bakal menerima ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Zoher merupakan seorang penerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Ujarnya, dengan wang tersebut dia terpaksa berjimat cermat malah ada kalanya dia turut membeli keperluan dapur sekiranya ada wang berlebihan.

Bagaimanapun menurut Zoher, di dunia ini tiada apa yang datang bergolek.

Ia mestilah disusuli dengan usaha. Selain belajar bersungguh-sungguh, Zoher juga sering melakukan solat Dhuha dan alhamdulillah, setakat ini rezekinya tidak pernah putus walaupun pada zahirnya dia terpaksa bercatu.

"Alhamdulillah, walaupun dilihat kadang kala wang pinjaman yang diterima tidak mencukupi untuk satu semester, saya tetap bersyukur.

"Tambahan pula dengan adanya kemudahan seperti Internet yang disediakan universiti, di situlah saya dapat menjimatkan kos.

"Insya-Allah, berkat kesabaran serta kesungguhan tanpa mengenali erti putus asa, kita akan memperoleh kejayaan," katanya lagi.

Yang jelas, Zoher adalah seorang anak muda yang berjiwa kental dan sepanjang pertemuan berlangsung, dapat dilihat bahawa dia sememangnya tidak sabar untuk menamatkan pengajiannya.

Ini kerana katanya, sudah tiba masa untuk ayah dan ibunya berehat dan menjaga kesihatan.

Dan gilirannya pula sebagai anak untuk menggalas tanggungjawab memastikan orang tuanya hidup lebih senang dalam meniti sia-sia usia mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: