TARIAN singa turut diadakan sebagai permulaan sambutan Tahun Baharu Cina di Pavilion. |
ESIAPA sahaja yang melalui ruang legar pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur pasti akan tergamam dengan hiasan seekor naga yang melingkari kawasan tersebut. Kepalanya sahaja bersaiz 2.9 meter panjang dengan kelebaran 2.5 meter, manakala bahannya pula diperbuat daripada mache iaitu sejenis kertas tradisional Cina.
Lingkaran naga besar sepanjang 180 meter itu menguasai ruang siling berketinggian 50 meter.
Biarpun bersaiz mega, pembinaannya tetap menggunakan kaedah tradisional iaitu struktur naga tersebut dibuat di China, manakala hiasan luaran pula disiapkan di Malaysia.
Jumlah masa yang digunakan sehingga naga berwarna merah, kuning dan emas itu digantung di siling Pavilion mengambil masa dua bulan.
Dalam sistem zodiak Cina yang membariskan 12 ekor haiwan, naga merupakan haiwan yang paling positif antara semua haiwan yang bermula dengan tikus dan berakhir dengan babi. Ia melambangkan kekuasaan, kekayaan dan tuah.
“Kami menyasarkan untuk mencipta seekor naga yang hebat dan lebih baik daripada yang lain,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion, Joyce Yap.
Tahun ini, masyarakat berketurunan Cina menyambut perayaan tahun baru Naga yang menjanjikan permulaan tahun yang baik kepada semua orang.
Naga simbol tuah

Menurut pengamal Feng Shui, Steven Lim, 36, bagi komuniti Cina, naga adalah simbol yang membawa tuah terutama pada bidang-bidang tertentu di Malaysia.
“Pada tahun ini, berdasarkan pada ramalan asas yang dilakukan bidang-bidang industri yang melibatkan kayu dan air akan mempunyai peluang yang cerah,” kata Steven ketika dihubungi Kosmo!
Elemen kayu membawa maksud sesuatu yang sentiasa berkembang seperti bidang pendidikan, penerbitan dan agensi pelancongan.
Air pula adalah elemen yang mewakili bidang pekerjaan atau perniagaan yang memerlukan air dan berkaitan dengan kebersihan.
Antara contohnya adalah perkhidmatan kebersihan, agensi mencari pekerjaan dan perniagaan menjaga kecantikan seperti spa dan pusat kecantikan serta salon.
Selain itu, gerai-gerai yang menjual seni halus masyarakat Cina seperti kaligrafi, lukisan dan perhiasan sempena perayaan Tahun Baru Cina turut diadakan di ruang legar di bawah naga seberat 600 kilogram.
Pada majlis pelancaran Festival Naga baru-baru ini, sebanyak dua ekor naga dan lapan ekor singa dibawa untuk meraikan kedatangan tahun baru.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: