Thursday, January 26, 2012

Kurangkan karbon dioksida, jelaga dan metana


DAPUR menggunakan kayu menyumbangkan kepada pelepasan jelaga.


PASUKAN saintis antarabangsa mendedahkan mereka kini mempunyai jalan untuk memperlahankan pemanasan global dalam masa pendek sekali gus membendung kematian jutaan penduduk dunia akibat udara tercemar.

Mereka berkata kunci utama dalam memastikan ia dapat diperlahankan adalah dengan mengurangkan pengeluaran dua punca yang menyebabkan pemanasan global bertindak pantas iaitu metana dan jelaga.

Karbon dioksida merupakan gas rumah hijau utama bagaimamapun, para saintis mengatakan mengurangkan metana dan jelaga dapat pemulihan lebih cepat.

Menurut penyelidikan pasukan itu yang diterbitkan dalam jurnal Sains, jelaga merupakan masalah besar dalam aspek kesihatan. Sekiranya dapat mengurangkannya dengan menggunakan teknologi hari ini, ia dapat membantu menyelamatkan kira-kira 700,000 dan 4.7 juta nyawa manusia setiap tahun.

Memandangkan jelaga menyebabkan pola jumlah hujan turun berubah-ubah, mengurangkannya dapat mengurangkan kemarau di Eropah Selatan dan bahagian Afrika.

Ia juga dapat membantu mengurangkan masalah monsun di negara Asia, kata kajian berkenaan.

Sebanyak 24 orang saintis seluruh dunia telah menjalankan model komputer dalam langkah pencegahan 400 pencemaran sedia ada dan memperoleh 14 kaedah pengawalan metana serta jelaga.

Lebih satu dekad idea berkenaan telah wujud dan pengkaji-pengkaji yang sama telah membuat laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu tetapi, kajian terbaharu yang jauh lebih komprehensif sedang dilakukan.


JUMLAH kematian akibat kebuluran meningkat apabila banyak negara dunia ketiga dilanda kemarau panjang.


Menurut ketua kajian berkenaan, Drew Shindell daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), kesemua kaedah terbabit dapat menawan metana dari loji pelupusan sisa pepejal, lombong arang batu, enjin-enjin diesel malah, digunakan dengan cekap di kebanyakan tempat.

Bagaimanapun, beliau memberitahu ia tidak diterima dan diguna pakai secara universal.

Metana biasanya dihasilkan di loji pelupusan sisa pepejal, ladang-ladang, loji gas asli dan perlombongan arang batu.

Jelaga pula dikenali sebagai karbon hitam oleh para saintis merupakan produk sampingan pembakaran. Ia adalah satu masalah besar dengan dapur menggunakan kayu dan batu arang di negara membangun serta beberapa bahan api diesel seluruh dunia.

Mengalih tumpuan terhadap karbon dioksida tidak bermakna tidak mempedulikan langsung mengenai bahaya gas itu.

Terdapat lebih banyak pencemaran karbon dioksida berbanding metana dan jelaga tetapi, dua gas yang terakhir itu juga adalah sangat kuat.

Pada tahun 2007, satu kajian telah dilakukan Universiti Stanford dan pengiraan mendapati karbon dioksida merupakan punca utama buatan manusia menyebabkan pemanasan global dengan 48 peratus.

Jelaga pula menduduki tangga kedua dengan 16 peratus dan metana 14 peratus.

Bagaimanapun, kajian mendapati dalam tempoh 20 tahun, satu molekul metana atau jelaga menyebabkan lebih banyak pemanasan berbanding satu molekul karbon dioksida.


PENGURANGAN metana dan jelaga harus seiring dengan usaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.


"Strategi kini menumpukan pada konsep menang-menang yang mempunyai banyak faedah kepada kesihatan manusia, pertanian dan menstabilkan iklim Bumi," kata Profesor Ekologi Universiti Minnesota, Jonathan Foley.

Di Amerika Syarikat, Shindell mendapati langkah-langkah tersebut akan menghalang kira-kira 14,000 kematian terhadap manusia yang mencapai umur lebih 30 tahun menjelang 2030 akibat pencemaran udara.

Ia akan lebih membawa faedah kesihatan di China dan India apabila jelaga ialah satu masalah utama di negara-negara berkenaan.

Sementara itu, saintis iklim Universiti Stanford, Chris Field, memuji kajian tersebut tetapi berkata, dia bimbang pegawai-pegawai alam sekitar terlalu memfokuskan kepada jelaga dan metana dan mengabaikan karbon dioksida yang lebih tersebar luas.

"Menumpukan hanya pada metana dan jelaga serta tidak mempedulikan karbon dioksida cenderung memburukkan lagi perubahan iklim," katanya.

Seorang lagi pakar iklim, Andrew Weaver dari Universiti Victoria, Kanada berkata, kajian tersebut merupakan berita baik ketika laporan-laporan muram mengenai perubahan iklim.

"Kita mempunyai penyelesaian di dalam tangan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: