SUDAHPUN beroperasi sejak pertengahan tahun lepas, menurut Erul butik pakaian yang dinamakan AK Design ini merupakan usahanya bersama ahli keluarga.
"Sebenarnya saya memang lahir di dalam sebuah keluarga yang suka berniaga.
"Dan pembukaan butik ini juga merupakan usaha saya bersama ayah serta adik beradik saya yang lain," katanya ketika ditemui di butiknya yang terletak Axis Atrium, Ampang, Kuala Lumpur.
Mengakui bukan mudah untuk bergelar penghibur dan usahawan pada masa yang sama, Erul amat bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang amat memahami jadual kerjanya.
"Memandangkan perniagaan ini baru saya bermula, saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil pekerja lagi.
"Bagaimanapun kesibukan saya tidaklah sampai menganggu waktu operasi ini kerana ahli keluarga saya yang lain juga banyak membantu menguruskan butik ini memandangkan saya sering berada di luar kawasan," katanya.
Tidak menafikan kehadiran di dalam bidang seni sentiasa membantu perniagaanya, menurut Erul kebanyakan peminatnya kini banyak menjadikannya sebagai ikon fesyen.
"Tidak dinafikan menjadi peserta Akademi Fantasia banyak membantu perniagaan saya kini, kerana peminat mula berminat dengan pilihan fesyen di butik saya kini.
"Walaupun pulangan perniagaan ini lebih lumayan dari karier sebagai penyanyi, namun ingin saya tekankan di sini bahawa minat di dalam bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan saya," jelasnya.
Menurut jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini, dalam memastikan pakaian di butiknya sentiasa menepati fesyen terkini dia akan mengambil masa meneliti setiap fesyen terbaru melalui majalah atau Internet.
"Fesyen akan sentiasa berubah mengikut peredaran masa, untuk itu saya akan memastikan saya mempunyai informasi yang tepat mengenai fesyen terkini.
"Selalunya saya akan ke China sekurang-kurangnya tiga kali setahun untuk membeli stok pakaian serta aksesori di sana," katanya.
Menanam impian untuk mengembangkan perniagaanya ini sehingga mempunyai jenama baju sendiri, Erul berharap suatu hari nanti dia mampu mereka fesyen pilihannya sendiri.
"Saya di dalam perancangan untuk mereka fesyen pilihan saya sendiri tahun hadapan.
"Rasanya ia tidak akan mendatangkan masalah buat saya kerana saya memang mempunyai kemahiran untuk mereka corak pada pakaian," katanya.
Muncul dengan single kedua
Baru sahaja keluar dengan single kedua yang yang bertajuk Anroid, Erul berharap agar peminatnya dapat terus menyokong kerjaya seninya yang masih muda ini.
"Apa yang saya harapkan adalah agar peminat saya sentiasa merestui perjalanan seni saya yang masih awal ini.
"Semoga dengan kemunculan Anroid dapat menambahkan kepercayaan mereka di luar saya tentang keupayaan saya," katanya.
Masih tidak mahu di kenali sebagai pelakon, menurut Erul dia ada menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolaknya buat masa ini.
"Saya ada menerima beberapa tawaran berlakon, namun saya terpaksa menolaknya.
"Bukan apa saya tidak mahu terlalu tamak menerima pelbagai tawaran buat masa ini, lebih baik rasanya saya memberikan tumpuan dahulu untuk membina kerjaya nyanyian saya," katanya ketika mengakhiri perbualan pada petang itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: