RASANYA semua ibu bapa sedar akan hakikat kanak-kanak zaman ini memang lebih bijak dan mahir menggunakan peralatan teknologi.
Malah mereka juga pantas menguasai kemahiran membaca dan menulis jika dibanding dengan anak-anak yang lahir 20-40 tahun sebelumnya.
Kanak-kanak yang dahulunya gemar bermain bola sepak, berkhemah, beriadah, ke kelas tarian dan sebagainya bertukar minat kepada menghantar pesanan teks dan permainan komputer. Malah ada yang mempunyai akaun di laman rangkaian sosial semuda usia enam tahun.
Bayangkan betapa mudahnya anak-anak diberikan kemudahan teknologi maklumat (IT) seperti komputer (PC), komputer riba, tablet, permainan video Sony Playstation, Xbox, Wii dan sebagainya bagi mengisi masa terluang tanpa had dan kawalan daripada ibu bapa.
Persoalannya, adakah benar teknologi telah mencederakan, membahayakan dan merobek naluri keprihatinan sebagai insan terhadap si kecil? Adakah pendedahan terlalu awal ini memberikan kesan buruk?
Pengasas laman web Little Kittle, Hafiza Abdul Rahman mengakui, anak cilik zaman ini lebih mengenali alam siber di usia lebih awal dan memiliki gajet IT sendiri berbanding berinteraksi dengan dunia luar.
Anak-anak kecil itu hanya perlu menggunakan jari jemari untuk mengakses dunia tanpa sempadan di Internet.
"Tiada halangan atau sempadan pada pandangan lahiriah si kecil ini kerana arus permodenan telah mengaburkan dunia sebenar dan mewujudkan dunia digital.
"Pada pandangan mereka cuma ada satu, iaitu dunia hasil gabungan teknologi yang bersifat lebih interaktif, mudah alih dan boleh menghubungkan jarak jauh dengan lebih singkat.
"Saya tidak setuju dengan pandangan skeptikal dan stereotaip berkenaan penggunaan teknologi lebih membawa keburukan terhadap anak kecil.
"Ini kerana saya dan suami percaya teknologi memberikan peluang lebih besar jika ia dipantau dan digunakan bersama. Iaitu tidak hanya meninggalkan anak-anak tersebut berdepan dengan gajet ini tanpa didikan dan kasih sayang.
"Teknologi ini perlu digunakan dan dimanipulasi sebaiknya dalam setiap institusi kekeluargaan bagi manfaat jangka panjang bersama.
"Ia tidak hanya terhad kepada melayari rangkaian sosial atau menghantar pesanan ringkas, bermain permainan komputer," ujar Hafiza yang lebih dikenali dengan nama webnya Mamafiza.
Ujar Hafiza , bila ingin tahu tentang sesuatu, kanak-kanak terbabit boleh mengakses kepada perpustakaan dengan hanya satu klik saja.
Anak-anak boleh meneroka perkara yang ingin dipelajarinya, membaca akhbar dalam talian, mencari komuniti online dan berpengalaman berdepan dengan pertembungan budaya berbeza dari seluruh pelosok dunia .
Semua itu jika diambil dengan cara positif dan berhemah dapat membantu anak-anak membentuk keterampilan dan peribadi selain lebih berfikiran matang dan cemerlang.
"Dengan pantauan di rumah, anak-anak saya diasuh untuk tidak mempunyai perasaan takut dalam bereksperimen dengan peranti komputer dan perisian baru.
"Malah mereka turut terlibat dalam proses mereka bentuk grafik, asas rakaman dan suntingan video serta pengekodan laman web dan pembuatan perisian pintar pada usia yang lebih muda.
"Dengan cara ini anak-anak dapat memahirkan diri dalam melakukan pelbagai tugas dan lebih yakin," katanya.
Bagi Hafiza, isu keselamatan dan hak peribadi perlu diajar kepada anak-anak sebelum didedahkan dengan sebarang jaringan Internet.
Katanya, perkara yang paling asas perlu ada ialah disiplin keluarga.
Sebagai contoh, jika keluar bersama keluarga untuk bercuti atau waktu makan, tidak dibenarkan sama ada anak-anak mahu pun ibu bapa menggunakan gajet.
"Bagi saya, ibu bapa adalah model mutlak. Sekiranya mereka sendiri makan malam sambil menonton televisyen dan asyik membelek telefon bimbit, ini seolah memberikan isyarat pada si kecil bahawa perbuatan itu 'boleh' dilakukan dan perlakuan itu diterima.
"Ibu bapa sendiri perlu mengimbangi dunia realiti dan dunia siber sebelum memberi tunjuk ajar buat anak-anak kecil," katanya yang turut berkongsi panduan dalam laman webnya sendiri Mamafiza.com.
Menurut Hafiza, ibu bapa boleh cuba mewujudkan projek makmal mini ICT yang menggunakan teknologi untuk membantu anak cilik membentuk kebolehan berfikir ke tahap lebih tinggi.
Untuk membolehkan keupayaan berfikir secara terbuka, si kecil perlu mempunyai pengetahuan asas yang kukuh dalam subjek asas seperti membaca, mengira, (asas matematik, bahasa, subjek asas sains: biologi, fizik, kimia,) yakni yang membolehkan mereka berfikiran kritis serta berkemahiran dalam menyelesaikan masalah.
"Dengan mewujudkan makmal IT mini di rumah, anak-anak tiada punyai alasan untuk ke kafe siber kerana wujudnya kelengkapan di rumah yang boleh dipantau oleh ibu bapa sendiri.
"Senario ini dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di kafe siber yang telah disalahgunakan oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab seperti menjadikannya pusat judi haram dan juga aktiviti yang tidak sihat di kalangan remaja yang ponteng sekolah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: