Thursday, January 12, 2012

MAPTB bantu pesakit Tibi


MAPTB memerlukan dana untuk terus membantu pesakit Tibi yang miskin. - Gambar hiasan


PERSATUAN Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MAPTB) telah ditubuhkan pada tahun 1948 oleh sekumpulan pemimpin masyarakat yang prihatin dan merasakan betapa perlunya mengadakan satu pergerakan anti-Tibi di peringkat kebangsaan di negara ini.

Pada waktu itu, penyakit Tibi merupakan penyakit pembunuh nombor satu yang disebabkan kekurangan zat makanan serta taraf hidup kebersihan yang kurang baik akibat perang dunia kedua dan tiadanya perancangan yang teratur daripada pihak kerajaan di bawah jajahan British untuk mengawal penyakit itu di negara ini pada ketika itu.

Menurut Presiden MAPTB, Datuk Seri Yeop Jr. Yeop Adlan, pada awalnya tujuan dan objektif persatuan ini ialah memberikan bantuan kewangan kepada pesakit Tibi yang miskin dan tanggungannya supaya pesakit terus mendapatkan rawatan dengan bantuan kewangan.

Tambahnya, persatuan juga bertujuan memberikan kesedaran di kalangan masyarakat berkenaan kemudaratan penyakit ini melalui pendidikan kesihatan awam, media massa dan lain-lain serta mendesak pihak kerajaan menubuhkan bahagian kawalan penyakit ini di Kementerian Kesihatan supaya satu rancangan keseluruhan dan teratur dapat dirancang dan diamalkan.

''Pada masa itu persatuan menggunakan tiket-tiket sosial loteri yang dijual untuk digunakan oleh para pesakit Tibi yang mahu mendapatkan rawatan di hospital dan klinik.

''Pada tahun 1957 selepas kerajaan merdeka, masalah Tibi di negara ini terus dipandang serius yang mana pada akhirnya kerajaan telah melancarkan Rancangan Kawalan Tibi Kebangsaan pada tahun 1961 dengan tertubuhnya Pusat Tibi Negara," jelasnya ketika ditemui di Institut Perubatan Respiratori di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yeop Jr. berkata, dengan tertubuhnya rancangan itu, kerajaan telah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pencegahan, kawalan serta rawatan penyakit Tibi.

Justeru, bermula dari saat itu, MAPTB bergerak sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi pelbagai input dan cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengatasi masalah Tibi di negara ini supaya ianya dapat dibendung agar penyakit ini tidak menjadi masalah kesihatan awam di negara ini.

Antara bentuk aktiviti yang dilakukan oleh MAPTB ialah mempertingkatkan pengetahuan awam menerusi pelbagai kemudahan terbaik seperti pencegahan diagnosis mengenai penyakit ini dan juga berusaha mendapatkan sumber kewangan yang secukupnya sama ada melalui sumbangan atau derma daripada orang ramai bagi melaksanakan segala bentuk program dan aktiviti, menyokong ahli-ahli menganjurkan rancangan pendidikan mengenai Tibi untuk membantu kerajaan bagi mewujudkan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat sekitar.

''Antara aktiviti yang dilakukan oleh MAPTB ialah mencari pesakit secara aktif untuk dipulihkan menyebabkan kejayaan program ini dengan terkawalnya Tibi dilihat daripada kesnya yang semakin berkurangan jumlahnya.

''Pada waktu itu pesakit Tibi merupakan stigma kepada masyarakat yang mana para pesakit akan diasingkan ketika mendapatkan rawatan.

''Pada tahun 1970, pesakit Tibi akan dirawat dua tahun sehingga pesakit itu sembuh dan seterusnya melakukan rawatan susulan, namun kini disebabkan penemuan rawatan moden dan terbaru membendung penyakit ini, pesakit akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh enam bulan sahaja," katanya.

Dalam pada itu Yeop Jr. memberitahu persatuan kini menghadapi kekurangan dana kerana menerima geran yang amat berkurangan dan tidak mencukupi untuk menjalankan aktiviti.

Justeru, perkara ini menjadikan halangan kepada persatuan untuk membantu pesakit Tibi yang miskin dan memerlukan bantuan serta meneruskan aktiviti program kesedaran Tibi.

''Sejak penubuhannya, MAPTB telah menerima geran daripada Kementerian Kebajikan Masyarakat sehingga tahun 1998, namun pada tahun 1999 MAPTB telah diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan atas arahan Jabatan Perdana Menteri kerana penyakit ini diklasifikasikan sebagai isu kesihatan.

''Dengan berkurangnya geran daripada Kementerian Kesihatan, MAPTB tidak mempunyai pilihan melainkan menggunakan rezab tabungan persatuan dan ahli-ahli gabungannya di seluruh negara untuk membantu pesakit miskin yang memerlukan bantuan dan juga menjalankan kempen kesedaran di seluruh negara," jelasnya.

Justeru, pihaknya merayu kepada Kementerian Kesihatan agar mengkaji dan menambah geran kepada persatuan ini kerana persatuannya ingin terus membantu pesakit Tibi yang miskin dan meneruskan aktiviti program kesedaran Tibi.

Katanya, dia berharap agar bantuan dana ini dipercepatkan dan jangan diberhentikan untuk kebaikan pesakit Tibi dan masyarakat.

Kepada mereka yang mahu bertanya lebih lanjut mengenai MAPTB boleh menghubungi talian 03-22743070.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: