Monday, January 16, 2012

Managa majukan ekopelancongan


Kebanyakan hutan di Malaysia kaya dengan flora dan fauna.


MALAYSIA memiliki aset yang lengkap – kawasan tanah tinggi, pulau, tasik, hutan belantara, sungai dan pantai untuk satu pakej yang memenuhi citarasa semua golongan pelancong.

Namun adakah aset tersebut dipelihara dan dimajukan sebaik mungkin sebagai satu produk yang benar-benar mempunyai daya tarikan? Hakikatnya masih banyak yang perlu dilakukan bagi mempertingkatkan industri pelancongan negara termasuk memberi tumpuan yang lebih kepada sektor ekologi.

Justeru, ramai pihak berhasrat memberi tumpuan semaksimum mungkin pada aspek ekopelancongan kerana segala-galanya ada di Malaysia.

Apa sebenarnya dimaksudkan ekopelancongan?

Ekopelancongan merupakan satu konsep yang dibangunkan pada 1980-an untuk membolehkan orang ramai melawat kawasan semulajadi dan penduduk setempat tanpa memusnahkan persekitaran.

Konsep pelancongan ekologi ini bertanggungjawab terhadap alam sekitar supaya kita dapat menikmati dan menghayati pengalaman alam semulajadi dan kebudayaan.

Dalam sesetengah kes, kawasan perlindungan diwujudkan kerana ia mempunyai satu sumber khusus dan merupakan tarikan yang unggul.

Contohnya di Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak, Taman Negara Semenanjung Malaysia dan Taman Kinabalu, Sabah mempunyai nilai yang tinggi bagi pemuliharaan kepelbagaian biologi dan tarikan terbaik bagi pelancongan.

Ekopelancongan juga harus mempunyai impak yang rendah terhadap alam sekitar dan harus menyumbang kepada kesejahteraan penduduk tempatan.

Di Afrika misalnya, wang daripada ekopelancongan terbukti sangat berguna untuk menjaga hidupan liar di negara-negara seperti Uganda, yang terkenal dengan gorila pergunungan di barat daya.

Alam sekitar

Menurut Persatuan Pemandu-Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Malaysia (Managa), Riduwan Zanin, konsep ekopelancongan sering disalah anggap dan dilabelkan kepada aktiviti yang mempunyai kaitan dengan alam sekitar.

"Ia digunakan secara berleluasa sehingga semua orang menganggapnya bermakna destinasi alam semulajadi. Ekopelancongan adalah perjalanan dan lawatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, ke kawasan bersifat semulajadi, konservasi dan membolehkan penglibatan secara aktif masyarakat tempatan dalam aktiviti sosioekonomi.

“Contohnya, menaik taraf kehidupan Orang Asli yang tinggal di dalam hutan itu dengan melibatkan mereka menyertai aktiviti pelancongan dan pemuliharaan spesies tumbuh-tumbuhan serta haiwan di situ. Konservasi pula adalah penjagaan, pemeliharaan, pengurusan atau pemuliharaan hidupan liar, sumber asli dan alam sekitar seperti hutan, tanah dan air," katanya.

Oleh itu, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Managa berperanan memberi pendidikan tentang maksud sebenar ekopelancongan melalui media massa dan ceramah di sekolah. Selain itu, Managa berusaha untuk menaik taraf pekerjaan pemandu pelancong semulajadi.

Riduwan memberitahu, orang ramai sering beranggapan pemandu pelancong alam semulajadi terdiri daripada orang asli atau orang kampung tanpa imej yang kemas.

“Justeru menjadi tugas kami untuk meningkatkan imej pemandu pelancong semulajadi supaya nampak lebih kemas dan bertaraf antarabangsa agar generasi muda berminat menceburinya. Jika kita berjaya mengubah persepsi pekerjaan ini, secara tidak langsung kita akan menjayakan ekopelancongan,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai Managa, boleh menghubungi 03-2240 3551 atau emel guides@managa.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: