Putrajaya kini menjadi destinasi wajib dikunjungi bagi pelancong yang mahu menyaksikan keindahan alam semula jadi dan keunikan seni bina moden.
Di celah-celah pelbagai mercu tanda moden sekitar Putrajaya , Pullman Putrajaya Lakeside menjadi destinasi menarik dikunjungi kerana
hotel ini menjanjikan pemandangan indah.
Sebaik menjejakkan kaki ke sini, mata pasti terpukau melihat seni bina bangunan itu yang menakjubkan hasil gabungan elemen tradisional tersebut.
Anda bakal melihat gabungan elemen etnik seperti Melayu, Cina, India dan Borneo.
Secara keseluruhan, resort yang menawarkan 281 bilik dan suite yang dibahagikan kepada empat kompleks utama. Setiap kompleks mempunyai ciri seni bina yang tersendiri mewakili budaya kaum yang berlainan iaitu Blok Bunga Tanjung (Melayu), Teratai (Cina), Melur (India) dan Rafflesia (Borneo).
Seni bina
Di bangunan yang mengambil ciri Melayu, elemen kayu mendominasi seni bina. Selain dilihat kukuh dengan sokongan tiang kayu bermutu tinggi, kehalusan seni pertukangan Melayu turut terlihat pada panel tingkap, rabung dan genting serta gantungan hiasan lebah gantung di hujung bumbung.
Antara ukiran seni bina yang menarik di kompleks ini ialah ukiran bunga kebangsaan, Bunga Raya .
Terdapat juga sebuah kompleks yang menempatkan keluarga besar seperti yang dilihat di rumah panjang multi-etnik di Borneo.
Kompleks ini menampilkan motif seni orang Dayak dengan binaan kayu dan dikelilingi hutan.
Tidak ketinggalan, uniknya seni bina Cina dan India pada dua bangunan lain.
Kompleks yang berunsur masyarakat Cina ini menampilkan sebuah landskap taman indah dengan binaan sebuah jambatan bercirikan ikan emas. Lokasi ini sudah tentu menjadi pilihan tepat untuk konsep perkahwinan Cina dan makan malam Tahun Baru Cina.
Sementara itu, gabungan Hindu dan Buddha menjadi utama kompleks yang berkonsepkan India.
Tidak hanya menampilkan seni bina dari India, kompleks ini turut menggunakan warna, rekaan marmar dan logam negara tersebut.
Dalam pada itu, setiap ruang bilik mempunyai penataan dalaman moden dan elegan. Susun atur perabot kelihatan indah dengan memastikan setiap bilik dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, peti ais mini, televisyen satelit, telefon serta kemudahan membuat kopi dan teh.
Landskap
Hotel ini turut memberi perhatian landskap yang mengetengahkan konsep kehijauan taman ala resort.
Landskap diolah menarik apabila koridor, halaman bertingkat hinggalah ke pinggir tasik ditumbuhi tumbuh-tumbuhan hijau yang cantik.
Bagi pencinta seni bina tempatan, anda boleh menikmati sajian di The Village sambil menikmati pemandangan tasik di sekelilingnya.
Tidak sekadar itu, pengunjung boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di resort itu antaranya gelanggang bola tampar pantai, gimnasium, Kid's Club, kolam renang, bilik karaoke serta bilik permainan arked. Terdapat juga permainan sukan air atau belayar mengelilingi tasik yang boleh dicuba berdasarkan permintaan.
Dalam pada itu, hotel ini telah menghasilkan sebuah buku bertajuk "Pullman Putrajaya Lakeside: The Jewel in the Crown of Putrajaya".
Menurut Pengurus Besar Pullman Putrajaya Lakeside, Frank Loison, buku merupakan panduan kepada pengunjung Putrajaya dan Pullman Putrajaya Lakeside.
“Buku ini secara tidak langsung mempromosi keindahan sebenar Putrajaya kerana orang ramai belum menyedari keunikannya sebagai destinasi pelancongan baru Malaysia,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: