Tuesday, January 24, 2012

Kurangkan kolesterol

TEH CINA...teh Cina kaya dengan bahan antioksidan untuk kuatkan sistem imun.
TEH CINA...teh Cina kaya dengan bahan antioksidan untuk kuatkan sistem imun.
BANYAK KHASIAT...limau kaya dengan vitamin A dan C tetapi pesakit diabetes harus berjaga-jaga kerana kemanisannya.
BANYAK KHASIAT...limau kaya dengan vitamin A dan C tetapi pesakit diabetes harus berjaga-jaga kerana kemanisannya.

HARI ini bermula Tahun Naga yang dianggap sebagai tahun yang sangat istimewa dalam kalendar Cina kerana haiwan mistik ini bukan saja menjadi lambang kebesaran dan kemegahan maharaja zaman dulu, malah ia dikatakan akan membawa tuah.

Pemilihan sajian untuk sambutan hari besar bagi kaum Cina ini dilakukan dengan teliti dan biasanya mereka akan menghidangkan makanan yang mempunyai perkataan dengan makna bernasib baik, tuah, makmur, kekayaan, kegembiraan dan kesejahteraan serta panjang umur.

Menurut Pakar Perunding Diet, Indra Balaratnam, antara makanan yang ada makna perkataan di atas termasuk udang, ikan, yee sang, salad, limau mandarin, nanas, buah-buahan kering, biji-bijian, sosej Cina, daging panggang manis, tat nanas, kuih kapit dan kuih bangkit.

Pada sambutan Tahun Baru Cina kali ini, buah naga mendapat permintaan yang tinggi kerana ia bertepatan dengan simbol Tahun Naga.


Namun soal kepercayaan dan tuah tahun tidak sepatutnya mempengaruhi corak pengambilan makanan, khususnya bagi mereka yang ada masalah kesihatan. Pun begitu, kata Indra, pada hari istimewa ini, tidak mengapa jika terlebih makan sedikit kerana ia hanya disambut setahun sekali.


“Seperti perayaan lain, makanan yang dihidangkan pada Tahun Baru Cina juga tidak terlepas daripada mengandungi banyak lemak, gula dan garam. Seperti yang saya katakan, oleh kerana makanan ini hanya dinikmati setahun sekali, maka tidak mengapa jika makan lebih sedikit.

“Bagaimanapun, ada satu perkara yang perlu diingat iaitu cara memasak sangat penting untuk mengurangkan lemak dan kalori dalam semua sajian tahun baru ini. Kalau anda makan di luar, pesan makanan yang dikukus, bukannya bergoreng.

“Beringat juga apabila mengambil makanan sampingan seperti kerepek, biskut dan kek. Bukan tidak boleh ambil langsung tetapi bersederhana kerana makanan ‘kecil’ seperti ini memberi sumbangan besar dalam pertambahan kalori.

“Kini banyak keluarga yang makan di restoran pada makan malam tahun baru kerana ia lebih mudah. Malangnya, set yang mempunyai lapan hingga 10 bahagian hidangan mengandungi kalori yang sangat tinggi dan ia juga merangsang kepada masalah terlebih makan.

“Jadi, jika anda dan keluarga merancang untuk makan di luar, jangan memesan terlalu banyak makanan. Pilih sajian ringkas kerana apa yang lebih penting ialah bergembira dapat makan bersama-sama,” katanya.

Benarkah pendapat yang mengatakan minum teh Cina dapat membersihkan lemak yang dimakan? Tidak. Pendapat ini tidak benar, kata Indra.

Teh Cina tidak boleh membasuh lemak yang masuk ke dalam perut, tetapi ia kaya dengan bahan antioksidan yang dapat membantu menguatkan sistem imun. Malah ia pilihan lebih baik berbanding minuman berkarbonat yang banyak dihidangkan dalam mana-mana perayaan.

Apa yang menarik, pada musim perayaan ini, kaum Cina terutama keluarga yang mementingkan pengambilan sayur-sayuran akan tetap menghidangkan sajian berasaskan sayur untuk memastikan makanan dihidang seimbang.

Penulis juga adalah orang yang menantikan kedatangan Tahun Baru Cina kerana inilah masanya untuk menikmati limau mandarin sepuas hati. Soalnya, limau yang hanya ada setahun sekali ini dimakan banyak? Ya, kata Indra. Ini kerana limau mandarin mempunyai ciri yang menarik iaitu:

  • Ia terdiri daripada 85 peratus air dan hanya mengandungi 64 kalori. Ini menjadikan ia snek rendah kalori terbaik terutama untuk mereka yang menjaga atau mahu mengurangkan saiz pinggang.

  • Setiap limau mandarin memberikan kita dua gram serat dan ia adalah makanan yang baik untuk mengurangkan paras kolesterol yang tinggi.

  • Dengan kandungan lebih 50 peratus daripada pengambilan vitamin C harian anda, limau mandarin juga sangat baik untuk kulit. Vitamin C membantu dalam penghasilan kolagen untuk mengekalkan keanjalan kulit dan mengurangkan kedut.

  • Penglihatan anda turut mendapat kebaikan limau mandarin ini kerana ia menyumbangkan kira-kira 16 peratus daripada jumlah pengambilan vitamin A harian. Vitamin ini membantu menghasilkan pigmen retina untuk penglihatan yang baik.

  • Bagi pesakit diabetes, perlu berhati-hati kerana limau mandarin ini manis. Justeru, jangan makan terlalu banyak pada satu-satu masa kerana ia boleh menaikkan paras gula dalam darah. Jumlah yang disarankan ialah sebiji pada satu masa.


    Panduan pemakanan sihat Tahun Baru Cina

  • Ajar diri bersabar apabila berhadapan dengan makanan. Ini kerana anda akan mengunjungi banyak rumah terbuka, jadi buat perancangan bijak. Makan sedikit di setiap rumah yang anda kunjungi.

  • Elakkan makan terlalu banyak makanan bergoreng. Sebaliknya, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan serta bersederhana dalam pengambilan daging, ayam dan makanan laut.

  • Di parti, jangan berdiri di sebelah meja yang menghidangkan makanan. Anda akan terdorong untuk ambil lebih makanan. Berpindahlah ke tempat lain selepas habis makan supaya anda ada lebih banyak peluang untuk berbual.

  • Pada musim perayaan ini juga, kebanyakan tuan rumah menyediakan minuman beralkohol. Minum banyak air masak untuk memastikan badan anda mempunyai cukup air. Sebagai panduan mudah, apabila anda minum segelas minuman beralkohol, ambillah segelas air masak.

  • Bersederhana dalam mengambil biskut, kek dan sajian manis lain. Makanan ini kurang berkhasiat tetapi tinggi kandungan lemak dan gula. Untuk mereka yang sukakan sajian manis, ambillah buah-buahan segar yang bukan saja enak malah kurang kalori.

  • Hadkan pengambilan air berkarbonat dan minuman ringan lain. Sebaliknya, pilih teh Cina atau air masak.

  • Teruskan amalan senaman harian pada musim perayaan ini. Mulakan hari anda dengan bersenam pada waktu pagi untuk membakar kalori sebelum anda melancarkan misi pergi ke rumah terbuka.


    Resipi


    Udang kukus berlimau (lima orang)

    1.2 kilogram udang besar
    3 helai daun limau purut dihiris halus
    2 sudu teh perahan limau nipis (boleh tambah ikut kesesuaian rasa)
    5 sudu makan sos cili Thai
    Garam secukup rasa (jika cukup masin tidak perlu tambah)
    1 sudu makan minyak masak
    Daun parsli untuk hiasan


    Bahan A (ditumbuk)

    1 biji bawang besar
    2 ulas bawang putih
    3 batang serai
    3 atau 4 biji cili padi


    Cara membuatnya:

    1. Panaskan pengukus. Gunting kaki udang. Biarkan kulit udang atau membuang kulitnya. Susun udang dalam pinggan dan tekap dengan tisu dapur untuk mengeringkan airnya. Ketepikan.

    2. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan yang ditumbuk. Kacau hingga naik bau.

    3. Masukkan daun limau purut, perahan limau nipis, sos cili, cili padi dan kacau lagi hingga mendidih. Padamkan api dan tuangkan sos ini ke atas udang tadi.

    4. Kukus udang lapan hingga 10 minit atau udang menjadi merah. Hiaskan dengan daun parsli dan hidangkan.


    Analisis nutrien setiap sajian:

    Kalori: 245
    Jumlah lemak: 6 gram
    Lemak tepu: 0.8 gram
    Kolesterol: 274 miligram
    Karbohidrat: 0.4 gram
    Protein: 37 gram
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini:

    Post a Comment