Sunday, January 8, 2012

Kopi bau rumput


BAGI Ayesha, personaliti seseorang boleh ditentukan berdasarkan jenis kopi yang digemarinya.


SEPERTI biasa selepas waktu sekolah, pintu rumah Siti Ayesha Md. Dahalan di Jalan Pinang, Kuala Lumpur akan diketuk oleh rakan-rakannya.

Afiq, Johan, Liza dan Dicky ialah antara teman setia yang akan mengajak Ayesha bermain di sekitar rumah mereka di kuarters pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di situ.

Jika tidak bermain masak-masak, Ayesha yang pada masa itu berusia 10 tahun akan duduk bersendirian.

Sambil membawa bersama anak patung kesayangannya, dia sering memanjat pokok kemboja merah yang tumbuh rendang di hadapan rumahnya sambil melihat Menara Kuala Lumpur yang sedang dibina di Bukit Nenas.

Apabila hujan turun, Ayesha akan cepat-cepat pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi ibunya. Bosan duduk di rumah, anak matanya akan melilau ke luar tingkap untuk memerhatikan air hujan dan pemandangan pokok-pokok yang menghijau.

"Saya akan menghabiskan waktu di atas pokok kemboja itu hampir setiap hari. Di situlah tempat saya menghitung setiap tingkat pembinaan Menara Kuala Lumpur sehingga ia hampir siap," jelas Ayesha.

Namun, anak bongsu daripada tiga beradik itu terpaksa meninggalkan nostalgia indah itu memandangkan keluarganya perlu berpindah dari situ pada tahun 1994.

Menurut Ayesha, ini kerana kawasan perumahannya yang terletak bersebelahan Padang Lumba Kuda Kuala Lumpur itu hendak dibangunkan dengan Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) yang menempatkan bangunan berkembar paling tinggi di dunia iaitu Menara Berkembar Petronas.

Duta Kopi


Duta Kopi Malaysia ini mampu mengenal pasti 17 jenis kopi dengan mudah.


"Setiap kali menghirup kopi daripada jenis Sumatera, nostalgia itu pasti muncul dalam ingatan saya. Aromanya yang seakan bau rumput ketika hujan mengingatkan saya satu persatu momen indah ketika zaman kecil dahulu," kata Ayesha yang menggemari warna biru.

Ayesha, 30, merupakan Duta Kopi Malaysia 2010/2012 bagi rangkaian restoran kopi terkenal, Starbucks. Dia kini turut bertugas sebagai Pengurus Cawangan Starbucks di pusat beli-belah Ampang Point, Kuala Lumpur.

Pada mulanya, figura yang berketinggian 165 sentimeter ini tidak menggemari kopi sehinggalah dia berkhidmat sebagai penyelia Starbucks di Damansara, Kuala Lumpur pada tahun 2004.

"Dari situ saya menanam tekad untuk terus maju dalam kerjaya berkaitan kopi ini. Apatah lagi ibu meninggal dunia pada tahun tahun yang sama akibat kanser payu dara sekali gus menguatkan semangat saya untuk berdikari.

"Titik tolak itu juga membuatkan saya meminati kopi terutamanya daripada jenis Sumatera," ujar bekas pelajar Sekolah Convent Bukit Nenas Kuala Lumpur ini kepada Jurnal.

Sebagai duta kopi, Ayesha perlu mendalami ilmu berkaitan kopi. Bermula daripada sejarah asal-usulnya sehinggalah kronologi evolusi cara meminum kopi, segalanya lengkap dalam pengetahuan Ayesha.

Selain itu, wanita yang turut menggemari minuman kola ini mahir membezakan sehingga 17 jenis kopi khususnya yang ada di rangkaian Starbucks.

Pada zahirnya, biji-biji kopi yang seakan-akan kacang berwarna coklat pekat itu hampir sama, begitu juga aromanya seperti tiada beza.

Namun, jelas Ayesha, setiap jenis kopi mempunyai rasa yang berlainan.

"Di Starbucks, terdapat antara 15 hingga 17 jenis kopi pada satu masa. Setiap satu daripadanya mempunyai rasa dan aroma yang pelbagai.

"Sebagai duta kopi, saya kena mengenali dan membezakan setiap jenis kopi itu supaya mudah untuk mengesyorkannya kepada pelanggan mengikut kegemaran mereka," tambah Ayesha.

Personaliti

Terang pemegang Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat dari sebuah kolej swasta ini, kopi perlu dihayati melalui bau dan rasanya.

"Untuk mengenali jenis kopi dan menghayati rasanya, pertama sekali hidu aromanya. Seterusnya rasalah dengan menghirup sedikit dan biarkan ia merebak di sekitar kawasan lidah.

"Begitulah cara yang betul untuk menikmati secangkir kopi," katanya yang sering menghabiskan waktu senggang dengan membaca.

Meminum kopi ada caranya. Sebagai contoh, ujarnya lagi, mereka yang menggemari makanan yang berasaskan bijirin, keju dan kulit kayu manis akan lebih menyukai kopi Sumatera.

Bagi mereka yang suka kopi jenis House Blend iaitu gabungan kopi dari negara Amerika Latin sesuai menikmatinya bersama hidangan seperti kek buah-buahan.

"Bagi mereka yang suka kopi daripada jenis Kenya pula, makanan seperti biskut berperisa oren dan anggur adalah yang paling sesuai," tambah gadis berbintang Capricorn ini.

Jelas Ayesha, jenis kopi yang disukai juga menggambarkan personaliti seseorang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: