MALAM itu, di sebalik bunyi deruan air sungai yang mengalir jernih dari atas bukit Sungai Batu Tugoh kedengaran riuh suara orang berpencak dari gelanggang silat yang terletak kira-kira 15 tapak di atas teres sungai.
Diterangi cahaya bulan dan jamung yang dipasang sekitar gelanggang, kelihatan anak-anak muda, baik lelaki mahupun perempuan sedang asyik berlatih silat dengan senjata.
Sesekali terpancar percikan api akibat lagaan parang yang sedang diadu kekuatan pemiliknya.
“Setiap malam minggu beginilah suasana di sini.
“Ada masanya ramai pesilat yang datang, kadangkala cuma saya dan anak saya,” ujar pesara tentera, Kamarudin Ahmad, 60.
Dia yang juga Ketua Adat Pertubuhan Silat Gayong Warisan Serantau Malaysia menjadi individu bertanggungjawab mewujudkan gelanggang silat di tengah Hutan Rekreasi Burmese Pool di Taiping, Perak ini.
Mula dibuka pada tahun 2009, Kamarudin dengan senang hati mempelawa masyarakat tempatan untuk belajar silat di situ.
“Gelanggang silat ini dibuka untuk mereka yang ingin mempelajari silat selain memperhalusi teori peradaban Melayu.
“Saya dan beberapa rakan akan mengajar tentang teori dan praktikal. Biasanya jika yang datang untuk belajar itu sudah agak berusia, kami cadangkan mereka mempelajari semangat dan jati diri Melayu.
Ikhtiar hidup
“Kalau yang datang itu golongan belia, kami akan sarankan mereka mempelajari silat,” katanya yang ditemui Jurnal baru-baru ini.
|
|
Ditanya mengapa menyediakan gelanggang di kawasan terpencil, jawab Kamarudin, dia mahu bangkitkan suasana pembelajaran silat seperti zaman dahulukala.
“Belajar silat bukan mudah. Untuk mahir dalam gerak langkah yang pelbagai memerlukan tumpuan dan fokus di samping disiplin yang tinggi.
“Kerana itu saya usahakan gelanggang ini. Saya yakin persekitaran yang tenang dan mendamaikan seperti ini sangat membantu penuntut menghayati silat,” katanya.
Gelanggang yang boleh memuatkan lebih 60 orang itu dipagari dinding buluh yang dipasang sendiri oleh Kamarudin.
Selain mengajar silat, lelaki bertubuh sasa ini juga tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman yang ditimbanya semasa bertugas sebagai pegawai jurulatih Angkatan Tentera Malaysia dahulu.
“Anak didik silat yang datang ke sini tidak hanya diajar dengan silat gayong tetapi juga didedahkan dengan cara bertempur taktikal tanpa senjata, ikhtiar hidup dan memperkasakan jati diri Melayu,” katanya penuh semangat.
Selain masyarakat tempatan, gelanggang ini sering menjadi tempat berhimpun pesilat-pesilat di sekitar negeri Perak.
Di samping berlatih dan bertukar-tukar pandangan, komuniti pesilat gayong ini juga kerap membincangkan hala tuju dan perkembangan silat di negara ini.
Dengan hanya membayar yuran pendaftaran sebanyak RM4, individu yang berminat boleh mempelajari seni mempertahankan diri itu sehingga mencapai tahap Harimau Cula Sakti Tujuh iaitu antara taraf tertinggi dalam ilmu persilatan gayong yang dikatakan berasal sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.
Korek gua
Selain belajar silat, anak didik Kamarudin turut menghidupkan budaya Melayu lama seperti bermain gendang.
“Kami juga tidak melupakan pengajaran agama yang menjadi pegangan utama di sini.
“Biasanya apabila mahu membuka gelanggang, kami beramai-ramai akan membaca surah al-Fatihah dan solat berjemaah di atas batu.
“Bila ada masa lapang pada waktu siang, kami luangkan masa untuk membersihkan kawasan rekreasi terutamanya sungai yang membentuk kolam di bawah teres gelanggang silat,” jelasnya.
Selain gelanggang silat, Burmese Pool juga terkenal dengan gua Daeng Kuning atau Panglima Hitam.
Menurut Kamarudin, gua batu tersebut dikorek sendiri menggunakan kapak oleh Panglima Hitam yang juga waris kepada pengasas silat warisan gayong.
“Gua ini dijadikan tempat menyendiri oleh Panglima Hitam untuk mencari ketenangan dan beribadah,” katanya.
Kamarudin juga akan bersendirian di dalam gua itu sekiranya dia ingin mencari ketenangan.
“Di kawasan lembah ini, kita boleh menyaksikan keindahan ciptaan Allah.
“Merenung kejadian alam ini sememangnya dapat mendekatkan diri kita dengan Yang Maha Pencipta,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: