|
|
PERJALANAN Ali Rahamad sebagai anak seni secara rasminya bermula selepas penganjuran Malam Kembara di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 Februari 1973 oleh rakan-rakannya.
Malam bersejarah itu juga merupakan titik permulaan untuk pelukis yang menggelarkan dirinya dengan nama Mabuha melangkah lebih jauh dalam dunia seni halus yang waktu itu kian sebati dengan dirinya.
Daripada wang yang diperoleh hasil lelongan lukisan pada Malam Kembara itu serta doa dan harapan teman-teman Mabuha melangkahkan kaki ke luar negara dalam usahanya menimba lebih banyak pengalaman.
Nyata usaha itu tidak sia-sia kerana bukan saja langkah semakin panjang, bahkan bintangnya semakin terang untuk muncul sebagai pelukis dengan cara tersendiri tanpa sebarang sijil rasmi.
Warna-warni Mabuha
Anak kelahiran Johor ini melangkah sendiri walau jalannya lebih sukar berbanding Latiff Mohidin yang mendapat tajaan biasiswa dari kerajaan Jerman Barat dan Redza Piyadasa yang menerima didikan formal dari Hornseu College of Art di London.
Itu bukan jadi halangan bagi Mabuha untuk muncul sebaris dengan mereka yang sealiran dengannya.
Karyanya berjaya mendapat tempat bukan sahaja di dalam negara, malah kebanyakan tempat yang disinggahi seperti Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Filipina dan sebagainya, turut menyimpan khazanah seninya.
Bagi Mabuha pengembaraan menyulam warna pada hidupnya, memberi kepuasan pada hatinya dan kesegaran pada jiwanya.
Dia mengembara sambil menjual lukisan-lukisan yang dihasilkan untuk terus berjalan sehingga masa menentukan.
Mabuha berkata, pengembaraannya bermula dari India, Nepal, Pakistan, Afghanistan sehingga ke Eropah.
“Masa itu saya masih muda. Ketika di India saya tidak tahu apa yang ada di sana dan setelah menjejakkan kaki, saya terperanjat melihat kehidupan di negara itu.
“Di peringkat permulaan pengembaraan agak sukar kerana saya seorang yang tidak mempunyai pelajaran.
“Saya banyak belajar di Belanda. Pada masa itu, saya bertanya pada diri sendiri patutkah saya belajar di tempat-tempat tertentu.
“Saya rasa ia tidak perlu biarpun ramai pelukis dari Malaysia atau di mana-mana sahaja suka belajar, tetapi saya hanya mahu mencari diri sendiri, cara saya sendiri, bukan diploma untuk mendapatkan kerja,” jelasnya.
Beliau berkata, Mabuha mula mencari studio dan bekerja tidak kira apa jua pekerjaan yang dilakukan untuk menampung hidup.
“Kadang-kadang saya bekerja di restoran dengan mengambil upah membasuh pinggan mangkuk. Seronok juga kerana sebelum itu saya tidak pernah melakukan kerja seperti ini.
“Saya bekerja selama empat jam, selepas itu saya bebas membeli makanan serta bahan-bahan lukisan yang saya perlukan dan tambang ke tempat kerja,” ujarnya.
Menurutnya, ketika berada di Amsterdam, dia diberi peluang mengadakan pameran buat pertama kalinya.
“Ketika itu mutu seni lukisan saya masih lemah dan untuk mendapat tempat umpama seperti memecahkan tembok yang tebal dan ia bergantung kuat kepada kekuatan diri kita sendiri.
“Selepas ke Amsterdam, saya pulang ke Malaysia dan kemudiannya ke Jerman untuk memulakan satu lagi kehidupan baru.
“Di sana saya banyak melibatkan diri dengan aktiviti kesenian. Bukan senang untuk mereka terus menerima saya lebih-lebih lagi lelaki Asia dan masih muda pula,” katanya.
Ketika di Jerman, dia jatuh hati dan mengahwini seorang gadis tempatan.
Waktu itu ibu mertuanya sendiri mentertawakan serta dan meragui kebolehannya.
“Oleh sebab itu, kekuatan saya semakin bertambah untuk terus berusaha dan mencuba. Saya cuba memasuki pameran tahunan sebanyak dua kali dan kedua-duanya ditolak.
“Ramai pelukis terkenal mendapat tempat di pameran itu dan saya bersyukur pada tahun ketiga lukisan saya diterima.
“Antara 3,000 lukisan yang diterima pihak penganjur, cuma 300 buah karya sahaja dipamerkan. Bayangkan bagaimana gembira saya melihat lukisan yang dipamerkan bersama karya pelukis terkenal dan profesional dari Jerman.
“Malah pada ketika itu, saya tidak menduga yang lukisan itu dijual dan antara lima karya yang dibeli salah satu daripadanya merupakan hasil tangan saya,” jelasnya.
Kemudian Mabuha menyertai pameran lukisan besar-besaran di Munich. Antara 8,000 karya hanya 600 yang terpilih.
Pada tahun pertama, beliau gagal namun tahun berikutnya Mabuha berjaya meletakkan karyanya di situ.
Karya surrealis
tampil bentuk misteri
Apabila merenung karya milik Mabuha yang dipamerkan di galeri Balai Seni Visual Negara baru-baru ini, penulis dapati yang dia gemar melukis gambaran burung dan gunung-ganang umpama tafsiran sebuah puisi yang indah.
Katanya, karya lukisan tidak ada bezanya dengan puisi biarpun warna itu penting sekali pada dirinya.
“Kalau melihat lukisan saya, jangan sekat fikiran dengan hanya melihatnya sebagai sebuah lukisan saja.
“Sebaliknya saya mahu saudara masuk ke dalam khayalan dunia saya melalui gambaran berlatarkan pemandangan serba aneh dengan menyingkap gerak jiwa dan rentak psikologi.
“Imej-imej burung, ular, wanita, gurun, garupa, kuil dan sebagainya menjadi petanda kepada konflik dalam diri dan sekali gus metafora kepada situasi alam serta kewujudan manusia itu sendiri,” ujarnya.
Manakala karya ekspresionis pula menampakkan kekecewaan dan kemarahannya terhadap sikap-sikap neo-imperialisme Barat ke atas dunia hari ini.
Bagi penulis, karya-karya Mabuha berkisar pada subjek fantasi penuh khayalan berlatarkan suasana suram yang memperkatakan tentang kemerosotan tamadun serta moral manusia.
Dulu dia memberi tumpuan kepada aspek-aspek kerohanian dan kemistikan alam serta manusia dengan nada bawah sedar.
Namun kini dia lebih memfokuskan pada isu-isu kemanusiaan sejagat dan politik dunia dengan suara yang lebih lantang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: