|
COURTS Malaysia Sdn. Bhd. menganjurkan acara walkaton, Walk of Hope di Taman Metropolitan, Klang, Selangor minggu lalu untuk mengumpul dana bagi Persatuan Kanser Nasional Malaysia (NCSM). Menariknya, biarpun diadakan agak jauh dari ibu kota, ia tidak menghalang untuk lebih 1,000 peserta berkumpul bagi mengikuti program amal itu.
Pengarah Negara Courts, Chris Yong berkata, selain walkaton karnival sehari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan serta persembahan oleh bekas pesakit kanser NCSM.
“Kami teruja dengan sambutan yang diberikan untuk acara Walk of Hope dan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta.
“Kami juga menggunakan peluang ini untuk melibatkan kakitangan kami dalam usaha menyemai semangat prihatin dan menyokong program khidmat masyarakat,” katanya.
Acara walkaton selama lebih satu jam di sekeliling tasik di Taman Metropolitan itu disertai oleh orang ramai, ahli NCSM, kakitangan Courts dan rakan niaga syarikat.
Acara itu diadakan bagi menyebar keseronokan sambil memupuk kesedaran terhadap usaha mencegah kanser dan meningkatkan pendidikan mengenai penyakit berbahaya tersebut termasuk dalam kalangan kanak-kanak.
Membalas budi
Menurutnya lagi, Walk of Hope merupakan antara inisiatif yang dipacu oleh Courts bersama dengan NCSM di bawah projek khidmat masyarakat Hope for Our Children (Harapan untuk Anak-Anak Kita) yang dilancarkan pada bulan Ogos 2010.
Jelas Chris, projek itu bertujuan mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk membolehkan NCSM meneruskan peranannya memberi pendidikan, penjagaan dan perkhidmatan berkaitan kanser kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami kepada tanggungjawab sosial korporat, keputusan kami menyokong NCSM merupakan satu langkah serius dalam usaha membalas budi baik masyarakat.
“Ini adalah sebahagian daripada transformasi yang sedang dilalui oleh Courts, dengan matlamat untuk memberi lebih nilai kepada pengguna Malaysia.
“Courts berhasrat untuk mengumpul sebanyak RM400,000 lagi tahun ini menerusi aktiviti yang dirancang untuk sembilan bulan yang akan datang,” tambah Chris.
Dana yang dikumpulkan daripada projek Hope for Our Children akan disalurkan kepada NCSM untuk membolehkan persatuan itu meneruskan usaha murni mereka membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia.
NCSM telah mengadakan ceramah mengenai kanser dan gaya hidup sihat di sekolah dan kolej selain turut membiayai Children’s Home of Hope yang menjadi tempat kediaman untuk kanak-kanak yang tinggal jauh dari NCSM semasa mereka menjalani rawatan kanser di hospital.
Selain itu, Courts turut menyenaraikan dua lagi projek untuk menyokong perjuangan tersebut iaitu perlumbaan mencari harta karun dan konsert pada bulan Mac 2012.
Tunggulah berita selanjutnya, atau kunjungi laman www.courts.com.my untuk mengetahui perkembangan terkini.
Courts adalah peruncit barangan elektronik pengguna dan perabot yang terbesar di Malaysia dengan rangkaian 56 gedung jualan di seluruh negara dan kakitangan seramai 1,200 orang. Courts memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia selama lebih 24 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: