Saturday, January 7, 2012

Ciri diversiti bangsa Malaysia


GABUNGAN elemen Melayu, Cina, India dan Borneo menyerlahkan aura seni bina Pullman Putrajaya Lakeside.


TANYALAH kepada sesiapa, apakah keistimewaan bandar raya pintar, Putrajaya. Pasti rata-rata jawapan yang diberikan ialah kehijauan alam semula jadi, keunggulan seni bina serta gaya hidup urban yang mendasari sebahagian warganya.

Gabungan pelbagai mercu tanda yang menakjubkan, taman-taman awam dan rekreasi, tasik buatan serta tidak pernah sunyi dengan pelbagai acara dan festival bertaraf antarabangsa menyebabkannya sentiasa menggamit tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Jika mahukan suasana percutian yang santai, mewah dan eksklusif, Pullman Putrajaya Lakeside mungkin adalah jawapannya.

Terletak tidak jauh dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan Pusat Maritim Putrajaya di sini, resort yang beroperasi sejak tiga tahun lalu itu menjanjikan ketenangan jauh daripada hiruk-pikuk kota.

Sebaik menjejakkan kaki ke sini, mata pasti terpukau melihat seni bina bangunan itu yang menakjubkan hasil gabungan elemen tradisional Melayu, Cina, India serta Borneo.

Secara keseluruhan, resort itu menawarkan 281 bilik dan suite yang dibahagikan kepada empat kompleks utama.

Setiap kompleks mempunyai ciri seni bina yang tersendiri mewakili budaya kaum yang berlainan iaitu Blok Bunga Tanjung (Melayu), Teratai (Cina), Melur (India) dan Rafflesia (Borneo).

Ruang biliknya turut dititikberatkan dengan penataan dalaman dan susun atur perabot yang berkonsepkan moden serta elegan.

Bagi keselesaan maksimum, setiap bilik dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, peti ais mini, televisyen satelit, telefon serta kemudahan membuat kopi dan teh.


PULLMAN Putrajaya Lakeside menyediakan beberapa tempat menarik untuk menjamu selera mengikut cita rasa pengunjung.


Pullman Putrajaya Lakeside menyediakan beberapa tempat menarik untuk menjamu selera mengikut cita rasa pengunjung.

Bagi yang selesa dengan hidangan bufet dan ala carte, atur sahaja langkah ke Restoran B’s yang menawarkan variasi hidangan Asia dan Barat yang enak dan menyelerakan. Sementara itu, bagi yang mahu menikmati hidangan segar dan dimasak di depan mata, Teppanyaki Corner dan Chef Table adalah jawapannya.

Bosan menikmati sajian yang sama, silalah ke The Village. Berkonsep seni bina tempatan, restoran itu menghidangkan masakan tradisional dan makanan laut segar membolehkan anda menjamu selera sambil menikmati panorama tasik di sekelilingnya.

Tidak ketinggalan, The Deli yang menyediakan pelbagai jenis roti, pastri, coklat dan pencuci mulut. Jika sekadar mahu bersantai bersama teman-teman bolehlah berkunjung ke China Bar & Lounge atau di Bar on Third yang terletak berhampiran kolam renang.

Rawatan spa

Kunjungan ke resort itu seakan-akan tidak lengkap sekiranya tidak mencuba khidmat rawatan dan spa yang ditawarkan di Fit and Spa Lounge.

Menyediakan 10 bilik rawatan eksklusif dan 10 bilik spa berkonsep, pengunjung bakal dibelai dengan pelbagai jenis rawatan dilakukan oleh pakar terapi bertauliah.


JIKA berkesempatan apa salahnya mencuba khidmat rawatan dan spa yang ditawarkan di Fit and Spa Lounge.


Tidak sekadar itu, pengunjung boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di resort itu antaranya gelanggang bola tampar pantai, gimnasium, Kid’s Club, kolam renang, bilik karaoke serta bilik permainan arked.

Di samping itu, terdapat juga permainan sukan air atau belayar mengelilingi tasik yang boleh dicuba berdasarkan permintaan.

Pullman Putrajaya Lakeside tidak sekadar menawarkan kemudahan penginapan semata-mata, tetapi turut menjadi lokasi sesuai untuk pertemuan korporat, resepsi perkahwinan atau majlis-majlis rasmi.

Dewan utamanya yang luas mampu memuatkan sehingga 1,000 tetamu. Ruang itu juga boleh dibahagikan untuk majlis-majlis berskala sederhana dan kecil.

Pihak hotel juga menyediakan 21 bilik serbaguna termasuk ruang amfiteater dilengkapi kemudahan audio dan visual untuk acara mesyuarat dan persidangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: