Monday, January 2, 2012

Karya juara Anwar


ANWAR menunjukkan novel-novel yang pernah mendapat sentuhannya.


BERKECIMPUNG lebih 40 tahun dalam bidang kesusasteraan, Datuk Dr. Mohd. Anwar Ridhwan mengakui penulis-penulis tempatan mendukung kualiti persembahan sastera yang sama hebat dengan negara asing khususnya Barat.

Apabila bercakap mengenai dunia kesusasteraan, hampir semua elemen sastera seperti menulis puisi, cerpen, novel, skrip drama, esei dan kritikan sastera sudah pun menerima sentuhan Anwar atau nama sebenarnya Anuar Rethwan. Pengalaman tebal dalam bidang sastera negara dan selaku Sasterawan Negara, Anwar menjadikan kualiti persembahan sebagai nadi utama sesuatu hasil karya beliau.

“Mutu penyampaian karya sastera tempatan sebenarnya setanding dengan negara Barat khususnya negara yang mengagungkan karya sastera mereka seperti Amerika Latin, China, India dan Jepun. Tetapi kerana psikologi pembaca yang masih skeptikal membesarkan karya luar negara, ia menyukarkan sasterawan tempatan menonjol,” kata bekas Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Anak jati Selangor yang dilahirkan di Sungai Besar pada tahun 1949 itu pernah melawat Amerika Syarikat untuk kursus penulisan pada tahun 1982 dan 1986 berpeluang menilai serta membuat perbandingan karya tempatan dan asing.

Hasilnya, beliau yang pernah bertugas sebagai Profesor Lawatan di Universiti Tokyo pada tahun 1997 hingga 2000, mendapati karya Barat mempunyai elemen kebebasan menulis seperti berkenaan seks, berkesedudukan, anak luar nikah, homoseksualisme dan sebagainya.

“Sebaliknya penulis kita terikat dengan tanggungjawab sosial, moral, etika dan agama. Penulis kita tidak boleh mengabaikan semua ini semata-mata untuk menghangatkan jalan cerita,” kata beliau.


PENYEBERANG SEMPADAN mendapat tempat pertama dalam Hadiah Sako 3 baru-baru ini.


Sambil menghirup minuman Milo, Anwar yang kini selaku Dekan Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mengakui, negara-negara Timur seperti Thai, Vietnam, Indonesia turut menawarkan kualiti sastera yang tinggi tetapi kurang dipopularkan kerana psikologi pembaca itu sendiri.

Bagi Anwar sendiri karya-karya seperti Hari Terakhir Seorang Seniman, Sahabat, Naratf Ogonshoto dan yang terbaharu, Penyeberang Sempadan telah membawa ganjaran yang pelbagai buat dirinya.

Novel juara

Misalnya, novel pertama beliau yang paling popular pernah dialih bahasa dalam pelbagai bahasa seperti Urdu, Inggeris, Jepun dan Perancis, manakala Naratif Ogonshoto, sebuah fiksyen moden pula membawa pelbagai gelaran, anugerah dan hadiah.

“Tarikan terbaharu saya ialah Penyeberang Sempadan yang diusahakan sejak setahun lalu dengan bantuan beberapa orang. Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan sejarah dan budaya sesuatu kawasan tetapi, sebahagian kisahnya berkisar kepada kisah benar yang pernah berlaku semasa zaman penjajahan namun, tidak didokumentasikan.”

“Ia sebuah novel yang kompleks kerana menyelitkan zaman sebelum kemerdekaan. Tetapi ia mengenai pencarian jiwa yang benar dan mutlak. Ia satu proses yang sulit, mencampur aduk soal psikologi, carian ketuhanan dan latar belakang sejarah negara. Namun, saya mahu memberikan satu keanehan yang tidak terdapat dalam novel lain,” kata beliau mengenai novel terbaharunya itu.

Dalam karya yang sama Anwar memberitahu, beliau menyelitkan pelbagai teknik penyampaian baharu misalnya ciri magis realisme, elemen sinematografi bagi setiap adegan dan kepekatan budaya si pembawa kisah itu.

Sudah diterbitkan bersama Utusan Publications & Distributors (UP&D), Anwar turut memenangi tempat pertama Hadiah Sako 3 bagi novel itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: