Thursday, January 12, 2012

Kanak-kanak mangsa kegawatan ekonomi


Kegawatan ekonomi membuatkan keluarga ini tidak berumah dan tinggal dalam kereta.


KETIKA ibunya duduk di pusat perlindungan di pinggir bandar Miami sambil bercakap mengenai bagaimana dia sedang bergelut dengan masalah ekonomi dan hilang kepercayaan terhadap sistem politik Amerika Syarikat (AS), Aeisha Touray, 3, menjeritkan sesuatu yang bunyinya seolah-olah slogan baru gerakan bantahan Pendudukan Wall Street.

"Berani sungguh awak!" jerit kanak-kanak itu secara tiba-tiba sambil menyorong kereta mainannya di atas meja bilik persidangan Pusat Perlindungan Chapman Partnership di Miami, kawasan kejiranan yang dikuasai penduduk kulit hitam.

Tiada siapa yang tahu apa yang ada dalam fikiran Aeisha ketika ibunya, Nairkahe Touray, 32, bercerita bagaimana dia kehabisan duit simpanan dan bergelut meneruskan kehidupan dalam kereta bersama lima daripada lapan anaknya sejak awal tahun lalu.

Bagaimana agaknya mahu menjelaskan kepada anak kecil seperti Aeisha dan kanak-kanak lain yang tidak terkira ramainya, tentang nasib mereka yang akhirnya terpaksa hidup bergelandangan tanpa rumah di negara terkaya di dunia.

Laporan awal bulan ini oleh Pusat Keluarga Tanpa Rumah Kebangsaan, yang beribu pejabat di Needham, Massachusetts, menyebut pada tahun lalu saja terdapat 1.6 juta kanak-kanak bergelandangan di jalan-jalan raya Amerika Syarikat atau tinggal di rumah perlindungan, motel atau berkongsi tempat tinggal dengan keluarga lain.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding pada 2007.

Menurut presiden pusat tersebut, Ellen Bassuk, peningkatan tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada kegawatan ekonomi yang melanda negara Uncle Sam itu.

Peningkatan kemiskinan lebih ketara di kalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita.

Data terbaru daripada Biro Bancian AS pula menunjukkan gambaran yang lebih suram.

Berasaskan kepada kaji selidik biro tersebut yang bertujuan memberi gambaran penuh mengenai kemiskinan di AS, data menunjukkan kira-kira 48 peratus daripada rakyat Amerika tinggal dalam kemiskinan atau berpendapatan rendah.

Mengikut laporan dikeluarkan bulan lalu oleh biro yang dipanggil Supplemental Poverty Measure 2010, paras kemiskinan bagi keluarga yang mempunyai empat isi rumah adalah yang berpendapatan di bawah RM75,404 (AS $24,343) setahun.

"Saya melihatnya setiap hari," kata Alfredo Brown, 73, seorang pesara tentera dan timbalan pengarah bagi Pusat Perlindungan Chapman Partnership, apabila ditanya mengenai kanak-kanak gelandangan.

"Saya menyaksikan ramai kanak-kanak dan golongan ibu yang tidak berumah dan tidur dalam kereta, di bangunan-bangunan terbiar atau dalam bas lama.

"Ia satu situasi yang amat menyedihkan kerana kita tinggal dalam negara yang mempunyai segalanya tetapi rakyatnya tidak mempunyai apa-apa," kata Brown.

Kanak-kanak gelandangan merupakan masalah sosial baru bagi AS, di mana berkeliaran dan tinggal di jalan-jalan raya selama ini hanya sinonim dengan orang dewasa yang menghadapi masalah ketagihan arak atau dadah.

Menurut Bassuk lagi, pada pertengahan tahun 1980-an keluarga hanya meliputi kurang daripada satu peratus bagi penduduk tidak berumah atau gelandangan di AS, tetapi kini ia meliputi kira-kira satu pertiga daripada jumlah penduduk gelandangan.

Banyak kanak-kanak yang bergantung kepada ibu-ibu tunggal yang miskin.

"Ini merupakan fenomena Dunia Ketiga yang sedang muncul di negara kita. Kita selalu bercakap tentang negara-negara sedang membangun tetapi tengok apa yang berlaku di sini," kata Bassuk.

Fenomena gelandangan bukan sekadar berlaku di Miami bahkan hampir di seluruh bandar-bandar besar di AS.

Dari Skid Row di Los Angeles hingga ke South Bronx di New York, ceritanya hampir sama mengenai kesengsaraan yang ditanggung rakyat akibat daripada keruntuhan ekonomi.

Bagaimanapun, masing-masing masih menaruh harapan yang sama iaitu kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Dalam pada itu, Aeisha seolah-olah turut merasai kesedihan ibunya yang bercerita dengan bercucuran air mata tentang bagaimana payahnya dia mahu menyara anak-anaknya dalam keadaan ekonomi yang begitu teruk.

Ini ditambah lagi dengan masalah kemurungan dan penyakit diabetes yang dihidapi Touray, selain masalah kaki yang kronik akibat ligamennya koyak.

Nada suara Touray sudah seperti penunjuk perasaan Occupy Wall Street, ketika dia meluahkan rasa tidak puas hati terhadap langkah memberi wang bagi menyelamatkan bank-bank yang hampir runtuh tetapi rakyat dibiarkan begitu saja.

"Kita dilayan seperti haiwan kerana tidak berumah," kata Touray, yang mengaku hidup dengan bergantung pada wang berjumlah RM1,807 (AS$583) sebulan iaitu wang sokongan untuk anak-anak selepas bercerai tahun lalu.

Ibu bapanya yang tinggal berasingan di Atlanta dan Chicago juga gelandangan.

"Hanya disebabkan saya tidak berumah tidak bermakna saya tidak punya apa-apa," katanya yang mengakui empat perniagaan kecil-kecilan yang dimilikinya berkubur disebabkan kegawatan ekonomi.

Dia juga mengadu mengenai sikap memekakkan telinga kebanyakan ahli politik yang tidak berbuat apa-apa bagi mengurangkan pengangguran dan ketidakadilan.

"Saya tidak perlu sesiapa datang dan bercerita mengenai keadaan ekonomi kerana saya sudah merasainya. Mereka (ahli politik) perlu keluar dan datang ke sini melihat sendiri apa berlaku pada anak-anak dan orang tua kami di sini," katanya.

Di Los Angeles pula seorang bapa tunggal, Luis Martinez, 34, tinggal bersama tiga anaknya di Union Rescue Mission, sebuah pusat perlindungan yang tidak ubah seperti tempat pembuangan sampah.

Di luar bangunan wanita dan lelaki yang tidak berumah setia berbaris bagi mendapatkan sumbangan beg-beg barang keperluan dapur.

Begitupun pusat perlindungan itu lebih baik daripada situasi di mana Martinez menghabiskan waktu malam dengan anak-anaknya di stesen keretapi bawah tanah.

Dia yang tidak tamat sekolah tinggi, menjadi penganggur apabila belakangnya mengalami kecederaan ketika berkerja di tapak pembinaan kira-kira enam tahun lalu.

Begitupun dia masih sempat bercakap dengan rasa bangga mengenai anaknya yang mencapai keputusan yang baik di sekolah.

Kata Martinez, anak-anaknya mempunyai komputer riba yang mereka guna untuk membuat kerja sekolah melalui talian tanpa wayar percuma di McDonalds atau Starbuck.

Mereka juga mempunyai sistem permainan video Xbox dan Martinez sendiri, yang memakai rantai berbunyi My Kids First, mempunyai telefon bimbit untuk berhubung dengan keluarga dan mencari kerja.

"Saya tidak berumah tetapi saya bukan orang tidak berguna," kata Martinez.

Kemelesetan ekonomi turut memberi kesan amat mendalam di kalangan golongan kelas pertengahan di AS yang mengalami pengecutan dalam ekonomi mereka.

Pasangan Tracy dan Elizabeth Burger bersama anak mereka berusia 8 tahun, Dylan, adalah antara yang merasai kesan tersebut.

Menurut Burgers, suatu ketika dulu mereka berdua memperoleh pendapatan hampir RM310,00 (AS$100,000) setahun tetapi gaya hidup kelas pertengahannya berakhir apabila Tracy kehilangan pekerjaan sebagai jurujual sistem audiovisual.

Tidak mampu membayar sewa, mereka telah diusir dari pangsapuri yang diduduki pada awal tahun 2009 dan terpaksa berpindah ke motel.

Pada Mac lalu mereka berpindah ke garaj yang telah diubah menjadi tempat kediaman di rumah ibu Elizabeth di Los Angeles.

Di bahagian tengah Florida pula, Justin Santiago, 15, berkata, dia tidak terkejut apabila ibu bapanya serta tiga adiknya tersadai di pusat perlindungan di pinggir Orlando sejak September lalu.

Sejak kejatuhan ekonomi pada 2008, keluarganya tidak tidak ada pekerjaan dan menumpang dari satu rumah ke satu rumah saudara-mara mereka.

Mereka kemudian meninggalkan California untuk mencari pekerjaan.

"Saya tidak terkejut. Apabila ekonomi jatuh dan ia terus jatuh tanpa boleh dikawal," kata Justin.

Dalam tempoh 16 tahun perkahwinan mereka, ibu bapa Justin, Theresa dan Timothy Santiago, mampu menyara keluarga dengan melakukan beberapa kerja. Ada ketikanya memperoleh sehingga RM62,000 (AS$20,000) sebulan.

Bagaimanapun, apabila kerja berkurangan keluarga tersebut berpindah ke Florida pada musim luruh lalu kerana sara hidup yang lebih rendah.

Selepas melalui lebih banyak tempoh sukar, mereka akhirnya terlantar di pusat perlindungan Coalition for the Homeless di bahagian tengah Florida.

Bagaimanapun, Justin kini berada di gred lapan dan pengalaman yang dilalui keluarganya tidak akan menghalang anak muda ini daripada terus berusaha mencapai kerjaya impian menghasilkan permainan video sekali gus menjadi salah satu individu berjaya dalam dunia Internet.

"Keadaan akan menjadi lebih baik selepas ini untuk saya dan keluarga saya. Saya akan menjadi jutawan suatu hari nanti, saya yakin," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: