Thursday, January 12, 2012

Bantuan keperluan sekolah untuk anak yatim


Eksekutif Pengurusan Perhubungan Luar MAS, Yusni Bidin (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Shukry Md Latar dari Rumah Anak Yatim Taman Baiduri, Dengkil, Sepang, Selangor, baru-baru ini.


TAMAT musim perayaan cerita-cerita mengenai sumbangan atau bantuan kepada golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim dan rumah-rumah kebajikan juga semakin reda.

Kebajikan mereka seolah-olah hanya diingati apabila tiba musim perayaan seperti hari raya sedangkan pada hari-hari biasa golongan ini terus dilupakan.

Bagi mengelak daripada trend tersebut terus berulang, sekumpulan kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) daripada pelbagai jabatan baru-baru ini telah berkunjung dan menyampaikan sumbangan kepada 25 anak-anak dari Rumah Anak Yatim Taman Baiduri.

Kumpulan kakitangan MAS tersebut nyata tidak keberatan meninggalkan tugas harian mereka yang sentiasa sibuk untuk beramah mesra dan bertanya khabar anak-anak yatim tersebut.

Sumbangan dihulur berupa pelbagai peralatan sekolah seperti uniform, beg dan kasut itu adalah bertepatan dengan pembukaan penggal baru persekolahan 2012 baru-baru ini.

Sumbangan diserahkan kepada penyelia rumah anak-anak yatim tersebut, Mohd. Shukry Md. Latar, yang kebetulan juga merupakan salah seorang kakitangan MAS.

"Kebanyakan kanak-kanak ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Dengkil dan Cyberjaya di mana sesetengahnya baru masuk tahun satu.

"Mereka begitu bersemangat untuk bersekolah dan kami harap sumbangan ini akan menceriakan lagi sesi persekolahan mereka," kata Mohd. Shukry.

Rumah Anak Yatim Taman Baiduri yang terletak di Dengkil, Sepang, Selangor, memberi perlindungan dan penjagaan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik berusia antara lapan hingga 15 tahun

Rumah anak yatim tersebut beroperasi atas asas sukarela dan telah diketuai sendiri oleh Mohd. Shukry sejak 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: