Saturday, January 7, 2012

Kamar ‘baru’ Grand BlueWave


KAMAR di aras korporat menampakkan ciri-ciri eksklusif.


SELEPAS 11 tahun penubuhannya, Hotel Grand BlueWave di Shah Alam kini menampilkan pembaharuan dengan memberi nafas baru pada 341 ruang kamarnya.

Dengan rekaan dalaman hasil paduan moden kontemporari yang bertemakan ‘gelombang’, ia nyata mencipta suasana mewah penuh ketenangan kepada pelanggan.

Setiap aras bermula dari tingkat lima sehingga tingkat 19 diberikan sentuhan berlainan menerusi kontra warna tertentu melatari 280 bilik deluxe, 59 bilik suite, sebuah eksekutif suite dan sebuah presidential suite.

Kesemuanya dibahagikan mengikut empat kelompok atau penanda iaitu aras kumpulan (tingkat 5 hingga 9), aras korporat (tingkat 10 hingga 16), aras wanita (tingkat 17) serta aras BlueWave Club (tingkat 18 dan 19).

Apa yang menariknya adalah rekaan dalaman kertas dinding, perabot dan bantal beradu mini yang diolah begitu bergaya, sekali gus menjadi titik tumpu mewakili setiap kelompok aras.

Aras kumpulan mengetengahkan kesegaran warna hijau daun, aras korporat dengan motif coklat perang tanah manakala warna merah hati didedikasikan untuk aras wanita. Warna biru laut pula menghiasi aras BlueWave Club.

Ubah suai yang dilakukan bertambah menarik dengan suasana panorama indah ‘masjid biru’ yang begitu sinonim dan terkenal di Shah Alam. Masjid itu jelas dapat dilihat dari satu sudut sisi hotel.

Ditambah ruang yang luas, ia memberii kelebihan utama kepada pelanggan yang menginap dan secara tidak langsung membangkitkan suasana nyaman serta eksklusif kepada mereka, di samping penyediaan bilik khas bebas rokok.

Pengurus hotel ini, Mohd Ghazali Sayed Ibrahim memberitahu, ubah suai reka bentuk dalaman kamar hotel ini telah dibuat secara terperinci dengan mengambil kira kesesuaian dan keperluan semasa.

“Setelah hampir 11 tahun kami menawarkan khidmat hospitaliti bertaraf lima bintang di tengah bandar raya Shah Alam, maka langkah pengubahsuaian ini dilakukan sebagai tanda komitmen kami kepada pelanggan untuk memberi hanya yang terbaik.

“Kos pengubahsuaian setiap kamar menelan belanja sejumlah RM9 juta bermula April dan siap sepenuhnya pada September tahun lalu. Selain itu, pada suku tahun pertama tahun ini, kami bercadang untuk mengubah suai hiasan dalaman Restoran Agehan Japanese, Borak-Borak, Semarak Cafe dan Tung Yuen Chinese,” ujar beliau sempena lawatan khas media baru-baru ini.

Tambah beliau, pemilihan konsep ini hasil diskusi bersama pakar hiasan dalaman dan dijangka mampu menarik perhatian lebih ramai pelanggan, sekali gus terus unggul sebagai hotel pilihan nombor satu di bandar raya Kota Anggerik ini.

“Bersama wajah baru dan ketelusan pasukan kami menawarkan khidmat memenuhi kepuasan dan cita rasa pelanggan, Hotel Grand BlueWave Shah Alam berasa bangga untuk berkongsi khidmat serta pengalaman hospitaliti antarabangsa dalam kondisi yang selesa,” jelas beliau.

Harga yang ditawarkan kepada pelanggan bermula daripada RM450++ untuk bilik deluxe, RM650++ untuk deluxe suite, RM550++ untuk bilik eksklusif deluxe dan RM750 untuk bilik eksklusif deluxe suite.

Bagi aras eksklusif iaitu Aras BlueWave Club, harga bermula daripada RM700++ untuk bilik deluxe manakala RM850++ untuk bilik suite.

Semua bilik dilengkapi dengan kemudahan terkini seperti talian IDD, akses internet berkelajuan tinggi, port data, televisyen satelit, rangkaian sistem telefon, bar mini, kemudahan membuat kopi dan teh serta kotak selamat peribadi dalam bilik.

Paling istimewa adalah aras wanita yang direka khusus hanya untuk pelanggan wanita di tingkat 17, manakala di tingkat 18 aras BlueWave Club pula tersedia sebuah lounge persendirian.

Terdapat empat ruang makan untuk dipilih pelanggan sama ada Semarak Cafe, Restoran Tung Yuen (hidangan Cina), Restoran Agehan (hidangan Jepun) atau Borak-Borak.

Dewan konvensyen dan bilik seminar dilengkapi dengan peralatan audio dan visual berserta teknologi canggih pula mampu memuatkan kira-kira 1,500 peserta atau tetamu jemputan.

Manakala dewan banquet boleh memuatkan kira-kira 500 tetamu dan para jemputan serta 11 bilik mesyuarat boleh dipenuhi sehingga 200 peserta.

Selain itu, kemudahan seperti gimnasium, kolam renang dan pusat spa juga tersedia di tingkat empat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: