Saturday, January 7, 2012

Wilayah hijau mempesonakan


PETUGAS Taman Warisan Pertanian sedang memberikan penerangan mengenai cara-cara penanaman anak pokok dengan betul selain taman tersebut mempamerkan tanaman-tanaman Malaysia tradisional seperti padi, getah, koko, buah-buahan tropika dan pokok kelapa sawit.


BIARPUN lebih sinonim sebagai pusat pentadbiran negara, usaha telah dijalankan dengan giat untuk mempromosikan ia sebagai destinasi pelancongan bukan saja untuk rakyat tempatan bahkan pelancong luar negara.

Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikuti program Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia ke Putrajaya anjuran Gaya Travel selama tiga hari dua malam.

Sebelum menyertai program itu, Putrajaya bukanlah tempat yang asing bagi penulis malah kunjungan ke situ tidak terhitung dek jari, semuanya atas urusan rasmi.

Namun perspektif penulis terhadap Putrajaya berubah selepas dibawa melihat hampir ke seluruh ceruk Putrajaya.

Destinasi ini bukan hanya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan yang menitikberatkan persekitaran hijau, mendamaikan dan sejahtera, malah begitu banyak destinasi yang mampu menggamit kunjungan pelancong yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.

Daripada kawasan yang sebahagian besarnya merupakan ladang getah dan kelapa sawit itu, Putrajaya bertukar wajah menjadi salah satu destinasi pelancongan yang digemari ramai termasuk pelancong asing.

Berkonsepkan Bandar Warisan Islam, Putrajaya seolah-olah membawa pengunjung ke syurga dunia yang dihiasi taman nan indah, deruan air mengalir tanpa menjejaskan habitat semula jadi hidupan flora dan fauna.

'Tak kenal maka tak cinta' - setiap destinasi yang ditawarkan di Putrajaya merupakan salah satu kawasan paling sesuai untuk bercuti bersama keluarga serta orang tersayang terutama mereka yang ingin melupakan sejenak kesibukan kerja dan kesesakan di kota.

Dengan segala kemudahan awam yang disediakan, pengunjung tidak perlu terkejar-kejar untuk mengunjungi setiap lokasi menarik di Putrajaya apatah lagi setiap daripada lokasi itu berdekatan di antara satu sama lain.

Panorama waktu malam bandar tersebut pastinya memukau mereka yang sukakan kehidupan di kota raya .

Putrajaya akan dipenuhi cahaya neon pelbagai warna di segenap penjuru taman-taman, landskap di dataran dan jalan-jalan utama di samping tasik.

Sebagai melengkapkan kemudahan infrastruktur, sembilan jambatan dibina antaranya, Jambatan Seri Saujana, Seri Wawasan dan Seri Gemilang bertujuan menghubungkan kawasan 'pulau' yang dipisahkan olah tasik berkeluasan 400 hektar.

Seni bina jambatan-jambatan itu diilhamkan melalui reka bentuk jambatan terkenal di seluruh dunia seperti Jambatan Putra seakan-akan Jambatan Khaju di Isfahan, Iran.

Tidak cukup dengan itu, Putrajaya kini dihiasi 12 taman rekreasi yang dibuka kepada orang awam untuk pelbagai tujuan rekreasi dan aktiviti kekeluargaan.

Antaranya, Taman Botani, Taman Wetland, Taman Wawasan, Taman Cabaran, Taman Warisan Pertanian, Taman Rimba Alam dan Taman Putra Perdana.

Bagi kemudahan sebahagian penduduk dan pengunjung yang majoritinya beragama Islam, masjid seperti Masjid Putra dan masjid kedua di Putrajaya, Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) mampu menampung sehingga 20,000 jemaah.

Kedua-dua masjid ini dilengkapi dengan dewan solat utama, tiga unit kuarters dua tingkat, 10 unit kedai, dewan orang ramai dan kemudahan WiFi.

Seni bina Islam yang ditampilkan cukup halus dan cantik memadai untuk membuatkan sesiapa saja yang pertama kali menjejakkan kaki ke masjid tersebut akan terpukau.

Apatah lagi ia dilatari dengan pemandangan tasik yang indah dan mendamaikan.

Malah untuk melihat Putrajaya lebih dekat, dicadangkan setiap pengunjung menyusuri tasik dengan menaiki Cruise Tasik.

Ini kerana, dengan menggunakan jalan air itu, pengunjung mampu mengembara dan menyaksikan hampir seluruh panorama pembangunan Putrajaya yang berprestij dan mengagumkan.

Seni bina setiap bangunan pasti mengujakan sesiapa sahaja yang melihatnya di samping merakamkan detik bersejarah yang mana setiap sudutnya memberikan imej terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: