Tuesday, January 24, 2012

Jeti meriah dengan bunyi mercun



KEMESRAAN dan permuafakatan penduduk membuatkan lelaki berusia 21 tahun itu enggan keluar dari Pulau Ketam. Baginya, biar hidup tidak semewah di kota, tetapi indah pada pandangan matanya.

Meskipun golongan belia yang mendiami Pulau Ketam boleh disifatkan sebagai hampir pupus, namun Long Seng mempunyai pandangan yang berbeza. Walaupun tamat belajar di sebuah kolej di bandar Klang, dia setia bermastautin di pulau yang menjadi tanah tumpah darahnya sejak kecil.

“Sekitar tahun 1980-an, penduduk Pulau Ketam dianggarkan dalam lingkungan 20,000 orang, tetapi kini lebih kurang 10,000 orang sahaja.

“Ramai anak muda berhijrah ke bandar selepas tamat belajar kerana ditawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan. Saya pula lebih suka duduk di sini membantu perniagaan ayah saya,” luah Seng yang merupakan anak kepada Ketua Kampung pulau itu.

Benar, suasana di pulau itu tiada istimewanya pada kaca mata orang luar. Malah, satu-satunya pengangkutan yang dibenarkan ialah basikal. Pelancong-pelancong yang berkunjung ke pulau itu juga boleh menyewa basikal tersebut dari harga serendah RM5 sehari.

Di Pulau Ketam, tiada pusat beli-belah berdiri megah mahupun panggung wayang. Apa yang ada hanyalah beberapa kemudahan asas seperti sekolah harian, hospital desa, balai polis, bank, kedai-kedai runcit dan pasar yang menjual keperluan harian.

Namun, kesederhanaan hidup di situlah yang diagungkan oleh penduduk pulau itu. Pekerti mereka begitu dijaga, jika mereka sedang berbasikal dan ingin meminta laluan kepada pejalan kaki, mereka akan membunyikan loceng.

Menurut Seng, rutin hariannya tidak banyak berbeza. Setiap hari dia membantu bapanya menguruskan hotel milik keluarga, Hotel Sea Lion, yang menjadi tempat penginapan utama pelancong-pelancong yang berkunjung ke pulau tersebut.


HASIL laut menjadi punca rezeki paling penting buat penduduk pulau ini dan ia juga tarikan utama yang ditawarkan kepada pelancong.


Pada waktu senggang, Seng berkumpul bersama rakan-rakannya di jeti menyaksikan pemandangan matahari terbenam. Menjelang malam, segala aktiviti terhenti. Dia dan penduduk lain lebih selesa berehat di rumah sahaja.

Pesta di jeti

Kemunculan Tahun Baru Cina sentiasa dinanti-nantikan penduduk pulau itu. Biarpun diraikan secara sederhana, tetapi ia memberi makna yang begitu besar bagi penduduk pulau yang sebahagian besar terdiri daripada kaum Cina.

Tambah Seng, sejak beberapa tahun lalu, warga Pulau Ketam mempunyai cara baharu bagi menyambut perayaan setahun sekali itu. Selama dua malam berturut-turut sebelum tiba tahun baharu, mereka akan berkumpul di jeti untuk mengira detik-detik menjelangnya perayaan.

“Malam perayaan paling meriah, hampir kesemua penduduk pulau akan memenuhi kawasan jeti dan suasana menjadi bising dengan dentuman mercun serta bunga api.

“Ia satu pemandangan yang amat mendamaikan, ditambah pula dengan lampu-lampu tanglung yang menyerikan setiap tiang jambatan jeti,” kata Seng menggambarkan sambutan Tahun Baru Cina di pulau yang berkeluasan 63 kilometer persegi itu.

Berbeza pula pengalaman yang dilalui Tan Yok Fuan, 60, yang tinggal di pulau itu sejak dia lahir. Mengusahakan kedai runcit peninggalan mendiang ayahnya, Yok Fuan mengimbau kemeriahan Tahun Baru Cina tatkala dia masih kecil dahulu.

Budaya sambutan

“Memang tidak banyak beza sambutan dahulu dan sekarang. Tetapi dahulu, kebanyakan keluarga di sini akan makan stimbot beramai-ramai. Kini upacara itu semakin tenggelam.

“Adakalanya saya akan ke rumah anak-anak di luar bagi menyambut perayaan itu. Jika tidak pun, mereka akan balik ke sini dan kami menyambutnya secara sederhana.

“Ketika hari raya juga saya membuka kedai, cuma tidak membuka pintu kedai dengan luas,” jelas Yok Fuan yang telah 40 tahun menjaga perniagaan bernama Hong Heng Co. itu.


DI Pulau Ketam pengunjung dapat melihat kanak-kanak dan orang tua duduk semeja beradu minda dalam permainan catur Cina.


Pada tahun ini, Yok Fuan dan isteri memilih untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur bersama tiga anak mereka. Namun, kemeriahan dan kemegahan sambutan di bandar belum mampu menandingi rasa sayang dan cinta pasangan itu terhadap pulau yang mereka diami.

Selepas melewati kawasan pekan Pulau Ketam, terlihat pula satu kawasan lapang berupa dataran. Ia mempunyai pintu gerbang dan di situ terletaknya tokong yang menjadi tempat beribadat penduduk pulau itu.

Bertentangan dengan tokong itu, wujud satu tempat berteduh yang kelihatan seakan-akan warung. Tetapi isinya dipenuhi dengan golongan lelaki warga emas dan kanak-kanak. Tempat itu sebenarnya merupakan rumah rasmi Ketam Chinese Chess Association.

Hanya di pulau itu, pengunjung dapat melihat kanak-kanak beradu minda dengan warga emas dalam perlawanan catur tradisional Cina. Ia merupakan antara persatuan paling aktif menjalankan aktiviti di pulau itu.

“Saya masih ingat, persatuan ini ditubuhkan pada 4 Mei 1988. Tujuannya adalah bagi mengisi masa lapang penduduk di sini pada hujung minggu dan waktu malam.

“Kebiasaannya, setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, kami akan mengadakan pertandingan untuk kanak-kanak. Ia telah menjadi tradisi dan sambutannya memang menggalakkan,” ujar Koh Ching Kew, 48, sambil menunjukkan papan putih yang tertulis jadual perjalanan dan nama-nama peserta yang terlibat untuk pertandingan tersebut.

Sifat kekeluargaan itu jelas terbukti menerusi penubuhan persatuan tersebut kerana kanak-kanak yang dibesarkan oleh ibu tunggal atau tidak mempunyai ibu bapa diberi keutamaan mempelajari permainan catur itu.

Walaupun terdapat beberapa buah kafe siber di Pulau Ketam, masih ramai kanak-kanak memilih untuk menghiburkan diri mereka menerusi permainan itu. Jika di kafe siber, mereka perlu membelanjakan RM2 untuk tempoh satu jam, bermain catur pula boleh dilakukan mereka secara percuma.

“Tidak kira berapa ramai kanak-kanak yang menyertai pertandingan itu, kami tetap akan menyediakan hadiah berupa angpau kepada semua yang terlibat.


POPULASI penduduk pulau ini telah jatuh daripada lebih 20,000 orang kepada lebih 10,000 orang sahaja.


“Menang atau kalah, kesemua mereka berhak mendapat angpau. Hadiah bukan masalah pada kami, apa yang penting, dapat mendidik anak-anak pulau ini melibatkan diri dengan aktiviti berfaedah,” luah Ching Kew yang mempunyai dua orang anak yang turut menyertai persatuan catur tersebut.

Keluarga lebih bermakna

Hampir 90 peratus penduduk Pulau Ketam mencari rezeki sebagai nelayan. Apabila air pasang, mereka akan ke laut dan berkampung di tengah-tengah laut antara dua hingga tiga hari.

Jika air surut pula, mereka akan melakukan kerja-kerja lain seperti membetulkan pukat atau mengisi masa mereka bersama keluarga.

Richard Koh, 27, merupakan cucu kepada seorang pembuat pukat di pulau itu. Namun, legasi selama lebih 30 tahun membuat pukat itu terhenti selepas kematian datuknya.

“Walaupun datuk sudah tiada, saya masih tinggal di pulau ini. Kini saya bekerja di sebuah kedai cermin mata di bandar Klang dan setiap hari saya berulang-alik ke tempat kerja.

“Tahun Baru Cina juga disambut di sini. Biarlah ia tidak semeriah di luar sana, asalkan saya dapat berkumpul bersama-sama keluarga, itu yang lebih penting dan membuatkan perayaan itu bermakna.

“Kalau tidak beraya di sini pun, kami sekeluarga akan pergi bercuti,” jelasnya yang tinggal bersama ibu saudara dan seorang adik perempuannya di pulau itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: